Sunday 9 December 2012

Yarmuk - Kutemui wilayah rebutan sepanjang zaman

         Pemandangan yang cantik dan aman, di sebelah kiri hamba Bukit Gholan, Syria, di belakang wilayah Israel, sebelah kanan bahu hamba wilayah Palestin dan hamba berdiri di wilayah Jordan.  Nun sayup di bawah adalah Sungai Jordan yang memisahkan wilayah rebutan sepanjang zaman itu.  Dan cerun itu jugalah tempat berkuburnya 80 ribu tentera Byzantine yang tewas dalam Perang Yarmouk yang mashyur itu.  Mungkin di tempat hamba berdiri inilah tentera Islam mengibarkan panji kemenangan dengan senyum lebar penuh kesyukuran di ketuai oleh General perang Khalid Ibn Walid r.a..  Bilakah akan muncul Khalid Ibn Walid ke dua?


Sempadan rebutan sepanjang zaman.
Perang Yarmouk
        Perang ini berlaku pada 15-20 Ogos 636M di Yarmouk, Jordan. Perang Yarmouk juga dikenali dengan Perang Hieromyax atau Battle of Hieromyax oleh cendiakiawan barat. Perang Yarmouk dikenang sebagai antara perang bersejarah di dunia kerana perang ini bukan sahaja menandakan kemerosotan empayar Byzantine di tanah Arab tetapi menunjukkan angkatan tentera yang besar tidak sepertinya akan memenangi peperangan. Ini sememangnya terbukti dalam Perang Yarmouk di mana tentera Islam pimpinan Khalid al-Walid hanya mempunyai kekuatan sekitar 30,000-40,000 manakala tentera Rom Byzantine pimpinan Theodore Trithyrius dan Vahan dengan kekuatan sehingga 240,000. Peperangan ini berlangsung sehingga 6 hari. Dalam peperangan ini, keperwiraan dan kegeniusan Khalid bin al-Walid tersebar ke seluruh tanah Arab.

Papan tanda perang Yarmouk
Strategi Khalid- Perang 6 hari dengan pelbagai corak taktik
Selaku komander pasukan, Khalid sedar bahawa pasukannya tidak akan mudah memenangi peperangan dalam masa sehari atau dua hari memandangkan pasukan musuh mempunyai kekuatan melebihi 10 kali ganda. Oleh itu, Khalid dan panglima-panglimanya, Abu Ubaydah ibn Jarrah, Amr ibn Ash, Shurahbil al-Hassana, dan Yazid ibn Sufian bersepakat melengahkan musuh-musuh bagi membuatkan mereka kepenatan.
Hari pertama.
Hari pertama bermula dengan serangan Rom ke atas kem muslimin. Mereka menjangkakan dengan bilangan Muslimin yang sedikit, kemenangan pasti dicapai dalam masa yang singkat. Namun tentera Khalid Berjaya mengawalnya. Terdapat cerita hebat disebalik pertempuran hari pertama Perang Yarmouk. Seorang panglima pasukan Rom Byzantine mencabar Khalid untuk pertempuran dual. Khalid bersetuju dengan cabaran itu. Diriwayatkan nama panglima itu adalah George atau Georgius. Maka terjadilah perdebatan di antara kedua-dua panglima besar ini. Perbualan mereka langsung tidak didengar oleh kedua-dua pasukan dek kerana bising bunyi ketukan besi dan pekikan. Masing-masing bertanya apakah yang dibual oleh kedua-duanya. Tentera Muslim terkejut apabila panglima bernama George itu bergerak bersama-sama Khalid memasuki khemah tentera Muslim. Rupa-rupanya George telah menerima seruan syahadah daripada Khalid. Kemudian George mendirikan solat sunat bersama-sama Khalid dan seusai solat, beliau berjuang di sisi Khalid sehingga syahid.Hari Kedua
Tentera Rom masih lagi agresif menggempur barisan hadapan tentera Muslim. Antara teknik peperangan Rom seperti formasi Cataphract dan Skutatoi digunakan bagi melumpuhkan barisan Muslimin. Dengan jumlah yang jauh mengatasi mereka, Rom menggempur barisan tengah muslimin menjadikan tentera Khalid terpaksa bertahan. Barisan sayap kiri dan kanan muslimin digerakkan bagi meredakan tekanan barisan tengah. Kemudian Rom cuba mengalihkan tumpuan ke arah bahagian sayap kanan muslim. Serangan itu benar-benar memberi tekanan kepada pasukan muslimin, namun dengan tentera berkuda simpanan di belakang, mereka berjaya menangkis serangan tersebut. Hari kedua ini menyaksikan perterangun yang paling sengit antara kedua-dua pasukan dan dikalangan mereka mengalami kecederaan.
Hari ketiga
Panglima Vahan masih lagi cuba memberi tekanan kepada sayap kanan tentera muslimin seperti hari sebelumnya dengan segala teknik serta bantuan daripada kabilah Arab. Namun, tentera muslimin masih mampu bertahan.Hari Keempat.
Rom dengan teknik yang sama ( menghancurkan sayap kanan muslimin ) kali ini dibalas oleh Khalid Al-Walid dengan serangan mengejut ke atas barisan tengah dan kanan Rom. Ini menjadikan tentera Rom sebelah kiri ( yang menumpukan serangan kepada barisan kanan muslim ) terpisah. Kesempatan ini diambil oleh tentera muslimin menyerang kembali barisan kiri Rom hingga menghalau barisan Arab yang membantu mereka. Barisan kiri Rom mengalami tekanan yang teruk terpaksa berundur ke kem pertahanan asal.
Hari Kelima.
Tentera Rom cuba berunding dengan tentera muslimin. Hari ini juga adalah peluang kedua-dua pihak rehat dan membina kembali pasukan.Hari Keenam.
Hari terakhir peperangan, dengan Rom yang berkubu di kem mereka sendiri diambil kesempatan oleh Khalid untuk mengempur bahagian kiri mereka yang sudah lumpuh. Serangan itu menghancurkan terus bahagian tersebut dan seterusnnya mara merombak bahagian tengah dan akhir sekali bahagian kanan mereka. Tentera Rom bertempiaran lari dan Vahan sendiri terbunuh. Berakhirlah peperangan yang mencemaskan itu dengan kemenangan di pihak islam. 


