Skip to main content

Kampungku: "Sejarah Melayu Jambi di Kampung Tanjung Semberong Batu Pahat"

Ikon Kampung Tanjung Semberung ialah masjid tuanya yang cantik dan unik binaannya berbanding dengan masjid lain di Johor. Bayangkan masjid kampung yang agak kukuh dan indah ini boleh dibina kira-kira hampir 90 tahun yang lalu.  Tentu sahaja kampung ini juga mempunyai sejarah yang juga tak kurang hebat untuk dikaji. 


Hamba dilahirkan di kampung ini, Kampung Tanjung Semberong, Mukim 7, Batu Pahat Johor.  Hamba membesar di sini sebelum berhijrah ke beberapa tempat lain. Kenapa batu jalan di kampung hamba ini bermula dengan 0. Sungai adalah penanda sempadan kampung ini. Kampung ini terletak di persimpangan Sungai Batu Pahat iaitu Sungai Simpang Kanan yang menuju ke Yong Peng dan Sungai Simpang Kiri yang menuju ke Parit Yaani.  Pecahan dua sungai ini membentuk satu tanjung.  Lalu dinamakan orang Kampung Tanjung Semberong.  Sampai sekarang kampung ini masih mengalami air sungai yang pasang surut.


Dulu ketika sungai menjadi laluan utama ke Bandar Batu Pahat, Kg. Tanjong Semberong ini memang meriah dan maju.  Sebab itu Mukim 7 dipanggil juga Mukim Tanjung Semberong. Bila jalanraya dibina yang menghubungkan bandar Batu Pahat dan Air Hitam dibina, pengangkutan sungai telah tidak digunakan lagi dan kampung ini semakin dipinggirkan oleh arus kemodenan. Orang hanya tahu kehadiran mukim Tanjung Semberong ini dengan ikonnya yang baru iaitu Restoran Nasi Kambing 40 Hari. 


Bila hamba pulang ke kampung ini, hamba suka melihat kembali sungai kampung hamba yang tenang ini.  Disinilah hamba belajar berenang dan bermain bersama rakan-rakan semasa kecil tanpa memikirkan bahaya jika buaya datang menyerang. Nostalgia yang tetap akan dikenang. 


Datuk hamba Lebai Hanafi Tais meninggal dunia ketika hamba berusia 9 tahun.  Tidak banyak kenangan bersama beliau tetapi hamba lama duduk bersama nenek hamba yang keseorangan di sini. Orang kampung ini memanggil nenek sebagai "nyai".  Nyai hamba ini selalu bercerita tentang "akar" hamba sebagai orang Melayu Jambi. Beliaulah yang banyak menghidupkan jatidiri hamba sebagai orang Melayu Jambi selain persekitaran kampung ini yang majoritinya terdiri dari orang Melayu Jambi.


Ayahnda hamba (paling kanan) dan rakan sebayanya Raden Muhammad Yasin. Hamba selalu mendengar cerita dari mereka tentang sejarah kampung Tanjung Semberong ini. Mereka masih menggunakan bahasa Melayu Jambi ketika berkomunikasi. Kampung ini telah dibina pada antara tahun 1901 hingga tahun 1904. Tahun 1901 adalaha tarikh Sultan mengarahkan sebahagian keluarganya berhijrah ke Johor sementara tahun 1904 adalah tarikh terbunuhnya Sultan Thaha.


Sejarah Kampung Tanjung Semberong ini semakin hilang dan dilupakan.  Oleh itu adalah penting untuk mengkaji dan menulis sejarah kampung ini bagi tatapan generasi yang akan datang. Alhamdulillah beberapa tahun kebelakang ini, anak jati kampung ini Cpt (rtd) Raden Idris Raden Hassan telah mengerakkan Kesarja  Keluarga Besar Jambi bagi tujuan ukhuwah dan silaturrahim. 


