Thursday 30 July 2020

Tersangkut semalaman di Hirtshal kerana feri sudah berlepas



Hirtshal adalah sebuah pekan kecil di utara Denmark. Tidak ada apa-apa yang menarik di sini kecuali ada pelabuhan yang menawarkan perjalanan dari Denmark ke wilayah Norway.



Hirtshal adalah sebuah bandar kecil yang ada pelabuhan kecil sahaja



Hirtshals berperanan untuk menghubungkan Denmark, Norway dan beberapa negara lain yang berdekatan.



Pelabuhan Hirtshal pula hanya ada dua kali perjalanan, jam 10 dan 1 pm sahaja.



Selain itu kawasan berhampiran laut utara ini dihiasi dengan ladang-ladang sayuran, strawberi atau semak samun yang kehijauan



Pekan ni agak sunyi dan kurang aktiviti
Aktiviti perniagaan adalah berasaskan perikanan dan maritim. Hotel pun tak banyak di sini, kerana Hirtshal bukanlah sebuah bandar pelancungan. Tak banyak tempat menarik kat sini.



Kedai yang kecil-kecil sahaja. Aktiviti berasaskan maritim laut adalah segalanya



Kalau tidak nak short cut ke Bergen Norway sudah tentu aku tidak menjejakkan kaki ke sini.  Terpaksa tidur semalan di pekan ini.  Keesokan harinya baru naik feri menuju ke Bergen Norway.


Perjalanan menaikki feri ini mengambil masa yang lama, bertolak jam 11am dan sampai jam 9 pagi di Bergen. Kena tidur semalam dalam feri ini.



Namun memang selesa menaikki feri ini.


Selamat tinggal Hirtshal. Cukuplah hanya sekali kita bertemu.


Wednesday 29 July 2020

Trajedi lesapnya alat kebesaran untuk pertabalan sultan dalam kerajaan Johor lama



Semasa berjalan mengelilingi Pulau Penyengat, saya mendapati makam Raja Hamidah atau dipanggil juga sebagai Engku Puteri yang kelihatan lebih dimuliakan berbanding dengan makam Yamtuan Muda yang lain, hatta makam ayahanda baginda sendiri iaitu Raja Haji Fisabilillah dan makam anak saudaranya Raja Ali Haji seorang pujangga tersohor.


Raja Hamidah merupakan anak sulung Raja Haji Fisabilillah, yang syahid di Teluk Ketapang Melaka. Baginda dibesarkan dalam tradisi istana, kebangsawanan dan tradisi perang serta dalam persekitaran keluarga yang sangat taat pada agama dan menghargai alim ulamak. Oleh itu, Raja Hamidah dibesarkan dalam tradisi adat yang kuat, baik tradisi adat Melayu melalui ibunya, mahupun adat Bugis dari ayahnya. Raja Hamidah adalah seorang wanita yang cantik, anggun, berwibawa, cerdas dan bijaksana.


Peranan Raja Hamidah dalam kerajaan Johor lama mula terserlah setelah beliau berkahwin dengan Sultan Mahmud III. Perkawinannya dengan Sultan Mahmud, adalah sebuah perkahwinan politik. Ketika perkawinan itu terjadi, Sultan Mahmud sudah berumur 50 tahun, dan mempunyai tiga isteri. Yang pertama, Engku Puan, puteri Bendahara Pahang, seorang permaisuri gahara. Yang kedua, Encik Makoh, keturunan Bugis, dan yang ketiga Encik Manam, keturunan Melayu. Raja Hamidah sedar bahawa dengan perkahwinan politik itu adalah untuk meredakan konflik politik antara suku Melayu dan suku Bugis, akibat perebutan kuasa Yang Dipertuan Muda Riau Lingga antara Tengku Muda Muhammad (Putera Temenggung Abdul Jamal) dengan Raja Ali (putera Daeng Kemboja). Konflik ini, berlangsung lebih dari 8 tahun (1795 -1803). Tengku Muda Muhammad berasa berhak sebagai Yang Dipertuan Muda, karena dialah yang ditugaskan dan diangkat oleh Sultan Mahmud sebagai Raja Muda. Setelah Belanda menang melawan Riau (1784), satu perjanjian di atas kapal perang Utrecht telah mensyaratkan bahwa jawatan Yang Dipertuan Muda tidak boleh diberikan kepada keturunan Bugis. Raja Ali, berasa marah kerana jawatan itu hak keturunan Bugis dan sudah diikrar dalam Sumpah Setia Melayu-Bugis.
Persengketaan politik ini agak unik dan jika ditelusuri sebenarnya bukan sengketa antara suku etnik Melayu dan Bugis tetapi adalah diantara kaum kerabat sendiri juga. Raja Ali adalah anak Daeng Kemboja, cucu Daeng Perani. Sementara Tengku Muda Muhamamad anak Raja Maimunah dan Raja Maimunah ini, adalah anak Daeng Perani. Jadi yang berkelahi dan berebut kuasa itu, adalah cucu-cucu Upu Daeng Perani. Satu mewakili dinasti Bugis, yang satu mewakili dinasti Melayu Johor. Tapi darah kedua pihak itu sudah bercampur baur.