80 ribu kufar mati, hanya 4 rbu muslim syahid. Hebat!
Penutup
Tidak salah dikatakan bahawa Khalid adalah salah seorang tokoh genius dunia peperangan. Malah beliau berada di tahap yang tersendiri dek kerana sering membawa kemenangan dalam peperangan yang dipimpinnya. Malah, jika dicabar untuk pertempuran dual, beliau juga berjaya mengalahkan musuh. Dengan ketinggian dan badan yang sasa sepertimana sepupunya Umar al-Khattab, Khalid mampu mengalahkan siapa sahaja yang mencabarnya. Kemahiran berkuda dan kelancaran permainan pedangnya mengerunkan setiap musuh-musuhnya. Maka tidak hairanlah apabila, Hormuz(panglima Perang Berantai),Abdul Aswad(penglima perang Ullais), Salma(panglima Perang Zafar) dan Karinz bin Karianz(panglima Perang Sungai) maut di tangannya. Khalid boleh dikatakan berada sebaris dengan Subutai, Alexander the Great, Julius Caesar dan Hannibal of Carthage. Malah kemungkinan lebih genius daripada panglima-panglima itu tambah-tambah dengan moral dan budi pekerti yang mulia. Dalam satu peristiwa akibat pemecatan beliau sebagai panglima oleh Umar ra, beliau langsung tidak memberontak malah berkata kepada sahabatnya yang bertanya tentang perasaannya;

"Aku berperang bukan kerana Umar. Aku berperang kerana ALLAH"

Bergitulah tingginya budi perkerti insan yang diberi jolokan Pedang Allah ini.Dalam satu riwayat menceritakan bagaimana Khalid berasa sungguh sedih apabila melihat beliau akhirnya akan meninggal dunia di atas katil. Diceritakan lagi bahawa di tubuh Khalid tiada satu pun yang kosong kecuali hirisan pedang,tusukan panah dan tombak dan luka-luka perang yang lain. Cuma wajah beliau Allah peliharakan daripada luka-luka perang. Khalid ibn al-Walid meninggal dunia pada usia menjangkaui 50 tahun pada 642M.

Friday 23 November 2012

Tangkuban Perahu: Realiti yang tak sehangat metosnya.

Gunung Tangkuban Perahu

            Awal pagi Pak Cicip sudah tiba di Hotel Dago dengan Advanza hitamnya  Seperti yang dirancang Pak Cicip akan membawa hamba dan rakan ke Gunung Tangkuban Perahu. Tangkuban Perahu terletak sekitar 30 km di daerah Lembang, utara Kota Bandung. Ketinggian gunung ini ialah  2,084 meter. Suasana di sini agak sejuk, dan terdapat sumber mata air panas di kaki gunungnya dan deretan kawah gunung berapi yang mempunyai tarikannya yang tersendiri.Tangkuban Perahu sebenarnya adalah gunung berapi yang bentuk kawahnya  menyerupai perahu yang terbalik. Namun awas dengan penjual cenderahati “batu gunung”, mereka sangat gigih, selamba dan pandai memujuk. Anda akan “terkena” jika darjah belas kasihan anda tinggi.
  
Kawah Gunung Berapi yang klasik
Berikut adalah "metos" Tangkuban Perahu itu:



