Sunday 16 August 2020

Ikhtikaf di Masjid Seribu Tiang di Kota Jambi


Jika kita berkunjung ke Kota Jambi salah satu ikon bagi "kembara religi" ialah Masjid Agung Al Falah. Masjid ini terletak di  alamat No. 60, Jalan Sultan Thaha, Kelurahan Legok, Kecamatan Telanaipura, Kota Jambi.  Namun nama yang lebih popular bagi masjid ini ialah "Masjid Seribu Tiang”. 


Sebutan seribu tiang ini lahir dari para pendatang yang singgah dan sholat di masjid ini dan melihat begitu banyak tiang penyanggah bangunan masjid tanpa pintu dan jendela ini. Masjid ini juga tidak mempunyai dinding.


Lokasi Masjid Seribu Tiang ini adalah dulunya merupakan pusat pemerintahan kerajaan Melayu Jambi. Istana sultan juga terletak di sini. Namun apabila penjajah Belanda berjaya menakluki Kota Jambi ini pada tahun 1885, mereka mengambil alih tempat ini sebagai pusat pemerintahan mereka. 


Masjid Seribu Tiang ini dibina di tanah bekas Istana Tanah Pilih milik sultan Jambi iaitu Sultan Thaha Syaifudin.  Musnahnya pusat pemerintahan di Tanah Pilih ini bermula apabila pada tahun 1858, Sultan Thaha Syaifudin telah membatalkan semua perjanjian yang dibuat Belanda dengan mendiang ayahandanya, kerana perjanjian tersebut sangat merugikan kesultanan Jambi. Belanda sangat marah lalu menyerang istana dan  memusnahkan komplek Istana Tanah Pilih tersebut. Tahun 1906 lokasi bekas istana sultan itu telah dijadikan markas tentera Belanda yang digunakan sebagai pusat pemerintahan mereka. 


 Dikatakan idea pembangunan Masjid Agung ini sudah bermula pada tahun 1960an lagi namun pembinaannya baru bermula tahun 1971. Para alim ulama dan tokoh tokoh Jambi diantaranya M.O. Bafaddal, H Hanafi, Nurdin Hamzah, dan gabenor Jambi ketika itu (Tambunan atau Nur Admadibrata ) telah bersepakat untuk membina masjid agung di lokasi tersebut. 


Masjid kebanggaan warga Jambi ini dibina di atas tanah seluas dari 2.7 hektar. Luas bangunan masjid pula adalah 80m x 80m, dan mampu menampung 10 ribu jamaah sekaligus. Masjid ini memang di rancang sebagai bangunan yang terbuka tanpa pintu dan jendela, dan ia benar-benar sesuai dengan nama masjid ini iaitu Masjid Seribu Tiang.


Nama rasmi  masjid ini Masjid Agung Al-Falah, di mana dalam  bahasa Arab Al Falah membawa maksud "kemenangan". Menang pula membawa makna memiliki kebebasan tanpa kongkongan. Mungkin falsafah ini menang dan bebas ini menjadikan masjid ini direkabentuk dengan konsep terbuka. Semua jemaah bebas masuk dan melaksanakan ibadah di masjid ini. Masjid ini juga  tidak memerlukan aircon bagi jemaah. Masjid tanpa dinding ini membolehkan edaran udara yang selesa dan terasa aman dan damai sekali.

Friday 14 August 2020

Kampungku: "Sejarah Melayu Jambi di Kampung Tanjung Semberong Batu Pahat"

Ikon Kampung Tanjung Semberung ialah masjid tuanya yang cantik dan unik binaannya berbanding dengan masjid lain di Johor. Bayangkan masjid kampung yang agak kukuh dan indah ini boleh dibina kira-kira hampir 90 tahun yang lalu.  Tentu sahaja kampung ini juga mempunyai sejarah yang juga tak kurang hebat untuk dikaji. 


Hamba dilahirkan di kampung ini, Kampung Tanjung Semberong, Mukim 7, Batu Pahat Johor.  Hamba membesar di sini sebelum berhijrah ke beberapa tempat lain. Kenapa batu jalan di kampung hamba ini bermula dengan 0. Sungai adalah penanda sempadan kampung ini. Kampung ini terletak di persimpangan Sungai Batu Pahat iaitu Sungai Simpang Kanan yang menuju ke Yong Peng dan Sungai Simpang Kiri yang menuju ke Parit Yaani.  Pecahan dua sungai ini membentuk satu tanjung.  Lalu dinamakan orang Kampung Tanjung Semberong.  Sampai sekarang kampung ini masih mengalami air sungai yang pasang surut.