Raja Ali menjadi marah kerana jawatan Yamtuan muda adalah hak orang Bugis. Beliau akhirnya menjadi Yamtuan Muda yang ke 7

Untuk meredakan konflik ini, maka diadakan satu persetiaan. Orang penting disebalik perdamaian ini adalah Raja Lumu, Sultan Selangor yang disebut Sultan Salahuddin, ayah saudara sepupu dua tokoh tersebut. Raja Lumu dalam sejarah Riau Lingga memang menjadi tokoh kuat pihak Bugis. Beliau tidak disenangi pihak pembesar Melayu, seperti Temenggung Johor, Bendahara Pahang, dan Tun Dalam Raja Terengganu. Kemudian dimenterailah satu perdamaian di Kuala Bulang pada September 1803.

Isi perdamaian tersebut ialah, Sultan Mahmud sebagai keturunan Melayu yang berkuasa akan mengahwini Raja Hamidah keturunan Bugis, bagi menghapuskan perseteruan Melayu dan Bugis. Jika lahir putera dari perkahwinan tersebut maka ditubuhnya akan mengalir darah Melayu dan Bugis dan akan menjadi keturunan Bugis-Melayu pertama di takhta kerajaan Johor Riau Lingga. Sebelum ini semua Sultannya berdarah Melayu yang sangat kuat, kerana takhta Sultan memang menjadi hak orang-orang keturunan Melayu. Itulah beban politik yang diletakkan dibahu wanita yang berusia 29 tahun itu.

Engku Puteri terus dihormati dalam sejarah ketamadunan Johor-Riau

Raja Hamidah sebagai puteri berdarah Bugis, pihak Pembesar Bugis, ingin Engku Puteri menjaga kepentingan Bugis. Baik dalam istana, mahupun kepentingan ekonomi. Oleh sebab perkahwinan Sultan Mahmud dan Raja Hamidah kemudiannya tidak menghasilkan waris, maka pihak pembesar Bugis mahu campur tangan Raja Hamidah dalam menaikkan Tengku Husin anak tirinya, kerana darah bugisnya lebih besar, dia juga putera yang sulung. Bukan Tengku Abdurrahman, yang darah Melayunya lebih besar tetapi bukan putera dari permaisuri Melayu gahara.
Raja Hamidah mempunyai pengetahuan yang luas, kecerdasan, keteguhan, dan pemahaman luas tentang politik serta adat istiadat negeri. Beliau menjadi penasihat, dan pengawal adat istidat dan budaya kerajaan Melayu Johor Riau Lingga. Oleh sebab itulah agaknya, kemudian Sultan Mahmud, memberinya tugas sebagai pemegang alat kebesaran atau dipanggil juga sebagai Regalia Kerajaan.
Alat Kebesaran Kebesaran Kerajaan adalah supremasi tertinggi bagi Raja-Raja Melayu. Sebuah negeri dan Raja tidak sah dan berdaulat jika pelantikannya tidak menggunakan Regalia. Sebab itu pemegang Regalia adalah penjaga adat istidat, dan tradisi Istana. Ia juga lambang maruah dan martabat kerajaan. Jika hilang atau rosaknya maruah kerajaan, maka hancur dan runtuhlah harga diri bangsa. Bagi kerajaan Melayu, sebuah negeri boleh ditaklukan dan dikuasai tetapi Sultannya boleh membuka negeri baru. Selagi Regalia Kerajaan tidak dirampas, dan masih dipegang oleh Raja, maka selagi itulah kedaulatan negeri itu masih utuh. Sebab itulah, siapapun yang diberi tugas menjaga Regalia adalah seorang yang tinggi martabatnya.

