Wednesday 25 March 2015

Venice - Ku rasakan kepalsuan romantika Gondola

Sesuatu yang selalu aku bayangkan bertapa romantiknya jika dapat menaikki gondola terutama bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Menyusuri setiap keluk dan terusan di bandar tua Venice.

Namun apa yang kulihat, yang menaikki gondola ini bukan pasangan muda tetapi pasangan tua yang banyak duitnya.  Bayangkan untuk kayuhan yang tak sampai 30 minit kena bayar Euro60.  Aaaah....! lupakan saja baik kayuh sampan di Tasik Putrajaya.
Gondola bukan lambang ketulusan cinta murni lagi tetapi menjadi lambang kekayaan dan ketinggian ego manusia.
Aku muhasabah diri mengenang motivasi Portugis menjajah Melaka dulu yang mengatakan pelabuhan Melakan adalah Venice Timur.  Tapi Melaka hilang sisa nostalgianya sedangkan Venice terus menggamit pelancung untuk datang dan terus datang.
Aku tak sudi menaikki mu gondola. Kau adalah lambang kepalsuan romantika yang mencekik darah.

Venice, ku datang sekali dan aku tak ingin datang mendakapmu lagi.  Adios!






Puisi Kembara - KOLEK BERALUN PATAH PENDAYUNG

Kolek jalur beralun ikut gelora lautan
Pendayung patah kepenatan
Gelisah, risau, juragan tua tahankan
Terbayang anak menangis kelaparan.

Hidup mesti berdugaan
Menguji erti keimanan kehidupan
Rancang, usaha, takdir penentuan.
Kolek terdampar tanpa juragan di daratan
Anak termenung kebingungan
Tenggiri busuk di buritan.

Emak dan adik dalam penantian
Sesuap nasi untuk dimakan
Terbayang malam kelam nan memanjang
Ah Long terusan mendesak menagih hutang
Beras di kampit kekontangan
Hujan merintih menambah kesempitan

Esok si anak yatim meredah lautan
Kolek jalur berteman pukat
Juragan igusan bakal sesat
Antara membawa ikan atau dimakan ikan

Siapakah harus disalahkan
Manusia atau alam
Atau kerana laungan mereka tak kuat
Atau wakil rakyat sudah pekak.



Ajiemin Tebo 2015

Puisi Kembara - Suatu masa dulu

Nun di lereng bukit lari berlarian
Terkejar, mengejar dan dikejar
Tersandung buku mencium tanah

Tersedu melihat kudis berdarah lagi
Terkedu takut di leter guru
Tersedu malu diolokki teman
Terkedu tanda alah permainan

Ia seperti bayi merah lagi
Mengenggam tangannya
Kanan mesti berisi ilmu
Kiri mesti berisi rezeki

Tangan mereka masih belum bernanah
Tangan mereka masih belum berdarah
Tangan mereka masih belum berlumpur

Dosa dan noda bukan milik mereka.


Ajiemin Tebo 2015

Puisi kembara - Hujan Emas di Negeri Sendiri

Kami adalah kaum marhaen yang kalut
Kekadang kami adalah
Banir-banir bakau yang saling berperang
Atau dedalu berselirat mengancam
Kami adalah renek yang berjuang melihat awan.
Kerana si saka yang rendang aman
Menyempitkan ruang kami untuk terus bernafas

Menara Kl dan KLCC
Sombong mendongak mencakar alam
Karak, Barat Timur dan Utara Selatan
Menjalar membelah alam
MAS dan Air Asia memendekkan lautan
Kami bangga hingga lupa rumput di bumi
Dengan seribu satu fantasi.

Tapi bila nyaring anak kecil meminta susu
Barulah kami merenung bumi
Kami hanyalah kaum marhaen
Menentang alam saban hari
Mencari sesuap nasi.

Kami kaum marhaen
Masih terus-terusan mengharap
Hujan emas di negeri sendiri.