Dulu ketika sungai menjadi laluan utama ke Bandar Batu Pahat, Kg. Tanjong Semberong ini memang meriah dan maju.  Sebab itu Mukim 7 dipanggil juga Mukim Tanjung Semberong. Bila jalanraya dibina yang menghubungkan bandar Batu Pahat dan Air Hitam dibina, pengangkutan sungai telah tidak digunakan lagi dan kampung ini semakin dipinggirkan oleh arus kemodenan. Orang hanya tahu kehadiran mukim Tanjung Semberong ini dengan ikonnya yang baru iaitu Restoran Nasi Kambing 40 Hari. 


Bila hamba pulang ke kampung ini, hamba suka melihat kembali sungai kampung hamba yang tenang ini.  Disinilah hamba belajar berenang dan bermain bersama rakan-rakan semasa kecil tanpa memikirkan bahaya jika buaya datang menyerang. Nostalgia yang tetap akan dikenang. 


Datuk hamba Lebai Hanafi Tais meninggal dunia ketika hamba berusia 9 tahun.  Tidak banyak kenangan bersama beliau tetapi hamba lama duduk bersama nenek hamba yang keseorangan di sini. Orang kampung ini memanggil nenek sebagai "nyai".  Nyai hamba ini selalu bercerita tentang "akar" hamba sebagai orang Melayu Jambi. Beliaulah yang banyak menghidupkan jatidiri hamba sebagai orang Melayu Jambi selain persekitaran kampung ini yang majoritinya terdiri dari orang Melayu Jambi.


Ayahnda hamba (paling kanan) dan rakan sebayanya Raden Muhammad Yasin. Hamba selalu mendengar cerita dari mereka tentang sejarah kampung Tanjung Semberong ini. Mereka masih menggunakan bahasa Melayu Jambi ketika berkomunikasi. Kampung ini telah dibina pada antara tahun 1901 hingga tahun 1904. Tahun 1901 adalaha tarikh Sultan mengarahkan sebahagian keluarganya berhijrah ke Johor sementara tahun 1904 adalah tarikh terbunuhnya Sultan Thaha.


Sejarah Kampung Tanjung Semberong ini semakin hilang dan dilupakan.  Oleh itu adalah penting untuk mengkaji dan menulis sejarah kampung ini bagi tatapan generasi yang akan datang. Alhamdulillah beberapa tahun kebelakang ini, anak jati kampung ini Cpt (rtd) Raden Idris Raden Hassan telah mengerakkan Kesarja  Keluarga Besar Jambi bagi tujuan ukhuwah dan silaturrahim. 


Mari kita kaji sejarah Kampung Tanjung Semberong ini.  Untuk mengkajinya sudah tentu kita perlu mengkaji sejarah Sultan Thaha Syaifuddin dan kesultanan Jambi. Pada abad ke 17, hubungan Kerajaan Jambi dengan Kerajaan Johor penuh dengan perselisihan, pergolakan dan peperangan. Perang Jambi Johor berlangsung selama hampir 14 tahun ternyata telah membawa kepada kehancuran, kemunduran, dan penderitaan rakyat. Yang untung dalam perang Jambi-Johor adalah kaum penjajah iaitu Belanda, Inggeris, dan Portugis.  pada abad 19 hubungan Jambi-Johor dikatakan berjalan dengan baik dan harmoni karena adanya saling faham memahami. Keadaan ini berlaku sejak negeri Jambi diperintah oleh Sultan Thaha Syaifuddin (1855 – 1904). Hubungan baik antara Jambi-Johor masih terlihat semasa Indonesia/Jambi menghadapi peperangan dengan Belanda pada tahun 1949.


Sejak sultan Thaha Syaifuddin naik takhta kesultanan Jambi tahun 1855-1904, penjajah Belanda tidak pernah tenang hatinya, karena sultan Jambi dengan istiqamah telah mengambil tindakan tegas menentang segala bentuk kehadiran Belanda di negeri Jambi. Tentangan keras ini menyebabkan Belanda menyerang istana Jambi tahun 1858 dan berjaya menawannya.


