Skip to main content

Trajedi lesapnya alat kebesaran untuk pertabalan sultan dalam kerajaan Johor lama



Semasa berjalan mengelilingi Pulau Penyengat, saya mendapati makam Raja Hamidah atau dipanggil juga sebagai Engku Puteri yang kelihatan lebih dimuliakan berbanding dengan makam Yamtuan Muda yang lain, hatta makam ayahanda baginda sendiri iaitu Raja Haji Fisabilillah dan makam anak saudaranya Raja Ali Haji seorang pujangga tersohor.


Raja Hamidah merupakan anak sulung Raja Haji Fisabilillah, yang syahid di Teluk Ketapang Melaka. Baginda dibesarkan dalam tradisi istana, kebangsawanan dan tradisi perang serta dalam persekitaran keluarga yang sangat taat pada agama dan menghargai alim ulamak. Oleh itu, Raja Hamidah dibesarkan dalam tradisi adat yang kuat, baik tradisi adat Melayu melalui ibunya, mahupun adat Bugis dari ayahnya. Raja Hamidah adalah seorang wanita yang cantik, anggun, berwibawa, cerdas dan bijaksana.


Peranan Raja Hamidah dalam kerajaan Johor lama mula terserlah setelah beliau berkahwin dengan Sultan Mahmud III. Perkawinannya dengan Sultan Mahmud, adalah sebuah perkahwinan politik. Ketika perkawinan itu terjadi, Sultan Mahmud sudah berumur 50 tahun, dan mempunyai tiga isteri. Yang pertama, Engku Puan, puteri Bendahara Pahang, seorang permaisuri gahara. Yang kedua, Encik Makoh, keturunan Bugis, dan yang ketiga Encik Manam, keturunan Melayu. Raja Hamidah sedar bahawa dengan perkahwinan politik itu adalah untuk meredakan konflik politik antara suku Melayu dan suku Bugis, akibat perebutan kuasa Yang Dipertuan Muda Riau Lingga antara Tengku Muda Muhammad (Putera Temenggung Abdul Jamal) dengan Raja Ali (putera Daeng Kemboja). Konflik ini, berlangsung lebih dari 8 tahun (1795 -1803). Tengku Muda Muhammad berasa berhak sebagai Yang Dipertuan Muda, karena dialah yang ditugaskan dan diangkat oleh Sultan Mahmud sebagai Raja Muda. Setelah Belanda menang melawan Riau (1784), satu perjanjian di atas kapal perang Utrecht telah mensyaratkan bahwa jawatan Yang Dipertuan Muda tidak boleh diberikan kepada keturunan Bugis. Raja Ali, berasa marah kerana jawatan itu hak keturunan Bugis dan sudah diikrar dalam Sumpah Setia Melayu-Bugis.
Persengketaan politik ini agak unik dan jika ditelusuri sebenarnya bukan sengketa antara suku etnik Melayu dan Bugis tetapi adalah diantara kaum kerabat sendiri juga. Raja Ali adalah anak Daeng Kemboja, cucu Daeng Perani. Sementara Tengku Muda Muhamamad anak Raja Maimunah dan Raja Maimunah ini, adalah anak Daeng Perani. Jadi yang berkelahi dan berebut kuasa itu, adalah cucu-cucu Upu Daeng Perani. Satu mewakili dinasti Bugis, yang satu mewakili dinasti Melayu Johor. Tapi darah kedua pihak itu sudah bercampur baur.

Raja Ali menjadi marah kerana jawatan Yamtuan muda adalah hak orang Bugis. Beliau akhirnya menjadi Yamtuan Muda yang ke 7

Untuk meredakan konflik ini, maka diadakan satu persetiaan. Orang penting disebalik perdamaian ini adalah Raja Lumu, Sultan Selangor yang disebut Sultan Salahuddin, ayah saudara sepupu dua tokoh tersebut. Raja Lumu dalam sejarah Riau Lingga memang menjadi tokoh kuat pihak Bugis. Beliau tidak disenangi pihak pembesar Melayu, seperti Temenggung Johor, Bendahara Pahang, dan Tun Dalam Raja Terengganu. Kemudian dimenterailah satu perdamaian di Kuala Bulang pada September 1803.

