Busker di kota Amsterdam
Satu lagi subjek yang suka hamba tekuni bila berjalan-jalan ialah seniman jalanan atau busker yang menunjukkan kebolehan mereka di pelbagai pelosok kota di dunia ini.
Busker di Bergen Norway. |
Busker di Malaysia belum berapa popular dan diterima oleh masyarakat. Masih ada segelintir masyarakat yang menganggap busker seperti peminta sedekah. Bezanya, peminta sedekah menghulurkan tangan dan mengharapkan simpati orang ramai atau kalau tidak pun, mereka menjual tisu.
Busker di kota Beijing |
Busker pula bermain alat muzik sambil bernyanyi dan mengharapkan orang ramai menghargai penat lelah mereka itu dengan meletakkan wang di dalam bekas yang disediakan.
Busker di kota London
Busker atau pemuzik jalanan adalah fenomena yang merentasi pelbagai pelosok dunia.
Busker di Bath London |
Mereka mungkin berbeza dari metod persembahan, alat muzik yang digunakan, bilangan ahli kumpulan dan dan tahap usia mereka.
Busker di Copenhagen
Busker pada kebiasaannya membuat persembahan secara spontan di lokasi popular seperti kaki lima atau tempat tumpuan pengunjung atau pelancong.
Busker di kota Vienna
Mereka tidak memerlukan set lampu, pentas utama, atau siar raya yang menelan belanja berpuluh-puluh ribu ringgit dalam sesuatu persembahan, tetapi mereka lebih menumpukan perhatian terhadap bakat dan kreativiti individu.
Busker di kota Stockhlom
Busker sebenarnya sudah menjadi trend sejak tahun 1980-an lagi, malah dilakukan di seluruh dunia.
Busker berasal daripada perkataan Sepanyol buscar yang bermaksud “untuk mencari”. Bahasa yang lebih mudah ialah mencari nama atau kekayaan melalui bakat diri yang sedia ada.
Istilah busking pula membawa bermaksud mengadakan persembahan di tempat awam, seperti bermain alat muzik, bernyanyi, menari, dan bersajak, tanpa tempahan tempat, kontrak dan bayaran tetap.
Busker di Brussels
Prinsip bagi seorang busker sejati ialah persembahan yang mereka buat adalah untuk orang ramai dengan harapan mereka terhibur dengan persembahan itu. Sekiranya penonton memberikan tip, itu dikira bonus; jika tidak, mereka tetap menghiburkan pengunjung.
Persembahan jalanan ini mempunyai sejarah yang panjang. Menurut catatan, sejak zaman Rom lagi, busker sudah wujud. Pada ketika itu, masyarakat Rom akan membaling duit syiling untuk penghibur yang membuat persembahan. Persembahannya pula biasanya diadakan di dataran bandar atau sepanjang jalan raya. Di zaman pertengahan di Eropah menyaksikan persembahan jalanan ini semakin berkembang dan mendapat tempat hingga istana. Mereka bukan sahaja dianggap sebagai penghibur biasa, tetapi golongan yang “membantu” membuka mata rakyat dan pemerintah.
Busker dianggap sebagai pengantara antara rakyat dengan pembesar kerana sering bernyanyi atau bersyair tentang kisah masyarakat, kemiskinan, korupsi, dan masalah sosial di sesuatu tempat itu. Yang menariknya, keluhan tersebut disampaikan dalam bentuk nyanyian yang lebih mudah mendapat perhatian orang ramai.
Bob Dylan adalah contoh busker berprofil tinggi. Beliau menggunakan saluran busking ini untuk kesedaran masyarakat tentang masalah yang berlaku dan secara terang-terangan, mengkritik hierarki politik Amerika Syarikat pada masa itu, yang turut mendapat sokongan daripada pengunjung yang mendengar dendangan lagunya. persembahan jalanan ini terus berkembang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kini aktiviti ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan, malah bertaburan di seluruh dunia.
Comments