Sejak itu sultan Taha dan pengikutnya telah berundur ke Muara Tembesi dan berperang di sana. Pada tahun 1901 Muara Tembesi ditawan oleh Belanda. Maka sultan Taha terpaksa berundur ke pedalaman hutan Jambi, lalu berperang secara gerila. Sebelum perang di Muara Tembesi terjadi, keluarga sultan Taha dan keluarga pengikutnya telah sempat dipindahkan terlebih dahulu menuju tempat yang selamat. Salah satu tujuan pengunduran bagi keluarga sultan dan pengikutnya adalah di daerah Batu Pahat, Johor. Perpindahan ke Batu Pahat ini berlaku dalam dua peringkat.


Peringkat pertama, iaitu semasa pengunduran sebelum pecah perang Muara Tembesi tahun 1901. Pengunduran ini dimulai dari Sungai Alai, meredah hutan belantara menuju Muara Tebo, dan terus ke Merlung. Dari Merlung perjalanan meredah hutan diteruskan menuju Siak Indragiri. Dari Siak Indragiri, mereka meredah hutan juga menuju Kuala Kampar, Riau. Dari Kuala Kampar perjalanan diteruskan dengan menyewa sebuah tongkang dan belayar Batu Pahat. Perjalanan dari negeri Jambi menuju negeri Johor ini mengambil masa selama 6 tahun. Di setengah tempat mereka sempat bersawah padi. Tentera Belanda terus mengejar kumpulan ini dan sawah padi yang diusahakan ini terpaksa ditinggalkan. Dalam perjalanan ini ramai juga jatuh sakit dan meninggal dunia. Setelah sampai ke Batu Pahat, kumpulan pertama pelarian ini, dikurniakan oleh sultan Johor sebuah kawasan hutan di sekitar Batu Pahat dan dinamakan Kampung Tanjung Semberong.


Senarai pelarian yang selamat sampai dan membuka Kampung Tanjung Semberung ini ialah:.

1) Raden Muhammad Yasin, sebagai ketua. Beliau adalah anak Raden Hamzah.
2) Penghulu Haji Ali, dari dusun Teluk, termasuk dalam senarai orang yang mesti      ditangkap samada hidup atau mati oleh Belanda.
3) Syarifah Dempak.
4) Ratumas Badaniah Binti Sultan Thaha Syaifuddin, ia adalah seorang janda            membawa 2 orang putra, satu di antaranya bernama Raden Haji Bagong              (Raden Haji Abdul Rahman).
5) Dan berbelas orang pelarian lainnya serta anak-anak mereka yang belum              dewasa.


Fasa kedua, setelah Muara Tembesi jatuh ke tangan Belanda, sultan Thaha Syaifuddin mengarahkan beberapa keluarga istana Kerajaan Jambi menuju Johor. Mereka terdiri daipada Raden Hanafiah bin Raden Abdul Rahman, sebagai ketua rombongan dan beberapa keluarga termasuk beberapa orang anak yang belum dewasa.



Kumpulan ini bergerak menggunakan laluan yang sama dengan kumpulan fasa pertama dahulu. Di Kuala Kampar karena terpaksa, mereka telah merampas empat buah kapal tongkang untuk menuju ke Batu Pahat. Di Batu Pahat, sebuah tongkang yang mereka tumpangi telah terkandas, pecah dan karam di tengah sungai Batu Pahat. Tempat di mana peristiwa tongkang ini karam telah dinamakan Tongkang Pecah. Kumpulan kedua ini akhirnya bersatu dengan kumpulan pelarian pertama di Kampung Tanjung Semberong. Dari Tanjung Semberong, orang-orang Jambi ini mula berkembang hingga ke Sungai Biuh, Segamat, dan sekitarnya.


Sekian. Jika ada maklumat yang salah mohon diberitahu.

Thursday 30 July 2020

Tersangkut semalaman di Hirtshal kerana feri sudah berlepas



Hirtshal adalah sebuah pekan kecil di utara Denmark. Tidak ada apa-apa yang menarik di sini kecuali ada pelabuhan yang menawarkan perjalanan dari Denmark ke wilayah Norway.