Isi perdamaian tersebut ialah, Sultan Mahmud sebagai keturunan Melayu yang berkuasa akan mengahwini Raja Hamidah keturunan Bugis, bagi menghapuskan perseteruan Melayu dan Bugis. Jika lahir putera dari perkahwinan tersebut maka ditubuhnya akan mengalir darah Melayu dan Bugis dan akan menjadi keturunan Bugis-Melayu pertama di takhta kerajaan Johor Riau Lingga. Sebelum ini semua Sultannya berdarah Melayu yang sangat kuat, kerana takhta Sultan memang menjadi hak orang-orang keturunan Melayu. Itulah beban politik yang diletakkan dibahu wanita yang berusia 29 tahun itu.

Engku Puteri terus dihormati dalam sejarah ketamadunan Johor-Riau

Raja Hamidah sebagai puteri berdarah Bugis, pihak Pembesar Bugis, ingin Engku Puteri menjaga kepentingan Bugis. Baik dalam istana, mahupun kepentingan ekonomi. Oleh sebab perkahwinan Sultan Mahmud dan Raja Hamidah kemudiannya tidak menghasilkan waris, maka pihak pembesar Bugis mahu campur tangan Raja Hamidah dalam menaikkan Tengku Husin anak tirinya, kerana darah bugisnya lebih besar, dia juga putera yang sulung. Bukan Tengku Abdurrahman, yang darah Melayunya lebih besar tetapi bukan putera dari permaisuri Melayu gahara.
Raja Hamidah mempunyai pengetahuan yang luas, kecerdasan, keteguhan, dan pemahaman luas tentang politik serta adat istiadat negeri. Beliau menjadi penasihat, dan pengawal adat istidat dan budaya kerajaan Melayu Johor Riau Lingga. Oleh sebab itulah agaknya, kemudian Sultan Mahmud, memberinya tugas sebagai pemegang alat kebesaran atau dipanggil juga sebagai Regalia Kerajaan.
Alat Kebesaran Kebesaran Kerajaan adalah supremasi tertinggi bagi Raja-Raja Melayu. Sebuah negeri dan Raja tidak sah dan berdaulat jika pelantikannya tidak menggunakan Regalia. Sebab itu pemegang Regalia adalah penjaga adat istidat, dan tradisi Istana. Ia juga lambang maruah dan martabat kerajaan. Jika hilang atau rosaknya maruah kerajaan, maka hancur dan runtuhlah harga diri bangsa. Bagi kerajaan Melayu, sebuah negeri boleh ditaklukan dan dikuasai tetapi Sultannya boleh membuka negeri baru. Selagi Regalia Kerajaan tidak dirampas, dan masih dipegang oleh Raja, maka selagi itulah kedaulatan negeri itu masih utuh. Sebab itulah, siapapun yang diberi tugas menjaga Regalia adalah seorang yang tinggi martabatnya.

Istana yang diruntuhkan semasa Belanda menjajah Pulau Penyengat

Selesai perkawinannya dengan Sultan Mahmud, Sultan telah menganugerahkan beliau Pulau Penyengat sebagai maskahwin dan tapak istana. Sultan Mahmud juga membahagikan wilayah ekonomi antara pihak Melayu dan Bugis. Engku Puteri dan pihak Bugis akan memiliki Pulau Penyengat dan kawasan sekitarnya, sebagai “daerah permakanan”. Maka di pulau Penyengat lah Yang Dipertuan Muda Riau Lingga akan menjalankan pentadbiran. Manakala Lingga dan sekitarnya menjadi kawasan “permakanan” pihak Melayu, melalui Tengku Abdurrahman, putera Sultan Mahmud.

