Sunday 31 May 2020

Apa khabar rakan dari Maahad Mesbah E-Ulum Ranget Tanjung Emas Narathiwat


Rakan baik yang juga Pengetua Maahad Mesbah E Ulum Narathiwat. Beliau sanggup datang ke majlis walimatul urus anak hamba pada tahun 2016
  Pada setiap hujung bulan Ramadhan setiap tahun, rakan dari Maahad Mesbah E-Ulum akan sampai ke Masjid Gemereh Segamat.  Memang tidak pernah mereka tak datang ke masjid kami sepanjang ingatan hamba tinggal di daerah ini selama 21 tahun. 
Mereka datang sambil menziarahi rakan mereka juga berusaha mendapatkan sumbangan kewangan bagi membangunkan sekolah Maahad mereka.  Mereka berjaya membangunkan sekolah yang agak besar, kemas dan tersusun pengurusannya.
Pengasas Maahad ini ialah Ustaz Hj Abdul Wahab. Dari tahun 1990an hingga tahun 2010, Ustaz Wahab yang akan datang bersama tiga orang rakannya. Beliau seorang yang menyenangkan dan sangat berkarisma. Lama di Timur Tengah dan mengenali bekas mufti Johor Dato' Noh Gadut.
Ustaz Wahab seorang yang tawaduk dan berilmu tinggi.  Beliau adalah seorang tokoh agamawan di Narathiwat dan beliau dikkenali sebagai Tuan Guru Baba Hj Abdul Wahab Shehabudin. Beliau memang telah lama menjadi sasaran untuk dibunuh oleh pihak kafirin. Akhirnya pada 1 April 2011 bersamaan 27 Rabiul Akhir 1432 beliau telah ditembak mati setelah selesai sembahyang Jumaat.
Bersama Ustaz Ramli dan carta organisasi Mesbah E Ulum
Setelah ketiadaan Tuan Guru Baba Hj Abdul Wahab, adik beliau Ustaz Ramli pula mengambil alih tugas sebagai pengetua maahad tersebut. Dan seperti biasa beliau akan sampai ke masjid gemereh pada bulan Ramadan.  Beliau akan tidur semalaman dan kemudian meneruskan perjalanan ke Batu Pahat atau Singapura. Beliau bermujahadah untuk membangunkan Madrasah Maahad E Ulum menyambung perjuangan abangnya yang telah tekorban syahid itu. Hanya pada tahun 2020 ini rakan dari Narathiwat ini tidak datang akibat ancaman Virus Corona.
Pada tahun 2018 hamba berkesempatan untuk menziarahi Ustaz Ramli dan warga Maahad Mesbah E Ulum.  Ustaz Ramli menunjukkan kereta Ustaz Wahab yang ditembak dengan peluru M16. Ustaz Ramli sungguh tenang bila bercerita tentang kematian abangnya.Mungkin itulah kekuatan dalaman orang Islam di Selatan Thailand. Kekesalan mereka ditindas oleh penjajah dialihkan kepada usaha untuk membangunkan anak-anak Islam di daerah mereka. 

Ustaz Ramli juga membawa hamba menziarahi masjid Telok Manok dan sempat juga menziarahi pusara syuhada peristiwa Takbai. Mereka-mereka yang maut setelah disiksa  dan tidak dikenali identitinya dikebumikan di sini. Tanpa batu nisan! 

Puuuhhhh...... sungguh kejam.
Allahu Akbar!


Mengembara: Perlunya Pemahaman.

Piramid Giza.  Kekal selama 4 ribu tahun sebagai bangunan tertinggi di dunia.  Hanya ditewaskan ketinggiannya oleh Menara Effiel pada kurun ke 19.  Canggihnya Firaun, namun tersungkur di dasar Laut Nil kerana kufur dan sombong.  Peliknya kota Firaun sebenarnya berada di Luxor Aswan, selatan Mesir lebih kurang 8 jam perjalanan.  Masih banyak misteri yang tidak terungkai ...... Pertama kali hamba sampai ke sini ialah pada tahun 2012.