Hirtshal adalah sebuah bandar kecil yang ada pelabuhan kecil sahaja



Hirtshals berperanan untuk menghubungkan Denmark, Norway dan beberapa negara lain yang berdekatan.



Pelabuhan Hirtshal pula hanya ada dua kali perjalanan, jam 10 dan 1 pm sahaja.



Selain itu kawasan berhampiran laut utara ini dihiasi dengan ladang-ladang sayuran, strawberi atau semak samun yang kehijauan



Pekan ni agak sunyi dan kurang aktiviti
Aktiviti perniagaan adalah berasaskan perikanan dan maritim. Hotel pun tak banyak di sini, kerana Hirtshal bukanlah sebuah bandar pelancungan. Tak banyak tempat menarik kat sini.



Kedai yang kecil-kecil sahaja. Aktiviti berasaskan maritim laut adalah segalanya



Kalau tidak nak short cut ke Bergen Norway sudah tentu aku tidak menjejakkan kaki ke sini.  Terpaksa tidur semalan di pekan ini.  Keesokan harinya baru naik feri menuju ke Bergen Norway.


Perjalanan menaikki feri ini mengambil masa yang lama, bertolak jam 11am dan sampai jam 9 pagi di Bergen. Kena tidur semalam dalam feri ini.



Namun memang selesa menaikki feri ini.


Selamat tinggal Hirtshal. Cukuplah hanya sekali kita bertemu.


Wednesday 29 July 2020

Trajedi lesapnya alat kebesaran untuk pertabalan sultan dalam kerajaan Johor lama



Semasa berjalan mengelilingi Pulau Penyengat, saya mendapati makam Raja Hamidah atau dipanggil juga sebagai Engku Puteri yang kelihatan lebih dimuliakan berbanding dengan makam Yamtuan Muda yang lain, hatta makam ayahanda baginda sendiri iaitu Raja Haji Fisabilillah dan makam anak saudaranya Raja Ali Haji seorang pujangga tersohor.


Raja Hamidah merupakan anak sulung Raja Haji Fisabilillah, yang syahid di Teluk Ketapang Melaka. Baginda dibesarkan dalam tradisi istana, kebangsawanan dan tradisi perang serta dalam persekitaran keluarga yang sangat taat pada agama dan menghargai alim ulamak. Oleh itu, Raja Hamidah dibesarkan dalam tradisi adat yang kuat, baik tradisi adat Melayu melalui ibunya, mahupun adat Bugis dari ayahnya. Raja Hamidah adalah seorang wanita yang cantik, anggun, berwibawa, cerdas dan bijaksana.


Peranan Raja Hamidah dalam kerajaan Johor lama mula terserlah setelah beliau berkahwin dengan Sultan Mahmud III. Perkawinannya dengan Sultan Mahmud, adalah sebuah perkahwinan politik. Ketika perkawinan itu terjadi, Sultan Mahmud sudah berumur 50 tahun, dan mempunyai tiga isteri. Yang pertama, Engku Puan, puteri Bendahara Pahang, seorang permaisuri gahara. Yang kedua, Encik Makoh, keturunan Bugis, dan yang ketiga Encik Manam, keturunan Melayu. Raja Hamidah sedar bahawa dengan perkahwinan politik itu adalah untuk meredakan konflik politik antara suku Melayu dan suku Bugis, akibat perebutan kuasa Yang Dipertuan Muda Riau Lingga antara Tengku Muda Muhammad (Putera Temenggung Abdul Jamal) dengan Raja Ali (putera Daeng Kemboja). Konflik ini, berlangsung lebih dari 8 tahun (1795 -1803). Tengku Muda Muhammad berasa berhak sebagai Yang Dipertuan Muda, karena dialah yang ditugaskan dan diangkat oleh Sultan Mahmud sebagai Raja Muda. Setelah Belanda menang melawan Riau (1784), satu perjanjian di atas kapal perang Utrecht telah mensyaratkan bahwa jawatan Yang Dipertuan Muda tidak boleh diberikan kepada keturunan Bugis. Raja Ali, berasa marah kerana jawatan itu hak keturunan Bugis dan sudah diikrar dalam Sumpah Setia Melayu-Bugis.
Persengketaan politik ini agak unik dan jika ditelusuri sebenarnya bukan sengketa antara suku etnik Melayu dan Bugis tetapi adalah diantara kaum kerabat sendiri juga. Raja Ali adalah anak Daeng Kemboja, cucu Daeng Perani. Sementara Tengku Muda Muhamamad anak Raja Maimunah dan Raja Maimunah ini, adalah anak Daeng Perani. Jadi yang berkelahi dan berebut kuasa itu, adalah cucu-cucu Upu Daeng Perani. Satu mewakili dinasti Bugis, yang satu mewakili dinasti Melayu Johor. Tapi darah kedua pihak itu sudah bercampur baur.