Gunung berapi yang sejuk cuacanya
            Beribu-ribu tahun yang lalu, tanah Parahyangan dipimpin oleh seorang raja dan seorang ratu yang hanya mempunyai seorang puteri. Puteri itu bernama Dayang Sumbi. Dia sangat cantik dan cerdas, sayangnya dia sangat manja. Pada suatu hari ketika sedang menenun di beranda istana, Dayang Sumbi merasa keletihan dan pening kepala. Dia menjatuhkan pintalan benangnya ke lantai berkali-kali. Ketika pintalannya jatuh untuk kesekian kalinya Dayang Sumbi menjadi marah lalu bersumpah, dia akan menikahi siapapun yang mahu mengambilkan pintalannya itu. Kebetulan setelah kata-kata sumpah itu diucapkan, datang seekor anjing yang bernama Tumang dan menyerahkan pintalan itu ke tangan Dayang Sumbi. Maka mau tak mau, sesuai dengan sumpahnya, Dayang Sumbi harus menikahi anjing tersebut.
            Dayang Sumbi dan Tumang hidup bahagia hingga mereka dikuniakan seorang anak yang berupa anak manusia tapi memiliki kekuatan sakti seperti ayahnya. Anak ini diberi nama Sangkuriang. Semasa meningkat remaja, Sangkuring selalu ditemani oleh seekor anjing yang bernama Tumang yang dia ketahui hanya sebagai anjing yang setia, bukan sebagai ayahnya. Sangkuriang membesar menjadi seorang pemuda yang tampan dan gagah perkasa.
            Pada suatu hari Dayang Sumbi menyuruh anaknya pergi bersama anjingnya untuk berburu rusa untuk keperluan suatu pesta. Setelah beberapa lama mencari tanpa hasil, Sangkuriang merasa putus asa, tapi dia tidak ingin mengecewakan ibunya. Maka dengan sangat terpaksa dia mengambil sebatang panah dan mengarahkannya pada Tumang. Setibanya di rumah dia menyerahkan daging Tumang pada ibunya. Dayanng Sumbi yang mengira daging itu adalah daging rusa, merasa gembira atas keberhasilan anaknya.Segera setelah pesta usai Dayang Sumbi teringat pada Tumang dan bertanya pada pada anaknya di mana Tumang berada. Pada mulanya Sangkuriang merasa takut, tapi akhirnya dia mengatakan apa yang telah terjadi pada ibunya. Dayang Sumbi menjadi sangat murka, lalu memukul dahi Sangkuriang hingga pengsan.  Atas perbuatannya itu Dayang Sumbi diusir keluar dari kerajaan oleh ayahnya. Sangkuriang sedar dari pengsannya tetapi pukulan ibunya meninggalkan parut luka yang sangat lebar di keningnya. Setelah dewasa, Sangkuriang pun pergi mengembara untuk mengetahui keadaan dunia luar.
            Beberapa tahun kemudian, Sangkuriang bertemu dengan seorang wanita yang sangat cantik. Segera saja dia jatuh cinta pada wanita tersebut. Wanita itu adalah ibunya sendiri, tapi mereka tidak saling mengenali satu sama lainnya. Sangkuriang melamarnya, Dayang Sumbi pun menerima dengan senang hati. Sehari sebelum hari pernikahan, ketika sedang membelai rambut tunangannya, Dayang Sumbi melihat bekas luka yang lebar di dahi Sangkuriang, akhirnya dia menyedari bahwa dia hampir menikahi puteranya sendiri. Mengetahui hal tersebut Dayang Sumbi berusaha menggagalkan pernikahannya. Setelah berpikir keras dia akhirnya memutuskan untuk mengenakan syarat perkahwinan yang tak mungkin dikabulkan oleh Sangkuriang. Syaratnya adalah: Sangkuriang harus membuat sebuah empangan yang mampu menutupi seluruh bukit dan membuat sebuah perahu untuk menyusuri empangan tersebut. Semua itu mesti selesai sebelum fajar menyingsing.
            Sangkuriang mulai bekerja. Cintanya yang begitu besar pada Dayang Sumbi memberinya suatu kekuatan aneh. Dengan lumpur dan tanah dia membendung air dari sungai dan mata air. Beberapa saat sebelum fajar, Sangkuriang menebang sebatang pohon besar untuk membuat sebuah perahu. Ketika Dayang Sumbi melihat bahawa Sangkuriang hampir menyelesaikan pekerjaannya, dia menggunakan beberapa tipu helah untuk mengagalkan usaha anaknya dan mempercepat datangnya pagi.
            Tiba-tiba ayam jantan berkokok, matahari terbit lebih cepat dari biasanya dan Sangkuriang menyedari bahwa dia telah ditipu. Dengan sangat marah dia mengutuk Dayang Sumbi dan menendang perahu buatannya yang hampir siap ke tengah hutan. Perahu itu berada di sana dalam keadaan telungkupk, dan membentuk Gunung Tangkuban Perahu. Tidak jauh dari tempat itu terdapat tunggul pokok yang ditebang oleh Sangkuriang, sekarang kita mengenalnya sebagai Bukit Tunggul. Ampangan yang dibuat oleh Sangkuriang menyebabkan seluruh bukit dipenuhi air dan membentuk sebuah danau di mana Sangkuriang dan Dayang Sumbi menenggelamkan diri dan tidak terdengar lagi kabar beritanya.

