Di dalam Masjid al-Aqsa terdapat beberapa buah kubah cantik yang menghiasi halaman masjid. Kesemua kubah ini telah dibina semenjak pemerintahan Islam lagi bermula dari zaman Umaiyah hinggalah ke zaman pemerintahan al-Ayyubi, Mamluk dan Uthmaniyyah. Usaha-usaha tersebut merupakan manifestasi umat Islam akan keprihatinan mereka dalam memberi impak dan sumbangan untuk menghidupkan Masjid al-Aqsa. Kubah-kubah ini telah dibina atas pelbagai tujuan antaranya dijadikan tempat untuk para jemaah menunaikan solat, majlis-majlis ilmu atau tempat untuk melakukan ibadah dan iktikaf. Berikut merupakan 15 buah kubah yang terdapat di dalam halaman Masjid al-Aqsa:
(Kubah Batu / The Dome of the Rock)

Merupakan salah satu model seni bina Islam yang paling agung dan indah pada era awal pemerintahan Islam di dunia. Kubah ini telah dibina semasa kerajaan Umaiyah oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan pada tahun 65-86 H bersamaan dengan tahun 685-705 M di kawasan batu yang dimuliakan, iaitu tempat Nabi Muhammad SAW berangkat naik ke langit yang ketujuh. Pembinaannya telah dilakukan di atas batu berbentuk segi lapan dan di atasnya terdapat sebuah kubah berbentuk sfera yang disaduri dengan plat emas. Ketinggiannya mencapai sehingga 35 m dan di atasnya lagi terdapat bulan sabit dengan ketinggian ukuran 4 m. Manakala di bahagian dalam kubah ini telah dihiasi dengan dekorasi, mozek dan kaligrafi yang cantik. Selain itu, ia merupakan salah satu mercu tanda seni bina Islam tertua yang terletak di kawasan tempat tumpuan Masjid al-Aqsa. Pembinaannya telah dilakukan di tengah-tengah kawasan terbuka dengan jarak empat meter dari kedudukan Masjid al-Qibli serta memiliki empat buah pintu. Di sekeliling dinding kubah ini dihiasi dengan porselin yang terdapat ukiran tulisan ayat-ayat al-Quran daripada surah al-Isra’. Untuk pergi ke kubah ini, terdapat lapan buah baikah yang boleh dilalui dengan menaiki anak-anak tangga yang berada di sekitarnya.
Kubah dan segala seni binanya masih kekal seperti sama dengan keadaan pertama kali dibina semasa zaman kerajaan Umaiyah. Hanya ada beberapa perubahan kecil sahaja yang dilakukan pada zaman kerajaan-kerajaan kemudiannya.
(The Dome of Ascension)
Dibina pada zaman pemerintahan al-Ayyubi pada tahun 597 H bersamaan 1201 M di atas runtuhan kubah yang pernah dibina pada zaman pemerintahan awal Islam dalam peristiwa Mikraj Nabi Muhammad SAW. Ianya adalah sebuah kubah kecil berbentuk segi lapan dan mempunyai sebuah mihrab. Pengubahsuaiannya telah disempurnakan pada zaman pemerintahan Uthmaniyyah. Istimewanya, terdapat juga sebuah kubah kecil lagi yang yang terletak di atasnya dan kelihatan seolah-olah seperti sebuah mahkota. Dahulunya, kubah ini telah disaduri dengan kepingan-kepingan timah tetapi telah diubahsuai dan digantikan dengan kepingan-kepingan batu.
Kubah Mikraj atau dalam bahasa Inggeris: Dome of the Ascension, (Arab: قبة المعراجQubbat al-Miraj; Bahasa Ibrani: ×›ִּיפָּת ×”ַ×¢ֲלִ×™ָּ×™×” Kippat Ha'Aliyah) adalah binaan berkubah kecil, berdiri sendiri yanga asalnya dibina oleh Tentera Salib yang terletak di utara Kubah Al-Sakhrah di perkarangan Masjid al-Aqsa di bandar lama Baitulmaqdis.