Raja Ali menjadi marah kerana jawatan Yamtuan muda adalah hak orang Bugis. Beliau akhirnya menjadi Yamtuan Muda yang ke 7

Untuk meredakan konflik ini, maka diadakan satu persetiaan. Orang penting disebalik perdamaian ini adalah Raja Lumu, Sultan Selangor yang disebut Sultan Salahuddin, ayah saudara sepupu dua tokoh tersebut. Raja Lumu dalam sejarah Riau Lingga memang menjadi tokoh kuat pihak Bugis. Beliau tidak disenangi pihak pembesar Melayu, seperti Temenggung Johor, Bendahara Pahang, dan Tun Dalam Raja Terengganu. Kemudian dimenterailah satu perdamaian di Kuala Bulang pada September 1803.

Isi perdamaian tersebut ialah, Sultan Mahmud sebagai keturunan Melayu yang berkuasa akan mengahwini Raja Hamidah keturunan Bugis, bagi menghapuskan perseteruan Melayu dan Bugis. Jika lahir putera dari perkahwinan tersebut maka ditubuhnya akan mengalir darah Melayu dan Bugis dan akan menjadi keturunan Bugis-Melayu pertama di takhta kerajaan Johor Riau Lingga. Sebelum ini semua Sultannya berdarah Melayu yang sangat kuat, kerana takhta Sultan memang menjadi hak orang-orang keturunan Melayu. Itulah beban politik yang diletakkan dibahu wanita yang berusia 29 tahun itu.

Engku Puteri terus dihormati dalam sejarah ketamadunan Johor-Riau

Raja Hamidah sebagai puteri berdarah Bugis, pihak Pembesar Bugis, ingin Engku Puteri menjaga kepentingan Bugis. Baik dalam istana, mahupun kepentingan ekonomi. Oleh sebab perkahwinan Sultan Mahmud dan Raja Hamidah kemudiannya tidak menghasilkan waris, maka pihak pembesar Bugis mahu campur tangan Raja Hamidah dalam menaikkan Tengku Husin anak tirinya, kerana darah bugisnya lebih besar, dia juga putera yang sulung. Bukan Tengku Abdurrahman, yang darah Melayunya lebih besar tetapi bukan putera dari permaisuri Melayu gahara.
Raja Hamidah mempunyai pengetahuan yang luas, kecerdasan, keteguhan, dan pemahaman luas tentang politik serta adat istiadat negeri. Beliau menjadi penasihat, dan pengawal adat istidat dan budaya kerajaan Melayu Johor Riau Lingga. Oleh sebab itulah agaknya, kemudian Sultan Mahmud, memberinya tugas sebagai pemegang alat kebesaran atau dipanggil juga sebagai Regalia Kerajaan.
Alat Kebesaran Kebesaran Kerajaan adalah supremasi tertinggi bagi Raja-Raja Melayu. Sebuah negeri dan Raja tidak sah dan berdaulat jika pelantikannya tidak menggunakan Regalia. Sebab itu pemegang Regalia adalah penjaga adat istidat, dan tradisi Istana. Ia juga lambang maruah dan martabat kerajaan. Jika hilang atau rosaknya maruah kerajaan, maka hancur dan runtuhlah harga diri bangsa. Bagi kerajaan Melayu, sebuah negeri boleh ditaklukan dan dikuasai tetapi Sultannya boleh membuka negeri baru. Selagi Regalia Kerajaan tidak dirampas, dan masih dipegang oleh Raja, maka selagi itulah kedaulatan negeri itu masih utuh. Sebab itulah, siapapun yang diberi tugas menjaga Regalia adalah seorang yang tinggi martabatnya.

