Monday 10 September 2018

Kutemui makam Marhum Mangkat di Dungun @ Sultan Yahya Siak.

Dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke Johor, hamba singgah solat di Dungun.  Entah macam mana ternampak papan tanda Sultan Yahya Siak. Lalu hamba singgah kejap ke makam tersebut, ambil gambar dan balik rumah baru buat kajian sikit tentang makam tersebut.

Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah (Sultan Siak ke-7), satu-satunya sultan yang dimakamkan di luar jajahan negerinya iaitu di Kampung Che Lijah, Du­ngun, Terengganu kerana berlaku perebutan kuasa di antara Sultan Yahya dengan saudara dua pupunya, Tengku Udo Syed Ali Syed Usman Syahabuddin (menaiki takhta kerajaan Siak bergelar Sultan as-Sayyid al-Sharif Ali Abdul Jalil Syaifuddin Shah, Sultan Siak ke-8).
Kaitan kesultanan Terengganu dan kesultanan Siak terjalin apabila Sultan Ismail Abdul Jalil Jalaluddin Shah (1760 - 1766), Sultan Siak Ke-3 berkahwin dengan Tengku Tipah, puteri Sultan Mansur I yang memerintah Terengganu dari 1733 - 1794. Hasil perkahwinan baginda Sultan Siak adalah Tengku Yahya dan Tengku Puteri. Tengku Yahya menaiki takhta pada 1781 dengan gelaran Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah. Pergolakan politik di kalangan keluarga diraja merencatkan pemerintahan baginda. Pada zaman baginda juga, Siak telah terlibat dalam pergolakan politik di Selangor.  Setelah berlakunya rampasan kuasa oleh Syarif Ali, dua pupu kepada Sultan Yahya, baginda telah meninggalkan Siak melalui Kampar, Retih, Melaka dan  ke Terengganu. Baginda kemudiannya telah menetap di Kampung Che Lijah, Dungun. Dalam tempoh itu juga beberapa kaum kerabat dari Siak telah datang dan menetap di Terengganu. Pada tahun 1784, baginda telah mangkat dan dimakamkan di Kampung Che Lijah.
Berikut ialah senarai sultan-sultan Kerajaan Siak Sri Indrapura.
1.   Sultan Abdul Jalil Rakhmad Syah (1725-1746)
2.   Sultan Abdul Jalil Rakhmad Syah (1746-1765)
3.   Sultan Abdul Jalil Jalaluddin Syah (1765-1766)
4.   Sultan Abdul Jalil Alamuddin Syah (1766-1780)
5.   Sultan Muhammad Ali Abdul Jalil Muazzam Syah (1780-1782)
6.   Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah (17821784)
7.   Sultan Assaidis Asyarif Ali Abdul Jalil Syaifuddin Baalawi (1784-1810)
8.   Sultan Asyaidis Syarif Ibrahim Abdul Jalil Khaliluddin (1810-1815)
9.   Sultan Assyaidis Syarif Ismail Abdul Jalil Jalaluddin (1815-1854)
10. Sultan Assyaidis Syarif Kasyim Abdul Jalil Syaifuddin I (Syarif Kasyim I, 1864-1889)
11. Sultan Assyaidis Syarif Hasyim Abdul Jalil Syaifuddin (1989-1908)
12. Sultan Assyaidis Syarif Kasyim Abdul Jalil Syaifuddin II (Syarif Kasyim II), (1915-1949)