Thursday 22 November 2012

Masjid Sultan Hasan: Kutemui toleransi murni

Pintu masuk ke Madrasah/masjid Sultan Hassan

 Rakan hamba bernama Taufik, seorang pelajar sarjana falsafah dan pembandingan agama Universiti Azhar mencadangkan supaya ke sebuah masjid yang dahulunya adalah kompleks yang terdiri sebuah masjid, sebuah istana ditingkat atas dan madrasahr-madrasah di tingkat bawah. Masjid ini pernah menjadi lambang toleransi empat mazhab fekah yang utama di dunia. Dalam kurun ke 13 lagi ketaksuban mazhab telah berjaya diselesaikan.
Posing di mihrab masjid yang terukir sangat cantik
Masjid tersebut adalah Masjid Sultan Hassan. Ia adalah sebuah masjid dan madrasah besar Mamluk yang dibina berdekatan Kota Kubu Kaherah. Nama masjid ini diambil sempena nama Sultan Hassan dari Dinasti Mamalik. Baginda merupakan sultan ke-19 dari pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang memerintah Mesir. Beliau merupakan anak ketujuh dari anak-anak Sultan Nasser Mohd ibn Qalawun.  
Dewan yang luas
Masjid ini telah dibina oleh Bashir Agha pada tahun 757 Hijrah/ 1356M dan selesai pada tahun 1363M. Keluasan masjid ini ialah 7907 meter persegi dan mempunyai ketinggian 37.80 meter persegi. Terdapat dua buah menara, salah satunya berketinggian 82 meter. Kawasan solatnya seluas 6500 meter persegi dan 1767 persegi meliputi kawasan-kawasan lain. Pada waktu pembinaannya, masjid ini dikagumi kerana saiznya dan unsur-unsur seni bena yang inovatif. 
Kawasan madrasah atau sekolah mazhab
Selain itu masjid ini mengandungi madrasah  yang mengajar keempat-empat mazhab iaitu  Imam Syafie, Imam Maliki,  Imam Hanafi dan Imam Hambali. Setiap iwan atau dewan dikhususkan bagi setiap mazhab. Kawasan di antara dan di belakang setiap dewan digunakan untuk madrasah setiap mazhab, lengkap dengan laman dalam dengan pancutan air dan bilik tiga tingkat bagi kegunaan penuntut dan syeikh.   Pintu masuk madrasah terletak pada sudut setiap iwan.
Saiz yang amat membezakan masjid ini daripada binaan lain. Iwan ("dewan") amat tinggi dan berukuran 65 cubit, lima kali ganda lebih besar daripada sebuah masjid yang besar, Iwan Kusraw di Al Madain Iraq. Ada beberapa ciri unik masjid yang harus diperhatikan, iaitu  kubah besar yang tidak ada tandingan di Mesir, Syria atau Yaman.  Dindingnya tebal,dan  kubah dibuat daripada kayu. Bentuk kubah masjid luar biasa , yakni merupai bentuk telur. Masjid ini  juga merupakan satu-satunya contoh penggunaan seni chinoiserie dalam seni bina Mamluk.
Terdapat juga makam Sultan Hasan yang di tembok cantik.
Makam Sultan Hasan
Pesan Spiritual:  Kata Fathul Maushuli; "Hati apabila tak mau kepada hikmah dan ilmu dalam tiga hari, maka matilah hati itu"

Tuesday 20 November 2012

Mozart: Kutemui kau di Salzburg Austria


Sungai yang lesu tapi tenang di Salzburg
         Sampai di Salzburg, Austria dah pukul 5.00pm, cuaca agak sejuk berbetulan dengan musim gugur. Perjalanan dari Munich memang selesa dengan lebuhraya (autobahn) yang tiada had laju.  Ferari dan Porche dipandu macam pelesit.  Namun tiada ketemu kemalangan. Hamba melepaskan lelah di Sg Salzburg yang mengalir lesu. Angin bertiup agak kuat dan mengugurkan daun pokok maple yang berjajaran sepanjang sungai tersebut. Tidak apa yang dapat dibuat kecuali merayau-rayau sekitar bandar yang tenang ini sebelum balik tidur di hotel budget dan merancang untuk aktiviti esok.
Getreidegasse yang klasik
         Tempat yang menjadi kemestian pagi pengunjung Salzburg ialah pusat kota yang bersejarah, yang juga pusat perniagaan yang bernama ”Getreidegasse”. Ia wujud sejak zaman petengahan lagi yang ditandai oleh hasil kerja “besi” yang memukau.  Sampai satu persimpangan, hamba lihat ramai orang mengambil foto berlatar-belakangkan  sebuah bangunan berwarna kuning dan bertulis”Mozarts Geburtshaus” yang bermakna rumah tempat kelahiran Mozart.  Hamba pun sempat beraksi di situ. Hamba pun mula mencari maklumat tentang insan ini. Hamba beli buku “Salzburg The festival City” dengan harga euro7.90.
Rumah famili Mozart
Wolfgang Amadeus Mozart lahir di Salzburg, pada 27 Januari 1756 dan  meninggal dunia di Vienna Austria pada 5 Disember 1791 ketika berumur 35 tahun. Nama penuh beliau ialah Johannes Chrysostomus Wolfgangus Gottlieb Mozart. Mozart dianggap sebagai pengubah lagu yang terpenting dan paling terkenal dalam sejarah. Contoh karyanya adalah opera Don Giovanni dan Die Zauberflöte. Banyak dari karya Mozart dianggap sebagai mahakarya muzik zaman klasik.
Mozart, yang dikenal memiliki kemampuan mengenal nada dengan tepat tanpa bantuan alat sangat berbakat sejak kecil lagi. Ayahnya, Johann Georg Leopold Mozart adalah seorang pengubah lagu juga. Sewaktu berumur empat tahun, Mozart sudah mampu memainkan harpsichord dan melakukan pengubahan pada karya-karya muzik . Dia bahkan menulis gubahan lagunya yang pertama ketika berumur lima tahun. Mozart kemudian dibawa untuk bermain piano di depan raja Bayern di Munich. Pada bulan September 1762, Mozart bermain piano di depan Ratu Maria Theresia  di Vienna, yang terpukau terhapap kehandalan  Mozart.  Setelah konsert ini, Mozart menjadi terkenal dan terus menjayakan konsert selama tiga tahun iaitu Paris (1763, 1765) dan London (1764-1765). Di tempat-tempat tersebut, Mozart mengadakan konsert di depan raja-raja dan juga dipuji oleh mereka.
Tahun 1779 dan 1780 berlangsung tanpa banyak peristiwa. Karya-karya pentingnya pada masa ini termasuk K. 364, Sinfonia Concertante in Eb, Simfoni no. 32-34, beberapa Concerto, serenade, divertimento, musik gerejawi yang termasuk K. 317, Missa Coronation dan K. 339, Vesparae. Pada tahun 1784, Mozart bergabung menjadi anggota Freemason, dan pertubuhan ini menaja aktiviti Mozart dalam muzik.  Pukul 1.00am,  5 Desember 1791, Mozart meninggal dunia. 