Istana yang diruntuhkan semasa Belanda menjajah Pulau Penyengat

Selesai perkawinannya dengan Sultan Mahmud, Sultan telah menganugerahkan beliau Pulau Penyengat sebagai maskahwin dan tapak istana. Sultan Mahmud juga membahagikan wilayah ekonomi antara pihak Melayu dan Bugis. Engku Puteri dan pihak Bugis akan memiliki Pulau Penyengat dan kawasan sekitarnya, sebagai “daerah permakanan”. Maka di pulau Penyengat lah Yang Dipertuan Muda Riau Lingga akan menjalankan pentadbiran. Manakala Lingga dan sekitarnya menjadi kawasan “permakanan” pihak Melayu, melalui Tengku Abdurrahman, putera Sultan Mahmud.

Raja Jaafar adalah abang kepada Engku Puteri

Engku Puteri menjadi benteng kuat yang memegang, memelihara, dan pengawal alat kebesaran dan kedaulatan kerajaan. Sebab itu lah beliau rela berselisih paham dengan abangnya Raja Djaafar, Yang Dipertuan Muda Riau Lingga, ketika Raja Djaafar menetapkan Tengku Abdurrahman sebagai pengganti Sultan Mahmud dan bukan memilih putera sulung Sultan, Tengku Husin. Engku puteri menganggap Raja Djaafar melanggar adat dan tradisi kerajaan Johor Riau Lingga. Sebab itu beliau tidak mahu menyerahkan Regalia kerajaan kepada Tengku Abdurrahman. Beliau telah membawa pusaka tersebut ke istananya di Pulau Penyengat, dan membiarkan Raja Djaafar melantik Sultan Abdurrahman pada tahun 1812 tanpa Regalia.

Makam Raja Jaafar, Yamtuan Muda ke 6

Tetapi peranan beliau yang lebih berat sebagai seorang Permaisuri ialah ketika kuasa asing ingin merampas Regalia tersebut. Pertama ialah ketika Inggeris menggunakan politik jahat untuk memecahkan Empayar Johor Riau. Mereka, menggunakan Tengku Husin yang gagal menjadi Sultan serta kelompok Temenggung Johor yang berasa disingkirkan dengan cara melantik Tengku Husin menjadi Sultan Singapura. Untuk melantik Tengku Husin sebagai Sultan, mereka berusaha mendapatkan Regalia Kerajan. Mereka menyuruh Tengku Husin memujuk Engku Puteri menyerahkan Regalia kepadanya. Tetapi Engku Puteri telah menolak kerana beranggapan tindakan anak tirinya itu melanggar adat dan akan memecah belahkan kerajaan Riau.
Mereka cuba merasuah Engku Puteri dengan menawarkan wang sekitar 50,000 ringgit Sepanyol. Tetapi beliau tetap menolak, dan berasa terhina dengan tawaran itu. Beliau menganggap Inggeris biadap dan mahu merampas kedaulatan Riau. Akhirnya sebab gagal memiliki Regalia, mereka telah mencuri perabung Istana Engku Puteri, dan dibawa ke Singapura dan dijadikan simbol adat pelantikan. Begitulah pentingnya Regalia dalam kedaulatan seorang Raja Melayu. Tengku Husin akhirnya dilantik sebagai Sultan Singapura, dan sejak itu Empayar Johor pecah dua. Riau Lingga dibawah Sultan Abdurrahman, dan Singapura, Johor dan Pahang dibawah Sultan Husin Syah.
Namun sejak dilantik sebagai Sultan Riau Lingga, Sultan Abdurrahman merasakan dirinya belum berdaulat, kerana tidak mempunyai Regalia. Pada awal tahun 1822, kerana gagal memujuk Engku Puteri untuk menyerahkan Regalia, Baginda telah memohon bantuan Belanda yang telah mengepung istana Engku Puteri Hamidah. Akibat diancam dengan senapang dan pedang, Regalia itu akhirnya dirampas dari tangan perempuan berusia hampir setengah abad itu. Namun beliau sempat memekik kepada Gabenor Belanda bahawa Regalia tersebut, telah hilangan kesakralan atau wibawanya kerana diambil secara paksa. Sejak peristiwa rampasan tersebut bencana silih berganti menimpa kerajaan Johor lama. 
Walaupun Regalia tersebut akhirnya terlepas dari tangan Engku Puteri, namun pengaruh, kewibawaan dan kuasa beliau sebagai bangsawan Melayu-Bugis Empayar Johor di Pulau Penyengat tetap terlihat dalam sejarah. Beliau berjuang dalam politik istana untuk menghalang pihak asing yang ingin memecah belahkan negeri Melayu. Wanita hebat ini akhirnya meninggal dunia pada 5 Ogos 1844 di Pulau Penyengat sebagai wanita yang berprinsip serta amanah dengan tugas yang diberikan serta berjuang untuk mempertahankan budaya dan maruah orang Melayu terus disanjung tinggi.