Raja Jaafar adalah abang kepada Engku Puteri

Engku Puteri menjadi benteng kuat yang memegang, memelihara, dan pengawal alat kebesaran dan kedaulatan kerajaan. Sebab itu lah beliau rela berselisih paham dengan abangnya Raja Djaafar, Yang Dipertuan Muda Riau Lingga, ketika Raja Djaafar menetapkan Tengku Abdurrahman sebagai pengganti Sultan Mahmud dan bukan memilih putera sulung Sultan, Tengku Husin. Engku puteri menganggap Raja Djaafar melanggar adat dan tradisi kerajaan Johor Riau Lingga. Sebab itu beliau tidak mahu menyerahkan Regalia kerajaan kepada Tengku Abdurrahman. Beliau telah membawa pusaka tersebut ke istananya di Pulau Penyengat, dan membiarkan Raja Djaafar melantik Sultan Abdurrahman pada tahun 1812 tanpa Regalia.

Makam Raja Jaafar, Yamtuan Muda ke 6

Tetapi peranan beliau yang lebih berat sebagai seorang Permaisuri ialah ketika kuasa asing ingin merampas Regalia tersebut. Pertama ialah ketika Inggeris menggunakan politik jahat untuk memecahkan Empayar Johor Riau. Mereka, menggunakan Tengku Husin yang gagal menjadi Sultan serta kelompok Temenggung Johor yang berasa disingkirkan dengan cara melantik Tengku Husin menjadi Sultan Singapura. Untuk melantik Tengku Husin sebagai Sultan, mereka berusaha mendapatkan Regalia Kerajan. Mereka menyuruh Tengku Husin memujuk Engku Puteri menyerahkan Regalia kepadanya. Tetapi Engku Puteri telah menolak kerana beranggapan tindakan anak tirinya itu melanggar adat dan akan memecah belahkan kerajaan Riau.
Mereka cuba merasuah Engku Puteri dengan menawarkan wang sekitar 50,000 ringgit Sepanyol. Tetapi beliau tetap menolak, dan berasa terhina dengan tawaran itu. Beliau menganggap Inggeris biadap dan mahu merampas kedaulatan Riau. Akhirnya sebab gagal memiliki Regalia, mereka telah mencuri perabung Istana Engku Puteri, dan dibawa ke Singapura dan dijadikan simbol adat pelantikan. Begitulah pentingnya Regalia dalam kedaulatan seorang Raja Melayu. Tengku Husin akhirnya dilantik sebagai Sultan Singapura, dan sejak itu Empayar Johor pecah dua. Riau Lingga dibawah Sultan Abdurrahman, dan Singapura, Johor dan Pahang dibawah Sultan Husin Syah.
Namun sejak dilantik sebagai Sultan Riau Lingga, Sultan Abdurrahman merasakan dirinya belum berdaulat, kerana tidak mempunyai Regalia. Pada awal tahun 1822, kerana gagal memujuk Engku Puteri untuk menyerahkan Regalia, Baginda telah memohon bantuan Belanda yang telah mengepung istana Engku Puteri Hamidah. Akibat diancam dengan senapang dan pedang, Regalia itu akhirnya dirampas dari tangan perempuan berusia hampir setengah abad itu. Namun beliau sempat memekik kepada Gabenor Belanda bahawa Regalia tersebut, telah hilangan kesakralan atau wibawanya kerana diambil secara paksa. Sejak peristiwa rampasan tersebut bencana silih berganti menimpa kerajaan Johor lama. 
Walaupun Regalia tersebut akhirnya terlepas dari tangan Engku Puteri, namun pengaruh, kewibawaan dan kuasa beliau sebagai bangsawan Melayu-Bugis Empayar Johor di Pulau Penyengat tetap terlihat dalam sejarah. Beliau berjuang dalam politik istana untuk menghalang pihak asing yang ingin memecah belahkan negeri Melayu. Wanita hebat ini akhirnya meninggal dunia pada 5 Ogos 1844 di Pulau Penyengat sebagai wanita yang berprinsip serta amanah dengan tugas yang diberikan serta berjuang untuk mempertahankan budaya dan maruah orang Melayu terus disanjung tinggi.