Istana yang diruntuhkan semasa Belanda menjajah Pulau Penyengat

Selesai perkawinannya dengan Sultan Mahmud, Sultan telah menganugerahkan beliau Pulau Penyengat sebagai maskahwin dan tapak istana. Sultan Mahmud juga membahagikan wilayah ekonomi antara pihak Melayu dan Bugis. Engku Puteri dan pihak Bugis akan memiliki Pulau Penyengat dan kawasan sekitarnya, sebagai “daerah permakanan”. Maka di pulau Penyengat lah Yang Dipertuan Muda Riau Lingga akan menjalankan pentadbiran. Manakala Lingga dan sekitarnya menjadi kawasan “permakanan” pihak Melayu, melalui Tengku Abdurrahman, putera Sultan Mahmud.

Raja Jaafar adalah abang kepada Engku Puteri

Engku Puteri menjadi benteng kuat yang memegang, memelihara, dan pengawal alat kebesaran dan kedaulatan kerajaan. Sebab itu lah beliau rela berselisih paham dengan abangnya Raja Djaafar, Yang Dipertuan Muda Riau Lingga, ketika Raja Djaafar menetapkan Tengku Abdurrahman sebagai pengganti Sultan Mahmud dan bukan memilih putera sulung Sultan, Tengku Husin. Engku puteri menganggap Raja Djaafar melanggar adat dan tradisi kerajaan Johor Riau Lingga. Sebab itu beliau tidak mahu menyerahkan Regalia kerajaan kepada Tengku Abdurrahman. Beliau telah membawa pusaka tersebut ke istananya di Pulau Penyengat, dan membiarkan Raja Djaafar melantik Sultan Abdurrahman pada tahun 1812 tanpa Regalia.

Makam Raja Jaafar, Yamtuan Muda ke 6

Tetapi peranan beliau yang lebih berat sebagai seorang Permaisuri ialah ketika kuasa asing ingin merampas Regalia tersebut. Pertama ialah ketika Inggeris menggunakan politik jahat untuk memecahkan Empayar Johor Riau. Mereka, menggunakan Tengku Husin yang gagal menjadi Sultan serta kelompok Temenggung Johor yang berasa disingkirkan dengan cara melantik Tengku Husin menjadi Sultan Singapura. Untuk melantik Tengku Husin sebagai Sultan, mereka berusaha mendapatkan Regalia Kerajan. Mereka menyuruh Tengku Husin memujuk Engku Puteri menyerahkan Regalia kepadanya. Tetapi Engku Puteri telah menolak kerana beranggapan tindakan anak tirinya itu melanggar adat dan akan memecah belahkan kerajaan Riau.
Mereka cuba merasuah Engku Puteri dengan menawarkan wang sekitar 50,000 ringgit Sepanyol. Tetapi beliau tetap menolak, dan berasa terhina dengan tawaran itu. Beliau menganggap Inggeris biadap dan mahu merampas kedaulatan Riau. Akhirnya sebab gagal memiliki Regalia, mereka telah mencuri perabung Istana Engku Puteri, dan dibawa ke Singapura dan dijadikan simbol adat pelantikan. Begitulah pentingnya Regalia dalam kedaulatan seorang Raja Melayu. Tengku Husin akhirnya dilantik sebagai Sultan Singapura, dan sejak itu Empayar Johor pecah dua. Riau Lingga dibawah Sultan Abdurrahman, dan Singapura, Johor dan Pahang dibawah Sultan Husin Syah.
Namun sejak dilantik sebagai Sultan Riau Lingga, Sultan Abdurrahman merasakan dirinya belum berdaulat, kerana tidak mempunyai Regalia. Pada awal tahun 1822, kerana gagal memujuk Engku Puteri untuk menyerahkan Regalia, Baginda telah memohon bantuan Belanda yang telah mengepung istana Engku Puteri Hamidah. Akibat diancam dengan senapang dan pedang, Regalia itu akhirnya dirampas dari tangan perempuan berusia hampir setengah abad itu. Namun beliau sempat memekik kepada Gabenor Belanda bahawa Regalia tersebut, telah hilangan kesakralan atau wibawanya kerana diambil secara paksa. Sejak peristiwa rampasan tersebut bencana silih berganti menimpa kerajaan Johor lama. 
Walaupun Regalia tersebut akhirnya terlepas dari tangan Engku Puteri, namun pengaruh, kewibawaan dan kuasa beliau sebagai bangsawan Melayu-Bugis Empayar Johor di Pulau Penyengat tetap terlihat dalam sejarah. Beliau berjuang dalam politik istana untuk menghalang pihak asing yang ingin memecah belahkan negeri Melayu. Wanita hebat ini akhirnya meninggal dunia pada 5 Ogos 1844 di Pulau Penyengat sebagai wanita yang berprinsip serta amanah dengan tugas yang diberikan serta berjuang untuk mempertahankan budaya dan maruah orang Melayu terus disanjung tinggi.