Tuesday 28 July 2020

Perpustakaan ini berfungsi sebagai masjid di Canberra


Agak payah juga mencari masjid di Canberra ini, tersesat-sesat sampai ke kawasan taman perumahan. Rupa-rupanya masjid ini dikenali sebagai Canberra Islamic Centre (CIC). 
Ketika sampai masjid ini jam dah pukul 12.08pm. Oleh kerana masih kepenatan memandu dari Sydney ke Canberra, hamba ambil kesempatan untuk membersihkan diri, mandi dan tukar pakaian di masjid ini. Bersih masjid ini, Lepas tu solat jamak qasar zohor Asar.
Masjid Canberra ini boleh ditemui jika goggle nama Australian National Islamic Library.  Perpustakaan ini memang cantik, bersih dan tersusun dan ada sepasang suami isteri yang telah pencen menjadi sukarelawan menjaga perpustakaan ini. Non muslim pulak tu. Tapi akhlak sangat baik. Kami diizinkan masuk masjid ini menggunakan pintu perpustakaan ini.

Australian National Islamic Library ini adalah sangat penting sebagai pusat syiar Islam. Komuniti Islam di Canberra telah mengimpikan untuk mendirikan perpustakaan yang  memiliki koleksi lebih dari sejuta buku.''
Perpustakaan ini  sangat penting bagi umat Muslim Australia untuk menangkis berita-berita dari media yang sentiasa memberikan gambaran buruk terhadap Islam. Namun citi-cita mulia untuk mendirikan perpustakaan yang mempunyai sejuta buku ini tidak mudah dilaksanakan.


Australia merupakan negara yang memberi kebebasan bagi setiap umat agama untuk menyebarkan dan menjalankan keyakinannya. Sebenarnya, Canberra Islamic Centre yang berlokasi di 221 Clive Steele Ave, Monash, ACT 2905, itu sudah memiliki perpustakaan. Letaknya ada di dalam masjid. Koleksinya baru mencapai ribuan, tapi sudah dikatalog dengan sistem perpustakaan yang baik. Buku-buku di sini terdiri dari pelbagai bahasa. Ada juga buku perbandingan agama bagi orang bukan Islam membacanya.



"The aim of the ANIL is to provide access to resources on Islam to raise awareness and access amongst Muslims and the wider community and to support academic research. In so doing it will promote a balanced view of the faith and its people by making these resources available. As well as providing an in depth collection on Islam the collection also covers comparative religion, and the history and politics of Islamic nations. ANIL currently holds in excess of 30,000 books in many languages including English, Arabic, French, Spanish, Malay, Urdu and Hindi. It is affiliated with the Australian National Library as one of its specialised lending libraries and English language resources can be searched through Libraries Australia or the National Library's Trove catalogue".


Bangunan Canberra Islamic Centre yang telah mula digunakan sejak tahun 1993 namun ketika itu statusnya adalah bangunan sewaan. Mereka berusaha untuk mencari dana bagi membeli bangunan ini.


Canberra Islamic Centre juga menjadi pusat kegiatan umat Islam dari berbagai suku bangsa. Setiap hari, ada saja kegiatan yang digelar di masjid yang bentuknya seperti dewan orang ramai itu. Ada diskusi keagamaan, pusat sukan, pusat latihan komputer, hingga pelaksanaan ibadah solat Jumaat.
Tempat ini menjadi pusat untuk membangun dan memelihara pendidikan, budaya, dan sosial umat Muslim Canberra. Di Canberra Islamic Centre, semua Muslim dari  latar belakang yang berbeza diberi kebebasan untuk berkumpul dan menjalin ukhuwah Islamiah.