Hari ni hari Jumaat, penat dah meronda kat Paddy Market, makan pun dah sudah. Tengok jam dah nak dekat kul 12 tengahari. Payah juga cari masjid... kena solat Jumaat ni. Walaupun ada ruksah untuk meninggalkan solat Jumaat bagi seorang musafir tapi kalau punya peluang dan kesempatan tentu lebih baik solat Jumaat. Kita dapat pengalaman bersolat di negara yang berbeza-beza.
Akhirnya jumpa sebuah masjid yang terletak salam satu deretan bangunan, Memang nampak dari jauh bukan macam sebuah masjid.
Hasrat hati kalau dapat kat solat kat masjid terbesar di Sydney seperti di atas iaitu masjid Imam Ali bin Abi Talib. Namun apakan daya tak ada rezeki. Masjid Imam Ali ini dikenali juga sebagai Masjid Lakemba kerana terletak di 71-75 Wangee Road, Lakemba. Dikenali juga sebagai masjid Lebanon kerana diuruskan oleh kebanyakannya orang Arab Lebanon. Masjid ini juga adalah masjid paling tua di Australia.
Namun hamba tak ada rezeki nak solat Jumaat di masjid Lakemba kerana jaraknya yang agak jauh dari tempat hamba berada. Masjid yang terdekat dengan Central Station ialah masjid Surry Hills. Hanya lebih kurang 1.5km atau kalau jalan kaki lebih kurang 10 minit sahaja.
Masjid Surrey Hills juga
dikenali sebagai Masjid Raja Faisal. Masjid
ini terletak di 175-177 Commonwealth St, Surry Hills, Sydney.
Bangunan tiga tingkat ini telah dibeli dan diubahsuai sebagai sebuah masjid.
Oleh kerana masjid ini terletak di pusat kota, tidak digalakkan kita
membawa kereta ke sini, tempat parkir sangat terhad. Lebih baik naik
pengangkutan awam dan kemudian berjalan kaki sahaja.
Masuk waktu Zohor muaazin terus azan. Tapi solat Jumaat hanya bermula jam 1 petang.
Pukul 12 tengahari, orang belum ramai lagi. Patutlah noja masjid ni beritahu jika sesiapa yang cepat solat Jumaatnya boleh pergi ke masjid lain yang berdekatan.
Sementara menunggu jemaah yang lain datang, kita bolehlah berzikir, mengaji Al Quran atau mengadap telefon bimbit. Pukul 1 petang, jemaah semakin ramai, lalu imam memberikan tazkirah. Lama juga tazkirah ini, lebih kurang 30 minit. Ini memberi peluang untuk jamaah yang masih bekerja atau melerakkan kenderaan yang jauh sempat sampai untuk solat Jumaat. Masjid ini betul-betul di pusat bandar Sydney.
Orang semakin ramai, masjid mula penuh. Sebelah aku ada muslim bertatto penuh di lengannya. Bersangka baik ajalah jawabnya.
Jam 1.30 petang baru imam naik mimbar! Imam berkhutbah ringkas sahaja. Bayangkan solat Jumaat di masjid ini hanya memakan masa kurang daripada 30 minit. Tetapi kena ingat sebelum solat Jumaat ini, ada tazkirah lebih kurang 30 minit.
Lebih kurang pukul 2 petang solat Jumaat pun selesai. Maka bertebaranlah semua jemaah menuju destinasi masing-masing.
Comments