Tuesday 28 July 2020

Perpustakaan ini berfungsi sebagai masjid di Canberra


Agak payah juga mencari masjid di Canberra ini, tersesat-sesat sampai ke kawasan taman perumahan. Rupa-rupanya masjid ini dikenali sebagai Canberra Islamic Centre (CIC). 
Ketika sampai masjid ini jam dah pukul 12.08pm. Oleh kerana masih kepenatan memandu dari Sydney ke Canberra, hamba ambil kesempatan untuk membersihkan diri, mandi dan tukar pakaian di masjid ini. Bersih masjid ini, Lepas tu solat jamak qasar zohor Asar.
Masjid Canberra ini boleh ditemui jika goggle nama Australian National Islamic Library.  Perpustakaan ini memang cantik, bersih dan tersusun dan ada sepasang suami isteri yang telah pencen menjadi sukarelawan menjaga perpustakaan ini. Non muslim pulak tu. Tapi akhlak sangat baik. Kami diizinkan masuk masjid ini menggunakan pintu perpustakaan ini.

Australian National Islamic Library ini adalah sangat penting sebagai pusat syiar Islam. Komuniti Islam di Canberra telah mengimpikan untuk mendirikan perpustakaan yang  memiliki koleksi lebih dari sejuta buku.''
Perpustakaan ini  sangat penting bagi umat Muslim Australia untuk menangkis berita-berita dari media yang sentiasa memberikan gambaran buruk terhadap Islam. Namun citi-cita mulia untuk mendirikan perpustakaan yang mempunyai sejuta buku ini tidak mudah dilaksanakan.


Australia merupakan negara yang memberi kebebasan bagi setiap umat agama untuk menyebarkan dan menjalankan keyakinannya. Sebenarnya, Canberra Islamic Centre yang berlokasi di 221 Clive Steele Ave, Monash, ACT 2905, itu sudah memiliki perpustakaan. Letaknya ada di dalam masjid. Koleksinya baru mencapai ribuan, tapi sudah dikatalog dengan sistem perpustakaan yang baik. Buku-buku di sini terdiri dari pelbagai bahasa. Ada juga buku perbandingan agama bagi orang bukan Islam membacanya.



"The aim of the ANIL is to provide access to resources on Islam to raise awareness and access amongst Muslims and the wider community and to support academic research. In so doing it will promote a balanced view of the faith and its people by making these resources available. As well as providing an in depth collection on Islam the collection also covers comparative religion, and the history and politics of Islamic nations. ANIL currently holds in excess of 30,000 books in many languages including English, Arabic, French, Spanish, Malay, Urdu and Hindi. It is affiliated with the Australian National Library as one of its specialised lending libraries and English language resources can be searched through Libraries Australia or the National Library's Trove catalogue".


Bangunan Canberra Islamic Centre yang telah mula digunakan sejak tahun 1993 namun ketika itu statusnya adalah bangunan sewaan. Mereka berusaha untuk mencari dana bagi membeli bangunan ini.


Canberra Islamic Centre juga menjadi pusat kegiatan umat Islam dari berbagai suku bangsa. Setiap hari, ada saja kegiatan yang digelar di masjid yang bentuknya seperti dewan orang ramai itu. Ada diskusi keagamaan, pusat sukan, pusat latihan komputer, hingga pelaksanaan ibadah solat Jumaat.
Tempat ini menjadi pusat untuk membangun dan memelihara pendidikan, budaya, dan sosial umat Muslim Canberra. Di Canberra Islamic Centre, semua Muslim dari  latar belakang yang berbeza diberi kebebasan untuk berkumpul dan menjalin ukhuwah Islamiah.



Monday 27 July 2020

Solat Jumaat yang tazkirahnya lebih lama dari khutbah di Masjid Surry Hills Sydney


Hari ni hari Jumaat, penat dah meronda kat Paddy Market, makan pun dah sudah.  Tengok jam dah nak dekat kul 12 tengahari.  Payah juga cari masjid... kena solat Jumaat ni.  Walaupun ada ruksah untuk meninggalkan solat Jumaat bagi seorang musafir tapi kalau punya peluang dan kesempatan tentu lebih baik solat Jumaat.  Kita dapat pengalaman bersolat di negara yang berbeza-beza.



  Akhirnya jumpa sebuah masjid yang terletak salam satu deretan bangunan,  Memang nampak dari jauh bukan macam sebuah masjid.  