Mari kita kaji sejarah Kampung Tanjung Semberong ini.  Untuk mengkajinya sudah tentu kita perlu mengkaji sejarah Sultan Thaha Syaifuddin dan kesultanan Jambi. Pada abad ke 17, hubungan Kerajaan Jambi dengan Kerajaan Johor penuh dengan perselisihan, pergolakan dan peperangan. Perang Jambi Johor berlangsung selama hampir 14 tahun ternyata telah membawa kepada kehancuran, kemunduran, dan penderitaan rakyat. Yang untung dalam perang Jambi-Johor adalah kaum penjajah iaitu Belanda, Inggeris, dan Portugis.  pada abad 19 hubungan Jambi-Johor dikatakan berjalan dengan baik dan harmoni karena adanya saling faham memahami. Keadaan ini berlaku sejak negeri Jambi diperintah oleh Sultan Thaha Syaifuddin (1855 – 1904). Hubungan baik antara Jambi-Johor masih terlihat semasa Indonesia/Jambi menghadapi peperangan dengan Belanda pada tahun 1949.


Sejak sultan Thaha Syaifuddin naik takhta kesultanan Jambi tahun 1855-1904, penjajah Belanda tidak pernah tenang hatinya, karena sultan Jambi dengan istiqamah telah mengambil tindakan tegas menentang segala bentuk kehadiran Belanda di negeri Jambi. Tentangan keras ini menyebabkan Belanda menyerang istana Jambi tahun 1858 dan berjaya menawannya.


Sejak itu sultan Taha dan pengikutnya telah berundur ke Muara Tembesi dan berperang di sana. Pada tahun 1901 Muara Tembesi ditawan oleh Belanda. Maka sultan Taha terpaksa berundur ke pedalaman hutan Jambi, lalu berperang secara gerila. Sebelum perang di Muara Tembesi terjadi, keluarga sultan Taha dan keluarga pengikutnya telah sempat dipindahkan terlebih dahulu menuju tempat yang selamat. Salah satu tujuan pengunduran bagi keluarga sultan dan pengikutnya adalah di daerah Batu Pahat, Johor. Perpindahan ke Batu Pahat ini berlaku dalam dua peringkat.


Peringkat pertama, iaitu semasa pengunduran sebelum pecah perang Muara Tembesi tahun 1901. Pengunduran ini dimulai dari Sungai Alai, meredah hutan belantara menuju Muara Tebo, dan terus ke Merlung. Dari Merlung perjalanan meredah hutan diteruskan menuju Siak Indragiri. Dari Siak Indragiri, mereka meredah hutan juga menuju Kuala Kampar, Riau. Dari Kuala Kampar perjalanan diteruskan dengan menyewa sebuah tongkang dan belayar Batu Pahat. Perjalanan dari negeri Jambi menuju negeri Johor ini mengambil masa selama 6 tahun. Di setengah tempat mereka sempat bersawah padi. Tentera Belanda terus mengejar kumpulan ini dan sawah padi yang diusahakan ini terpaksa ditinggalkan. Dalam perjalanan ini ramai juga jatuh sakit dan meninggal dunia. Setelah sampai ke Batu Pahat, kumpulan pertama pelarian ini, dikurniakan oleh sultan Johor sebuah kawasan hutan di sekitar Batu Pahat dan dinamakan Kampung Tanjung Semberong.


Senarai pelarian yang selamat sampai dan membuka Kampung Tanjung Semberung ini ialah:.

1) Raden Muhammad Yasin, sebagai ketua. Beliau adalah anak Raden Hamzah.
2) Penghulu Haji Ali, dari dusun Teluk, termasuk dalam senarai orang yang mesti      ditangkap samada hidup atau mati oleh Belanda.
3) Syarifah Dempak.
4) Ratumas Badaniah Binti Sultan Thaha Syaifuddin, ia adalah seorang janda            membawa 2 orang putra, satu di antaranya bernama Raden Haji Bagong              (Raden Haji Abdul Rahman).
5) Dan berbelas orang pelarian lainnya serta anak-anak mereka yang belum              dewasa.


Fasa kedua, setelah Muara Tembesi jatuh ke tangan Belanda, sultan Thaha Syaifuddin mengarahkan beberapa keluarga istana Kerajaan Jambi menuju Johor. Mereka terdiri daipada Raden Hanafiah bin Raden Abdul Rahman, sebagai ketua rombongan dan beberapa keluarga termasuk beberapa orang anak yang belum dewasa.