Thursday 15 November 2012

Jordan Valley - Kutemui jejak terakhirmu, Muaz r.a

                Semasa dalam perjalanan pulang dari Yarmouk, rakan hamba yang berbangsa Palestin mengajak hamba dan rakan menyusuri kawasan Lembah Sungai Jordan.  Kawasan yang bersebelahan dengan wilayah Palestin yang terjajah.  Sangat cantik pemndangan di kawasan ini kebetulan ketika itu musim bunga.  Tanahnya sangat subur, sesubur tamadun yang pernah membangun di situ. Dalam banyak-banyak kesan sejarah di situ, hamba menghabiskan masa yang lama di Masjid Muaz bin Jabbal r.a. Satu nama yang sangat harum dalam peradapan Islam.

Maqam Muaz Ibn Jabal r.a
               Berikut aadalah beberapa catatan sejarah tentang insan hebat ini.  Muaz bin Jabal r.a dilahirkan di Madinah. Mempunyai ciri-ciri keistimewaan sebagai seorang yang sangat pintar, mempunyai penampilan sebagai seorang yang perkasa dan berhemah tinggi. Allah mengurniakan kepada beliau kepetahan bercakap, mempunyai rupa paras dan tutur kata yang indah. Muaz bin Jabal r.a memeluk Islam sejak beliau masih kecil melalui Mus'ab bin Umair yang diutuskan oleh Rasulullah s.a.w ke Madinah untuk mengajar penduduk Madinah. Muaz r.a termasuk di dalam rombongan yang berjumlah seramai 72 orang Madinah yang datang berbaiah dengan Nabi s.a.w. Sebaik sahaja selesai berbaiah, Muaz kembali ke Madinah sebagai seorang pendakwah Islam di dalam masyarakat Madinah. Beliau berjaya mengislamkan beberapa orang sahabat yang terkemuka seperti  Amru bin Al-Jamuh.
 Sebaik sahaja Nabi s.a.w berhijrah ke Madinah, Muaz sentiasa berada bersama dengan Rasulullah s.a.w sehingga beliau dapat memahami Al-Quran dan syariat-syariat Islam dengan baik menyebabkan beliau muncul sebagai seorang yang paling alim tentang Al-Quran dari kalangan para sahabat, orang yang paling baik membaca Al-Quran serta paling memahami syariat-syariat Allah. Rasulullah s.a.w memuji beliau dengan bersabda: “Umatku yang paling alim tentang halal dan haram ialah Muaz bin Jabal.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah.)
           Muaz r.a terdiri dari kalangan enam orang yang mengumpulkan Al-Quran pada zaman Rasulullah s.a.w.  Setelah Allah s.w.t membuka Kota Mekah kepada Rasulullah s.a.w, penduduk Mekah memerlukan kepada tenaga pengajar yang tetap tinggal bersama dengan mereka untuk mengajar syariat Allah s.w.t, lalu Rasulullah s.a.w meminta supaya Muaz tinggal bersama dengan penduduk Mekah untuk mengajar Al-Quran dan memberikan kefahaman kepada mereka mengenai agama Allah s.w.t.
                Sifat terpuji beliau juga jelas terserlah ketika rombongan raja-raja Yaman datang berjumpa Rasulullah s.a.w mengisytiharkan keislaman mereka dan meminta daripada Rasulullah s.a.w supaya menghantar tenaga pengajar kepada mereka. Lalu baginda memilih Muaz r.a untuk memegang tugas tersebut bersama-sama dengan beberapa orang para sahabat malah beliau merupakan ketua kepada rombongan para sahabat tersebut. Rasulullah s.a.w keluar untuk mengucapkan selamat jalan kepada mereka lantas baginda mewasiatkan kepada Muaz r.a dengan bersabda: "Wahai Muaz! Kemungkinan kamu tidak akan dapat bertemu lagi dengan aku selepas tahun ini malah mungkin juga selepas ini kamu akan melalui masjid dan kuburku ..." Lantas Muaz r.a menangis kerana terlalu sedih untuk berpisah dengan Rasulullah s.a.w. Selepas peristiwa tersebut ternyata Rasulullah s.a.w wafat dan Muaz tidak lagi dapat melihat baginda. Peristiwa tersebut tidak dapat ditanggung oleh Muaz menyebabkan beliau menangis tersedu-sedu di atas kehilangan Rasulullah s.a.w.
                Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar r.a juga berlaku peristiwa di mana gabenor Syam telah menghantar Yazid bin Abi Sufian meminta daripada Umar r.a supaya menghantar seorang tenaga pengajar kepada penduduk Syam. Lalu Umar memanggil Muaz bin Jabal, Ubadah bin As-Somit, Abu Ayub Al-Ansariy, Ubai bin Kaab dan Abu Darda' dalam satu majlis. Khalifah Umar berkata kepada mereka: "Sesungguhnya saudara kamu di negeri Syam telah meminta bantuan daripada aku supaya menghantar sesiapa sahaja yang boleh mengajar Al-Quran kepada mereka dan memberikan kefahaman kepada mereka tentang agama Islam. Oleh yang demikian bantulah aku untuk mendapat tiga orang dari kalangan kamu semoga Allah merahmati kamu. Sekiranya kamu ingin membuat pengundian, kamu bolehlah membuat undian, jika tidak aku akan melantik tiga orang dari kalangan kamu".
                 Lalu mereka menjawab: "Kami tidak akan membuat pengundian memandangkan Abu Ayub telah terlalu tua manakala Ubai pula sentiasa mengalami kesakitan dan yang tinggal hanya kami bertiga sahaja". Kemudian Umar berkata kepada mereka: "Kamu mulakanlah tugas kamu di Hims, sekiranya kamu suka dengan keadaan penduduknya, bolehlah salah seorang daripada kamu tinggal di sana. Kemudian salah seorang daripada kamu pula hendaklah pergi ke Damsyik dan seorang lagi pergi ke Palestin". Lalu mereka bertiga keluar ke Hims dan mereka meninggalkan Ubadah bin As-Somit di sana, Abu Darda' pergi ke Damsyik manakala Muaz bin Jabal pula terus berlalu pergi ke Palestin.