Hasrat hati kalau dapat kat solat kat masjid terbesar di Sydney seperti di atas iaitu masjid Imam Ali bin Abi Talib. Namun apakan daya tak ada rezeki. Masjid Imam Ali ini dikenali juga sebagai Masjid Lakemba kerana terletak di 71-75 Wangee Road, Lakemba. Dikenali juga sebagai masjid Lebanon kerana diuruskan oleh kebanyakannya orang Arab Lebanon.  Masjid ini juga adalah masjid paling tua di Australia.


Namun hamba tak ada rezeki nak solat Jumaat di masjid Lakemba kerana jaraknya yang agak jauh dari tempat hamba berada. Masjid yang terdekat dengan Central Station ialah masjid Surry Hills. Hanya lebih kurang 1.5km atau kalau jalan kaki lebih kurang 10 minit sahaja.


Masjid Surrey Hills juga dikenali sebagai Masjid Raja Faisal. Masjid ini terletak di 175-177 Commonwealth St, Surry Hills, Sydney.


Bangunan tiga tingkat ini telah dibeli dan diubahsuai sebagai sebuah masjid.
Oleh kerana masjid ini terletak di pusat kota, tidak digalakkan kita membawa kereta ke sini, tempat parkir sangat terhad. Lebih baik naik pengangkutan awam dan kemudian berjalan kaki sahaja.
Masuk waktu Zohor muaazin terus azan.  Tapi solat Jumaat hanya bermula jam 1 petang.


Pukul 12 tengahari, orang belum ramai lagi.  Patutlah noja masjid ni beritahu jika sesiapa yang cepat solat Jumaatnya boleh pergi ke masjid lain yang berdekatan.


Sementara menunggu jemaah yang lain datang, kita bolehlah berzikir, mengaji Al Quran atau mengadap telefon bimbit.  Pukul 1 petang, jemaah semakin ramai, lalu imam memberikan tazkirah.  Lama juga tazkirah ini, lebih kurang 30 minit. Ini memberi peluang untuk jamaah yang masih bekerja atau melerakkan kenderaan yang jauh sempat sampai untuk solat Jumaat.  Masjid ini betul-betul di pusat bandar Sydney.


 Orang semakin ramai, masjid mula penuh.  Sebelah aku ada muslim bertatto penuh di lengannya.  Bersangka baik ajalah jawabnya.


Jam 1.30 petang baru imam naik mimbar!  Imam berkhutbah ringkas sahaja. Bayangkan solat Jumaat di masjid ini hanya memakan masa kurang daripada 30 minit.  Tetapi kena ingat sebelum solat Jumaat ini, ada tazkirah lebih kurang 30 minit.


  Lebih kurang pukul 2 petang solat Jumaat pun selesai.  Maka bertebaranlah semua jemaah menuju destinasi masing-masing.


Saturday 25 July 2020

Perpustakaan Alexandria pernah menjadi perpustakaan terbesar di dunia




            Perpustakaan Alexandria pernah menjadi perpustakaan terbesar di dunia. Didirikan pada awal abad ke-3 SM semasa pemerintahan Ptolemeus II. Perpustakaan ini pernah menyimpan sehingga kira-kira 700 ribu gulungan kertas papyrus. 



         Pada masa itu, pelabuhan Alexandria sangat maju dan banyak kapal dari seluruh dunia berlabuh di situ. Kebiasaanya kelasi kapal itu membawa buku untuk menemani pelayaran mereka. Ketika kapal berlabuh, para pembesar kota mengunjungi kelasi kapal, dan meminjam buku mereka untuk disalin. Salinan ini ditulis di atas gulungan kertas papyrus, lalu diletakkan di perpustakaan.



          Perpustakaan Alexandria ini telah sedia musnah ketika tentera Islam menaklukki Mesir pada tahun 640M. Para sejarawan mengatakan mungkin perpustakaan ini musnah teruk ketika Julius Caesar menawan kota ini pada tahun 47SM.



          Perpustakaan yang dibina semula telah diberi nama Bibliotek Alexandria dan dirasmikan oleh Presiden Hosni Mubarak pada tahun 2002.


           Perpustakaan ini berbentuk unik. Bangunannya berbentuk silinder, dengan banyak tingkap. 



          Dinding bahagian selatan pula dihias dengan potongan batu granit. Permukaan bebatuan yang tidak rata, ditulisi simbol huruf seluruh dunia. 



          Pada malam hari perpustakaan ini nampak cantik dengan warna keemasan hasil pantulan cahaya lampu jalan dengan biasan cahaya laut Mediterranean. 



         Ruang utama perpustakaan ini sangat luas dan mampu menampung hingga 2500 orang. Rak-rak buku berjajar dalam ruangan besar, sebesar empat kali padang bola dan mampu menampung 8 juta buku.

Diseberang jalan terletaknya Universiti Alexandria