Mengembara adalah aktiviti yang digalakkan dalam Islam terutama mengembara dalam rangka untuk menambahkan keimanan kita kepada Allah. Dalam mengembara, kita dapat merasai nikmat melalui pancaindera yang Allah kurniakan, mendapatkan pengalaman, menguji tahap emosi dan melembutkan hati dengan melihat dan memperakui kekuasaan dan kebesaran Allah. Kita boleh merasakan bertapa kerdilnya manusia bila melihat keindahan dan keunikan bumi yang Allah ciptakan ini, merasa betapa hinanya manusia setelah melihat tinggalan sejarah yang pernah diazab oleh Allah, malah ketika dalam perjalanan itu sendiri bermacam-macam pengalaman yang mencabar dan mendebarkan hati serta emosi berlaku.
Hamba menunaikan umrah dan haji pada Februari 2003. Sepatutnya pada tahun 2002 tetapi ditangguhkan kerana isteri dah sarat mengandung.  Oleh kerana pergi bagi kali pertama dan dapat penerbangan paling awal.  Banyak aktiviti lasak tidak dapat dibuat, untuk menjaga kesihatan sementara menunggu ke Arafah.  Pada tahun 2009 pergi lagi mengerjakan umrah, tapi kali ini bawa ayah dan emak.  Ayah sudah tak kuat berjalan dan terpaksa guna kerusi roda.  Hamba pun tak berpeluang untuk melakukan aktiviti yang lasak.  Sejak mengerjkan haji lagi hamba memang berazam untuk mendaki Jabal Nur dan menjejakkan kaki di Gua Hira'.  Akhirnya pada tahun 2015, hamba bawa isteri dan kesemua 6 orang anak hamba menunaikan umrah.  Dah sudah tentu hamba gunakan kesempatan ini untuk memenuhi impian yang lama terpendam.  Pada Januari 2020 hamba menunaikan umrah lagi bersama isteri.  Dan hamba terasa puas bila memandang puncak Jabal Nur ini dari kejauhan!

Tentu sahaja jika anda pernah mengembara di Arab Saudi, Jordan, Syria dan Mesir, anda akan berjumpa banyak tempat tinggalan sejarah yang sangat menyentuh hati, kita dapat menghayati betapa Allah Maha Berkuasa mengazab orang-orang yang mendustai ayat dan petunjuk-Nya.
Petra di Jordan, memamg menakjubkan. Kaum Nabatean ini telah membangunkan kota di celah-celah gunung.  Masih kekal kukuh sehingga kini.  Tamadun ini juga hancur luluh, tiada berpenghuni langsung.  Kemajuan yang mereka kecapi menyebabkan mereka kufur ingkar.
Laut Mati, tempat di mana kaum Nabi Lut dimusnahkan kerana kesongsangan nafsu mereka. Hamba sempat mandi dan peliknya kita tidak akan tenggelam. Bila jumpa kenalan Arab, mereka tegur, " Tidak boleh bergembira di tempat yang pernah Allah laknat."
 Merasai pengalaman berada di tempat-tempat tersebut dan melihat sendiri tinggalan sejarah itu pasti tidak sama dengan sekadar mengetahui melalui pembacaan, dokumentari filem atau mendengar cerita orang lain.
Semasa hamba pergi ke Bani Suef, seorang kenalan mengajak hamba melihat sebuah piramid yang baru diterokai.  Bani Suef ni lima perjalanan dari Kaherah. Terowong curam hingga ke dasar piramid memang menggerunkan.  Tapi ruang bawah dah kosong, semua keranda dan harta karun telah dibawa keluar.
Untuk mengembara, niat kita mesti fokus semata-mata untuk mencari kebaikan kerana Allah SWT. Kita mengembara mungkin kerana hendak melakukan ibadat seperti haji atau umrah, menuntut ilmu samada formal atau tak formal, mencari rezeki, berniaga, berjihad, berdakwah, menziarahi keluarga atau sahabat, melihat keindahan alam, berehat, terapi jiwa dan emosi, mencari pengalaman baru, mencari ilham, mencari maklumat jalanan, memerhati pelbagai perangai manusia, atau menghayati sejarah yang pernah wujud di satu-satu negara. Mengembara tidak seharusnya dicemarkan dengan perkara-perkara maksiat dan haram samada sebagai tujuan atau pun aktiviti semasa bermusafir.
Bukit Pemanah yang bertentangan dengan Jabal Uhud masih teguh berdiri di situ.  Bukti sepanjang zaman jika kita ingkarkan Nabi pasti kita akan tewas. 
Terdapat beberapa ayat Al Quran yang menyentuh tentang pengembaraan ini. Antaranya ialah:

·         Surah Al An'am (6: 11)Katakanlah (Muhammad), "Jelajahilah bumi, kemudian perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan itu.''