Kumpulan ini bergerak menggunakan laluan yang sama dengan kumpulan fasa pertama dahulu. Di Kuala Kampar karena terpaksa, mereka telah merampas empat buah kapal tongkang untuk menuju ke Batu Pahat. Di Batu Pahat, sebuah tongkang yang mereka tumpangi telah terkandas, pecah dan karam di tengah sungai Batu Pahat. Tempat di mana peristiwa tongkang ini karam telah dinamakan Tongkang Pecah. Kumpulan kedua ini akhirnya bersatu dengan kumpulan pelarian pertama di Kampung Tanjung Semberong. Dari Tanjung Semberong, orang-orang Jambi ini mula berkembang hingga ke Sungai Biuh, Segamat, dan sekitarnya.


Sekian. Jika ada maklumat yang salah mohon diberitahu.

Comments

Popular posts from this blog

Coretan Kembara - Habib Ali Batu Pahat yang kutemui

Pak Habib dengan senang hati menyambut semua tetamunya tanpa melebihkan antara satu dengan lainnya. Seperti biasa bila memandang Pak Habib ni, timbul rasa tenang dalam diri               Ketika melayari internet untuk mencari informasi tempat-tempat yang menarik untuk dilawati di Surabaya, ada beberapa pelan perjalanan yang menjurus kepada lawatan tempat lahirnya Wali Songo. Banyak juga tokoh-tokoh agama yang hebat yang dicadangkan untuk diziarahi. Dalam banyak-banyak itu hamba ternampak satu nama dan gambar yang hamba pernah temui di rumahnya di Kampung Solok Wan Mor, Batu Pahat. Dia dikenali sebagai Habib Ali Batu Pahat atau nama sebenarnya al-Habib Syed Ali bin Syed Ja'far al-Idrus.            Pada kali pertama hamba menziarahinya kerana termakan pujuk seorang rakan yang mengajak hamba ke Batu Pahat untuk menziarahi Habib Ali kerana katanya amalan yang digalakkan pada 10 Muharam ialah menziarahi alim. Ke...

Masjid Telok Manok: Kutemui masjid tertua di Thailand.

Masjid tua yang tidak mempunyai kubah. Kubah adalah pengaruh Turki. Semasa berjalan di Narathiiwat, hamba berpeluang menziarahi sebuah masjid kayu yang sudah berumur sekitar 300 tahun bernama Masjid Telok Manok atau dikenal juga dengan nama Masjid Wadi Al-Hussein.  Rajah asal Masjid Telok Manok Masjid ini masih terus digunakan untuk solat fardu dan solat Jumaat Masjid ini dibina pada tahun 1768, menjadikannya sebagai masjid tertua yang masih berdiri di Thailand. Seni bina Melayu, Cina, Kemboja dan Jawa bergabung  Masjid ini dibina mengikut senibina Melayu, Cina, Jawa dan Kemboja.  Dibuat menggunakan kayu sepenuhnya dan tanpa menggunakan paku. Masjid ini mempunyai tiang dan ada menara azan yang juga dibuat dari kayu.   Semuanya disusun cantik namun terus kukuh selama 300 tahun Telok Manok merupakan nama desa tempat masjid ini berdiri, sebuah desa kecil berjarak sekitar 25 kilo meter dari kota Narathiwat. Sedangkan A...

Damsyik - Kutemui Masjid Umawi yang tua usianya.

Tempat pertama hamba ziarahi ketika sampai  di Damsyik ialah Masjid Umawi.   Masjid ini telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Umawi al-Walid bin Abdul Malik, Khalifah Kerajaan Umawi pada tahun (86 – 96 Hijrah) (705 – 714 Masehi) .  Damsyik adalah Ibu Kota pemerintahan kerajaan Umayyah pada waktu tersebut. I a didirikan di atas tanah yang sudah beribu-ribu tahun menjadi pusat peribadatan dan awalnya merupakan tempat ibadah bangsa Aram yang menyembah Dewa Hadad, iaitu bangsa Arab Suryani kuno sejak 3000 tahun sebelum Masihi. Di awal abad Masihi tempat ini telah berubah menjadi tempat ibadah penyembah Dewa Jupiter ad-Dimasqi (zaman Romawi) dan ketika agama Kristian berkembang di Damsyik  pada abad ke-4 Masihi tempat ini berubah menjadi gereja yang bernama “St. John the Baptist Basilica”.   Pada zaman kekuasaan Romawi, penduduk asing tidak mudah memasuki kota Damsyik, karena kota itu dikelilingi tembok yang tinggi. Mereka yang ingin memasuki k...