Maqam Abd Rahman Ibn Muaz (Anakanda)
                Muaz bin Jabal berada di Palestin sehinggalah beliau diserang wabak. Ketika hampir mati beliau berkata: "Selamat datang wahai kematian! Selamat datang kepada tetamu yang tak kunjung tiba dan selamat datang kepada kekasih yang datang setelah sekian lama dirindukan!". Kemudian beliau melihat ke langit dan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku tidak menyukai dunia apatah lagi untuk berada kekal di dalamnya selama-lamanya menanam pokok-pokok dan mengairi sungai, tetapi segala-galanya itu hanyalah sekadar untuk menghilangkan kehausan di kawasan-kawasan yang kekeringan serta mengharungi saat-saat kesusahan dan mendekati ulama-ulama dengan menunggang ke majlis-majlis zikir. Oleh yang demikian terimalah diriku ini wahai Tuhanku dengan kebaikan sebagaimana Kamu menerima diri seseorang yang beriman". Kemudian beliau meninggal dunia. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya kepada beliau

Wednesday 14 November 2012

Venice yang indah khabar dari rupa

VENICE YANG KUTEMUI

Membaca akhbar semalam tentang bandar Venice ditenggelami air agak mengejutkan.  Penduduk kota ini sihat-sihat belaka kerana mereka terpaksa berjalan kaki atau menaiki bot untuk ke sana sini.  Tak ada kereta atau motosikal di kota lama ini. Sesuatu yang selalu hamba fikirkan tentang kota ini ialah suasana yang romantik, tenang dan nyaman. Namun apa yang hamba lihat suasana yang sebaliknya.  Bangunan yang tidak terurus warnanya, banyak contengan di sana sini.  Dan kalau berjalan di waktu malam ada rasa tak selamat. Dataran San Marco adalah port penduduk Venice di malam minggu.

Dataran San Marco yang tua dan kotor

Cuba baca catatan yang hamba ambil dari Wikipidia:  (Propaganda yang lucu)
Venice (Itali: Venezia, Venice: Venezsia) adalah sebuah bandar di utara Itali, ibu kota bahagian Veneto, dan mempunyai penduduk berjumlah 271,251 (anggaran banci 1 Januari 2004). Bersama-sama dengan Padua, bandar raya ini termasuk dalam kawasan metropolitan Padua-Venice (penduduk 1,600,000). Venice dikenali sebagai "La Dominante", "Serenissima", "Ratu Adriatik", "Bandar Raya Air", "Bandar Raya Jambatan-jambatan", dan "Bandar Raya Cahaya". Bangunan-bangunan di Venice adalah sangat tua dan menarik, dan pelancong datang dari seluruh dunia untuk melihat senibina ini dan juga terusan-terusan. Bandar raya ini adalah dianggap oleh ramai orang sebagai satu bandar yang paling cantik di dunia. Lihat bangunan universiti yang usang dan kotor di bawah.


Universiti yang tersepit di celah bangunan lama
Venice terdiri dari 117 pulau-pulau kecil yang dipisahkan oleh 150 buah terusan. Penduduk menyeberangi terusan-terusan ini melalui jambatan-jambatan yang kecil dan banyak. Mereka boleh juga berada menaiki sejenis bot yang dipanggil gondola untuk melalui terusan-terusan ini. Tahukah berapa kena bayar nak naik gondola ini? Seorang Euro 60 = RM 240.00.  Cekik darah dengan alasan "romantik" dan mengenang sejarah silam. Hakikatnya bot dan feri bersimpang-siur di sepanjang Grand Canal ini.

Gondola yang mencekik darah
Tarikan pelancongan yang paling terkenal adalah Rialto-Bridge, Basilica Jalan Mark dan Doge's Palace. Republik Venice dulunya adalah satu kuasa maritim yang utama semasa Zaman Pertengahan dan Pembaharuan , dan medan perang salib dan perang Lepanto, serta satu pusat penting perdagangan (terutamanya sutera, biji-bijian dan perdagangan rempah) dan seni dalam abad ke-13 sehingga abad ke-17.




.