Comments

Popular posts from this blog

Coretan Kembara - Habib Ali Batu Pahat yang kutemui

Pak Habib dengan senang hati menyambut semua tetamunya tanpa melebihkan antara satu dengan lainnya. Seperti biasa bila memandang Pak Habib ni, timbul rasa tenang dalam diri               Ketika melayari internet untuk mencari informasi tempat-tempat yang menarik untuk dilawati di Surabaya, ada beberapa pelan perjalanan yang menjurus kepada lawatan tempat lahirnya Wali Songo. Banyak juga tokoh-tokoh agama yang hebat yang dicadangkan untuk diziarahi. Dalam banyak-banyak itu hamba ternampak satu nama dan gambar yang hamba pernah temui di rumahnya di Kampung Solok Wan Mor, Batu Pahat. Dia dikenali sebagai Habib Ali Batu Pahat atau nama sebenarnya al-Habib Syed Ali bin Syed Ja'far al-Idrus.            Pada kali pertama hamba menziarahinya kerana termakan pujuk seorang rakan yang mengajak hamba ke Batu Pahat untuk menziarahi Habib Ali kerana katanya amalan yang digalakkan pada 10 Muharam ialah menziarahi alim. Ke...

Masjid Telok Manok: Kutemui masjid tertua di Thailand.

Masjid tua yang tidak mempunyai kubah. Kubah adalah pengaruh Turki. Semasa berjalan di Narathiiwat, hamba berpeluang menziarahi sebuah masjid kayu yang sudah berumur sekitar 300 tahun bernama Masjid Telok Manok atau dikenal juga dengan nama Masjid Wadi Al-Hussein.  Rajah asal Masjid Telok Manok Masjid ini masih terus digunakan untuk solat fardu dan solat Jumaat Masjid ini dibina pada tahun 1768, menjadikannya sebagai masjid tertua yang masih berdiri di Thailand. Seni bina Melayu, Cina, Kemboja dan Jawa bergabung  Masjid ini dibina mengikut senibina Melayu, Cina, Jawa dan Kemboja.  Dibuat menggunakan kayu sepenuhnya dan tanpa menggunakan paku. Masjid ini mempunyai tiang dan ada menara azan yang juga dibuat dari kayu.   Semuanya disusun cantik namun terus kukuh selama 300 tahun Telok Manok merupakan nama desa tempat masjid ini berdiri, sebuah desa kecil berjarak sekitar 25 kilo meter dari kota Narathiwat. Sedangkan A...

Damsyik - Kutemui Masjid Umawi yang tua usianya.

Tempat pertama hamba ziarahi ketika sampai  di Damsyik ialah Masjid Umawi.   Masjid ini telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Umawi al-Walid bin Abdul Malik, Khalifah Kerajaan Umawi pada tahun (86 – 96 Hijrah) (705 – 714 Masehi) .  Damsyik adalah Ibu Kota pemerintahan kerajaan Umayyah pada waktu tersebut. I a didirikan di atas tanah yang sudah beribu-ribu tahun menjadi pusat peribadatan dan awalnya merupakan tempat ibadah bangsa Aram yang menyembah Dewa Hadad, iaitu bangsa Arab Suryani kuno sejak 3000 tahun sebelum Masihi. Di awal abad Masihi tempat ini telah berubah menjadi tempat ibadah penyembah Dewa Jupiter ad-Dimasqi (zaman Romawi) dan ketika agama Kristian berkembang di Damsyik  pada abad ke-4 Masihi tempat ini berubah menjadi gereja yang bernama “St. John the Baptist Basilica”.   Pada zaman kekuasaan Romawi, penduduk asing tidak mudah memasuki kota Damsyik, karena kota itu dikelilingi tembok yang tinggi. Mereka yang ingin memasuki k...