Sunday 21 January 2018

Muzium Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah


Ini mungkin lawatan kali ke tiga ke istana lama ini.  Istana ini walaupun kecil tetapi nampak unik dan bentuk asli mirip Istana Besar Pagar Ruyung. Istana ini telah lama dijadikan sebuah muzium. Istana lama ini merupakan antara bangunan yang indah di Malaysia dari segi bentuk seni bina tradisional.  Dibina dalam tahun 1905 dan siap pada tahun 1908 oleh tukang kayu yang mahir dan terkenal iaitu Kahar dan Taib. 
  Salah satu yang menarik mengenai seni bina ini ialah pembinaaannya tidak menggunakan sebarang paku. 
  Seni bina empat tingkat mempunyai 99 batang tiang menggunakan kayu cengal.  Di tengah-tengah bangunan istana ini didirikan menara yang dinamakan Tingkat Gunung.  Struktur atas bumbungnya menggunakan kayu cengal yang berbentuk Lipatan Gunting.  


Kegunaan ruangnya pula di tingkat pertama menempatkan Balai Rong Seri untuk upacara mengadap.  Bilik beradu keluarga diraja terletak ditingkat dua sementara di tingkat tiga dikhaskan untuk Yang Dipertuan Besar.  Di menara Tingkat Gunung pula menempatkan khazanah diraja.

Dalam lawatan yang terakhir ini, saya dapati gambar-gambar lama yang yang mempunyai nilai sejarah telah hilang dari pandangan.  Mungkin gambar tersebut tidak disenangi lagi....!