Tuesday 13 November 2012

Kuching - Tersua Masjid Tambi Kuching di celah kedai yang berderetan


Masjid India di Kuching Sarawak
Semasa merayau-rayau di sepanjang kedai di kawasan water front Kuching, hamba mendengar laungan azan zohor. Hamba meninjau jika ada masjid atau surau yang berdekatan.  Tak nampak kubah atau struktur masjid di kawasan yang berdekatan.  Hamba bertanya dengan beberapa orang dan mereka menunjuk arah di mana terletaknya masjid yang paling tua di Sarawak.  Masjid tersebut dibina berderetan dengan kedai-kedai yang mengadap sungai Sarawak. Idea "India muslim" ini sangat praktikal.  Di mana mereka berniaga, di situ mereka mendirikan masjid. Masjid berdekatan dengan pusat komersial. Masjid "kita" selalunya perlukan "privacy", sunyi, senyap, dan tenang, lalu didirikan di kawasan yang terpisah dari penempatan.  Malangnya bilangan jemaahnya statik.


Masjid India itu terletak di belakang deretan kedai di tengah tengah Bandar Kuching. Melalui laluan sempit yang dikenali sebagai "Lorong Sempit" untuk menuju ke Gambier Road. Nasib baik masjid ini tidak diberi nama Masjid Gambir Sarawak. Masjid ini telah dibina pada tahun 1837 oleh India Muslim dari selatan India. Struktur masjid ini telah mengalami banyak perubahan sejak  dibina di pertengahan abad ke-19. Dinding asalnya dan bumbung dibuat daripada pokok nipah. Pada tahun 1876, kayu papan menggantikan dinding nipah.  Nama asalnya, Masjid India (Masjid Tambi) ditukar kepada Masjid Bandar Kuching pada tahun 1960an.  Penduduk Melayu Islam dari kampung-kampung lain akan bersembahyang dan berehat apabila mereka datang untuk berdagang atau membeli belah di bandar Kuching. Sehingga hari ini, Masjid India masih menjadi tumpuan kepada pelancong yang letih untuk berehat dan bersolat. Masjid ini mampu menampung sehingga 1000 jemaah. Masjid ini juga mengedalikan sekolah agama yang pertama di Sarawak, ia telah ditubuhkan pada tahun 1940-an. Madrasah Islamiah ini masih beroperasi sehingga sekarang. Jawatankuasa Lembaga Amanah Khairat mentadbir Masjid India, memperolehi dana dari sewa yang dipungut daripada 23 deretan kedai yang dimiliki terutamanya oleh India Muslim yang menjual barangan runcit, rempah ratus, kain dan buku-buku. Perniagaan keluarga ini telah diturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain.

Pesan Spritual:  
Ibnu 'Umar berkata, "Sesungguhnya yang lebih berhak dibersihkan oleh seseorang ialah lidahnya."

Monday 12 November 2012

Siak - Terpegunku di Masjid Raya Siak yang segar kenangan silamnya.


Masjid Raya Syahabudin Siak
Pada perancangan asal hamba nak naik  sampan  injin sangkut dari Pekan Baru Riau ke Kota Siak ini.  Tapi mengenangkan hujan lebat yang berpanjangan, hamba ambik keputusan untuk menyewa kereta sahaja. Tempat pertama hamba tuju ialah masjid “raya”.  Zohor belum masuk lagi, jadi hamba ambil kesempatan berehat-rehat di jeti masjid yang mengadap Sungai Siak ini. Sungguh segar dan nostalgik sambil mengenang konflik yang berlaku dahulu semasa Kerajaan Melayu Johor Riau gagah perkasa di nusantara.  Sayu mengenangkan sesama saudara berkonflik kerana berebut kuasa.Suasana di Siak ini klon suasana negeri hamba Johor.

Mimbar masjid yang ringkas tapi memukau
Masjid tersebut dikenali sebagai Masjid Syahabudin Siak.  Masjid ini dibangunkan oleh keturunan para Sultan Siak . Nama masjid Syahabudin diambil dari nama suku Syahad dari keturunan Sultan Kerajaan Siak yang berasal dari Arab, mulai dari Sultan ke-2 yaitu Sultan Muhammad Ali. Masjid Syahabudin yang pertama terletak di Jalan Syarif Kasim. Bangunan asal ini dibuat dari kayu, kemudian di dalamnya terdapat mimbar yang berukir dari Jepun. Kemudian masjid Syahabudin dipindahkan ke Jalan Sultan Ismail di tepi Sungai Siak,  lebih kurang 300 M dari istana As Seraya Hasniliyah Siak. 
Sultan Siak terakhir
Masjid Syahabudin didirikan oleh Sultan yang ke-12 bernama Sultan Syarif Qasim II, dimulai pada tahun 1927 dan selesai dibangun pada tahun 1935. Dana pembangunan masjid tersebut berasal dari dana kerajaan dan derma masyarakat Siak. Dalam pelaksanaan pembangunan masjid, untuk menimbun tanah khususnya pondasi masjid dilakukan secara gotong-royong oleh kaum ibu pada malam hari, mengingat masa itu masih berlaku Adat Pingitan bagi kaum wanita (pada masa Pemerintahan Sultan Syarif Qasim II).Sedangkan arsitektur bangunan masjid berbentuk bercirikan Eropah dan Timur Tengah (Negara Turki). Untuk menjadi imam pada masa itu persyaratannya telah lulus tes oleh Qodi Siak di zaman Sultan pada masa itu. Kepengurusan Masjid Syahabudin dikoordinir oleh Sultan Siak, karena itu yang menjadi imam dan khatib digaji oleh Sultan Siak. Di antara mereka adalah H. Abdul Wahid, Tuan Lebay Abdul Muthalib, dan Imam Suhel. Kemudian pada tahun 1945 setelah Indonesia merdeka, seluruh aset kerajaan diserahkan kepada Pemerintah Republik Indonesia, sehingga masjid tersebut dijadikan masjid kabupaten Siak. 
PESAN SPIRITUAL:  "Hilang nikmat kerana tidak bersyukur, hilang kekuatan kerana bermusuh, hilang kekuasaan kerana lalai, hilang pengaruh kerana lemah".