Ajiemin Tebo 2015

Puisi kembara - GADIS DUSUN PENJUAL BUNGA


Aku adalah seorang kembara
Mencari ilmu di mana-mana
Mengarap pengalaman dunia
Mencari teman di mana-mana.

Kini aku kembara tempang
Sebelah kakiku dibelenggu beban kerja
Namun aku masih terus tercari-cari
Teman untuk berbicara
Teman untuk bertukar idea
Teman untuk menghibur ketika rasa sepi ada di mana-mana.
Lalu tak semena aku merasa perlu menulis
Ku gagahkan menghayun pena mencurah rasa

Kalau kau merasa perlu
Balaslah puisi ini walau sebaris cuma
Kerana tautan rasa tak bisa dipaksa
Tak tersulam dek belas kasihan semata.

Gadis Dusun penjual bunga
Aku datang, aku lihat, aku tertawan,

Namun belum dapat menawanmu.



Ajiemin Tebo 2015

Lugano - Kususuri tasikmu dihening pagi

Sampai Lugano Switzerland, jam 2 pagi setelah sesat beberapa kali di Tasik Como Itali.  Memandu waktu malam di kawasan yang berkeluk-keluk agak mencabar. Oleh kerana kepenatan kami parking kereta bawah pokok, agak tersembunyi dan tak jauh dari tasik dan  kami pun tidur dengan nyenyaknya dalam kereta.  Rasa hangat dan hanya perlu membuka cermin sikit sahaja.


Bangun awal pagi dan solat subuh di bawah pokok sahaja, kebetulan Mat Saleh belum bangun lagi.  Suasana sangat hening. Kami pun meronda-ronda dengan berjalan kaki sambil mengambil foto.  Memang cantik Lugano ini.  Aku pun tak tahu nak cerita apa, biarlah foto-foto ini yang berbicara.

Mamat Melayu syok sendiri






Mamat Melayu bergaya dengan Peugot sewa.
Hanya itik yang memenuhi keheningan tasik di awal pagi

Pemandangan yang streotaip di kawasan bertasik Itali dan Switzerland
Bandar pelancungn di Switzerland biasanya kecil molek, bersih tanpa bangunan tinggi serta tak ada kesesakan jalanraya


Perjalanan masih jauh....... ikut sedap hati saja. Tak apa proper planning.

Sunday 22 March 2015

Koto Alam - Ku letakkan kakiku serentak di dua hemisfera bumi di Tugu Equator Kota Alam

Tugu Khatulistiwa di Koto Alam




Tugu Khatulistiwa atau dikenali juga sebagai tugu Equator ini terletak di Koto Alam, Kabupaten 50 Kota, Sumatera Barat, Indonesia. Tugu ini dibina betul-betul di tepi jalan “Lintas Riau – Sumbar”. Tugu ini mula dibina di zaman penjajahan Belanda dan dibaiki di zaman Jepun. Tugu ini pernah disebut sebagai Sakido Mura, dan sekarang dikenali sebagai telur gajah. Disebut demikian karena memang bentuknya hanya berupa bola besar di pinggir jalan 

Garis khatulistiwa adalah garis yang membahagi planet bumi menjadi dua bahagian sama besar, iaitu hemisfera utara dan hemisfera selatan. Garis Khatulistiwa yang melintangi garis barat-timur adalah garis yang terpanjang di antara garis-garis lintang lainnya. Garis inilah yang menentukan koordinat lintang (latitude) untuk lokasi manapun di permukaan bumi.