·         Surat An-Naml (27: 69)Katakanlah (Muhammad) "Berjalanlah kamu di muka bumi, lalu perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa.

·         Surah Ar-Rum (30: 42): Katakanlah (Muhammad) "Berpergianlah kamu di muka bumi lalu lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang dahulu. Kebanyakan mereka adalah orang yang mempersekutukan (Allah)."

·         Surah Al-Hajj (22: 46)Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dada.

·         Surah Al Mulk (67: 15): Dialah yang memjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.
Menziarahi makam Muaz bin Jabal dan anaknya Abdul Rahman bin Muaz di Jordan Valley.  Kedua mereka adalah korban wabak taun yang melanda wilayah tersebut.  Ramai lagi sahabat nabi yang menjadi korban wabak pendemik ini. Mereka yang Nabi sayang pun boleh tewas dek wabak, apalagi kita orang awam yang banyak dosa ini tentu mudah sahaja kita ditewaskan oleh Corona Virus.  Cuma mereka bersedia menghadapi kematian di depan mata kerana iman mereka yang tinggi sedangkan kita masih kuat bergantung pada makhluk.  Kita wajib takut pemilik virus Corona itu.

Friday 29 May 2020

masjid berkunci di Jaen: Ingin hati mahu solat Jumaat di bumi Andalusia.

 Awal pagi dah bertolak dari Rute melalui jalan sempit dan banyak selekoh untuk ke Jaen.  Memang masa satu hari untuk ronda seluruh wilayah Jaen ini.  Namun biasalah Sepanyol ni dipenuhi dengan ladang Zaitun.  Macam kalau kat Malaysia tu kiri kanan dipenuhi dengan ladang kelapa sawit.

 masa gi Jaen ni bulan Julai 2019.  Cuaca memang panas terik.


 Aku memang dah niat dari Rute pagi tadi untuk solat Jumaat di Jaen dengan anggapan tentu wilayah tinggalan kerajaan Islam Andalusia ini masih banyak orang muslim.
 Jumpa masjid di tengah bandar Jaen ini.  Waktu dah masuk Solat Jumaat ni, tapi tak nampak bayang orang gi masjid pun.
 Mungkin mereka solat tempat lain, tapi yang musykil tu pintu dikunci... nak solat zohor pun tak boleh,
 Apa boleh buat, kena balik Rute semulalah jawabnya.

Wednesday 27 May 2020

JAEN: KUTEMUI BANOS ARABES

 Dari Rute aku memandu ke Jaen, tidak berapa jauh tetapi aku melalui jalan kampung yang bengkang bengkok, sempat serta bernulit-bukit.  Sepanjang perjalanan di kelilingi oleh ladang zaitun yang seluas mata memandang.


 Meronda disekitar bandar Jaen, biasa-biasa aja bandar yang berbukit-bukit, jenuh berjalan dan mendaki.  Aku cuma nak gi Baranos Arabes.

 Ini bangunan Banos Arabes.  Dulu adalah istana kepunyaan raja-raja Islam.  Akhirnya setelah dikalahkan oleh puak kristian ia dijadikan muzium.











Tuesday 26 May 2020

Solat Zohor Asar di Masjid Giblartar Sepanyol


 Sampai Giblartar dah tengahari.  Masa ronda-ronda ternampak masjid yang cantik.  Tak lama kemudian tedengar azan Zohor.  Alhamdulillah ... aku gi solat Zohor di masjid itu.  Berborak-borak dengan imam Abdul Rahmad dari Mesir dan bilalnya dari Moroko.  Masjid besar dan indah ini ditaja oleh kerajaan Arab saudi.










 Bergambar besama imam dan bilal masjid ini.  Sempat juga bertalaqi Al Fatihah dengan Imam Abdul Rahman ini.