Thursday 8 November 2012

Makam Syeikh Burhanuddin Ulakan.


 Syeikh Burhanuddin Ulakan penyebar Islam di Minangkabau
Hanya untuk memahami sejarah lalu

                Setelah puas menikmati pemandangan Desa Maninjaou yang cantik, tenang dan klasik sambil menuruni Kelok 9 yang mendebarkan. Sungguh enak menikmati makan tengahari berlaukan dendeng dan ikan emas bakar (talapia merah) di tepi tasik yang kebiruan.  Hamba teringat di sini tanah kelahiran tokoh agama nusantara yang terkenal, Buya Hamka. Bersama bapanya, Buya Hamka telah membawa masyarakat kepada lahirnya fahaman Kaum Muda.  Agak menarik kerana sebelum ini telah lahir tokoh yang berjasa menyebarkan Islam di daerah ini iaitu Syeikh Burhanuddin Ulakan. Hamba meneruskan perjalanan ke Ulakan yang terletak di daerah Priaman.  Pariaman adalah kawasan jajaran pantai yang mengadap laut yang teruk di landa gempa bumi yang kuat. Kesan runtuhan dan binaan rumah yang retak di sana sini masih ada lagi.  Tempat ini dulu-dulunya terkenal dengan majlis BASAPA (mandi Safar). Akhirnya hamba sampai ke makam Syeikh Burhanuddin di Ulakan.
Pintu Gerbang ke kompleks makam

                Syeikh Burhanuddin Ulakan  dilahirkan pada 1066 H/1655 M, atau menurut riwayat yang lain dia lahir jauh sebelum tahun yang tersebut itu, kerana pada 1029 H/1619 M, ketika masih kecil telah mengikut kedua-dua orang tuanya pindah ke Sintuk (Pariaman). Syeikh ini adalah murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan orang pertama menyebarkan Thariqat Syathariyah di Minangkabau. Namanya ketika masih kecil ialah Si Pono, ayahnya bernama Pampak. Ayahnya masih beragama Buddha, namun Si Pono dari Sintuk pergi ke Ulakan, pergi belajar kepada Angku Madinah yang berasal dari Aceh. Pada tahun 1032 H/1622 M atas anjuran gurunya, dia melanjutkan pelajaran agama Islam kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh. Lalu Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri menukar namanya daripada Si Pono menjadi Burhanuddin. Tiga belas tahun lamanya dia belajar kepada ulama yang wali Allah itu. Ketika belajar berteman dengan beberapa orang, di antaranya Datuk Marhum Panjang dari Padang Ganting Tanah Datar, Tarapang dari Kubang Tiga Belas (Solok) dan lain-lain.
                Beliau adalah seorang yang sangat patuh kepada gurunya, dari sehari ke sehari tumbuhlah kasih sayang, takut dan malu kepada Syeikh tersebut. Pada suatu hari Syeikh itu mengunyah- nguyah sirih. Tiba-tiba tempat kapur sirihnya terlepas dari tangannya jatuh ke dalam kakus. Yang mana kakus (tandas,pen:) itu sangat dalam, telah dipakai berpuluh-puluh tahun . Tuan Syeikh berkata: “Siapa antara kalian sebanyak ini sudi membersihkan kakus itu sebersih-bersihnya? Sambil untuk mengambil tempat sirih saya yang jatuh ke dalamnya?”Ramai murid yang merasa enggan dan malas mengerjakan yang diperintah Syeikh itu. Lantas Burhanuddin bekerja berjam-jam membersihkan kakus itu sehingga bersih dan tempat kapur sirih pun dijumpai, lalu dibersihkannya dan dipersembahkannya kepada Syeikh tersebut. Lantas tuan Syeikh berdoa dengan sepanjang-panjang doa. Selanjutnya Syeikh itu berkata: “Tanganmu ini akan dicium oleh raja-raja, penghulu-penghulu, orang besar di Sumatera Barat dan muridmu tidak akan putus-putusnya sampai akhir zaman, dan ilmu kamu akan memberkati dunia ini. Aku namai kamu Saidi Syeikh Burhanuddin”.
Kedai menjual cenderahati
                Setelah dia berasa ilmu telah banyak dan telah pula mendapat keizinan daripada gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, beliau pun kembali ke tempat asalnya. Sebelumnya gurunya berkata, “Pulanglah kamu ke negerimu, ajarkanlah ilmu apa-apa yang ditakdirkan oleh Allah. Syeikh Burhanuddin Ulakan murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri meninggal dunia di Ulakan pada 1111 H atau 1691 M, lalu dimashyurkan oranglah namanya dengan Syeikh Burhanuddin Ulakan. Cerita mulut ke mulut meriwayatkan bahawa Syeikh Burhanuddin Ulakan tidak mempunyai zuriat. Diriwayatkan bahawa ketika dia belajar di Aceh pada suatu hari kerana syahwatnya naik, dia telah memukul kemaluannya sendiri, sehingga kemaluannya mengalami kecederaan dan menyebabkan tidak berfungsi lagi untuk melakukan hubungan seks. Hingga kini kubur Syeikh Burhanuddin Ulakan masih diziarahi orang, lebih-lebih pada hari Rabu akhir bulan Safar.