Tugu ini jadi penanda jalur garisan khatulistiwa
Garis khatulistiwa juga penanda utama yang amat menentukan wajah iklim di Bumi. Menurut kajian, Indonesia menjadi negara dengan perlintasan garis khatulistiwa terpanjang iaitu dari garis bujur 98,20996 BT hingga 130,10490 BT. 
 Di Pulau Sumatra, terdapat Gerbang Khatulistiwa dan Taman Equator di Bonjol serta Bola Khatulistiwa di Koto Alam, Kab. Limapuluh Kota (keduanya di Sumatra Barat). Juga berdiri Tugu Equator di kab. Pelalawan (Riau). Sementara di Pulau Kalimantan terdapat Tugu Khatulistiwa Pontianak (Kalimantan Barat) dan Tugu Khatulistiwa Santan Ulu, Bontang (Kalimantan Timur). Dan di Pulau Sulawesi terdapat Tugu Khatulistiwa Parigi Moutong (Sulawesi Tengah). 
Surau dekat Tugu Khatulistiwa Koto Alam

Friday 20 March 2015

Zagreb - Kota yang sibuk dan meriah sepanjang masa



Semasa merayau-rayau di Zagreb Crotia, teringat Bojan Hodak, jurulatih JDT yang berasal dari daerah ini. 

Bandar Zagreb ni tak berapa besar sangat lebih kurang macam JB sahaja. Cuma agak tersusun dan public transport yang efisyen. 


Tak ada kenangan indah di sini. Bandar Split lagi happening. Kebanyakan rakyat Crotia beragama Kristian Protestan. Crotia disokong sepenuhnya oleh Negara Jerman. Serbia ditaja oleh Russia sementara Bosnia dinaungki oleh Turki. Ketiga-tiga Negara ini asalnya bergabung dalam Kesatuan Yugoslavia.

Tak ada cerita menarik di Zagreb. Baik cerita tentang Bojan Hodak. Sebagai anak jati Johor, tentu sahaja aku penyokong JDT Football Club.


          Bojan Hodak mula menceburi bidang bola sepak sebagai pemain semasa berumur 16 tahun apabila dia menyertai kelab NK Trnje. Posisi kegemarannya ialah pertahanan tengah dan antara kelab yang pernah diwakilinya di Croatia ialah NK Vrapce, NK Hrvatsi, Dragovaljac dan NK Ponikve.
          Pada tahun 1997, Bojan memutuskan untuk menyambung kariernya di rantau Asia dan dia pernah mewakili Balestier Central dan Jurong FC di Singapura serta Hong Kong Rangers di Hong Kong. Setelah mengakhiri kariernya sebagai pemain professional, Bojan mendapatkan sijil kejurulatihan ‘C’ AFC pada tahun 2000 ketika menyertai program ‘Little League Soccer’ sebagai ketua jurulatih. Bojan berjaya memperolehi lesen A kejurulatihan UEFA di Croatia pada tahun 2004,
         Bojan mula dikenali ramai setelah dia menyertai program ‘Myteam’ bersama Shebby Singh, Khairy Jamaluddin dan Jason Lo pada tahun 2006. Kejayaan Myteam menyertai dan menjadi naib johan Liga Perdana pada tahun 2007 membolehkan mereka menyertai Liga Super Malaysia pada tahun 2008. Pada tahun 2011, Bojan dilantik sebagai jurulatih utama kelab Phnom Penh Crown di Kemboja dan berjaya membawa pasukannya kepuncak liga dan layak ke pusingan akhir Piala Presiden AFC.
       Bojan kemudian berpindah ke kelab Shandong Luneng China pada Jun 2011 sebagai penolong jurulatih dimana kelabnya ini telah berjaya menamatkan Liga Super ditangga ke 5 serta menjadi naib juara Piala FA China.
        Pada tahun 2012, Bojan menjadi jurulatih utama Kelantan. Bojan berjaya membawa kejayaan pada Kelantan. Namun akhirnya pada tahun 2013 hingga hari ini Bojan telah menjadi jurulatih Johor Darul Takzim pula. Pada tahun 2014, Johor telah menjadi juara liga dan naib juara piala Malaysia. 

       Syabas Bojan, jurulatih botak berasal Zagreb Croatia ini.