Kubah Mikraj juga merupakan tempat penting dalam peristiwa sejarah Islam. Ia merupakan tapak penting dimana Nabi Muhammad SAW diangkat kelangit menerusi peristiwa Israk Mikraj. Namun dalam agama Kristian disini juga dianggap sebagai tempat suci iaitu suatu binaan dinamai Templum Domini yang mungkin digunakan untuk pembaptisan. Tersdapat inskrpsi Arab dari tahun 1200-1 dimana tempat ini telah di jadikan waqf.[1][2]
Struktur binaan dipercayai adalah direka mengikut seni bina Frankish tetapi telah diubah suai dan dibetulkan selepas tempoh Dinasti Ayyubid.[2]
Kubah Musa
(Kubah Musa / Dome of Moses)
Terletak di tengah-tengah masthabah Nabi Musa AS di bahagian barat Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Kubah ini telah dibina oleh Raja Najmuddin Ayoub pada tahun 647 H bersamaan tahun 1249 M. Berbentuk segi empat dan terdapat sebuah kubah di atasnya. Di dalam dan di luarnya pula terdapat beberapa buah mihrab yang mempunyai ciri binaan yang sederhana. Selain itu, terdapat juga sebuah pintu masuk di sebelah utara dan berada di atas masthabah yang dikelilingi dengan mihrab. Merujuk kepada sebilangan pendapat, nama kubah ini diambil bersempena dengan Nabi Musa A.S. Sementara itu, ada juga yang mengatakan ia diambil dari nama salah seorang guru yang pernah mengajar di sini. Kubah ini juga dikenali sebagai “Kubah Pokok” bersempena dengan pokok kurma yang ditanam berdekatan dengan kubah tersebut dan ada juga menamakannya dengan ‘Kubah Yang Luas.’ Kini, bangunan tersebut digunakan sebagai pusat menghafal al-Quran.
Kubah an-Nahwiyah
(Grammarian Dome)
Kubah ini telah dibina oleh Raja Isa al-Ayoubi pada tahun 604 H bersamaan tahun 1207 M untuk dijadikan sebagai tempat pengajian ilmu bahasa seperti ilmu sorof dan nahu. Namanya diambil merujuk kepada fungsinya. Terdapat tiga buah ruang yang bersambung dan sebuah kubah yang berada di atasnya. Sekolah ini memainkan peranan penting dalam gerakan intelektual di Baitul Maqdis sehingga kurun ke-12 H bersamaan tahun 17 M. Selain itu, pernah digunakan juga sebagai perpustakaan bagi Majlis Agama Islam Tertinggi (Supreme Islamic Council) yang kemudiannya telah bertukar menjadi ibu pejabat kejuruteraan seni bina dalam usaha untuk membaiki Kubah as-Sakhrah al-Musyrifah pada tahun 1956 M. Kini, fungsinya telah dijadikan sebagai tempat menjalankan kerja-kerja penghakiman yang dikenali juga sebagai Mahkamah Rayuan Syariah al-Quds.
(Suleiman’s Dome)
Nama kubah ini diambil bersempena dengan nama Sulaiman bin Abdul Malik. Pada zaman pemerintahan al-Ayyubi, kubah ini telah dibina semula iaitu pada tahun 600 H bersamaan dengan tahun 1203 M. Kemudian, kerja-kerja menaiktaraf dilakukan pada zaman pemerintahan Uthmaniyyah. Kubah ini berbentuk segi lapan dan terdapat dua puluh empat buah tiang marmar. Di dalamnya, terdapat batu-bata yang dipercayai adalah sebahagian daripada batu suci Baitul Maqdis. Batu ini pernah dikelilingi dengan pagar besi tetapi kemudiannya telah dibuang. Di samping itu, terdapat juga sebuah mihrab di sebelah selatan dan pintu di sebelah utara. Binaan kubah ini terletak di tengah-tengah dataran utara Masjid al-Aqsa dan di sebelah barat daya dari Pintu Faisal. Kini, fungsinya telah digunakan sebagai pusat pendakwah Muslimat di dalam Masjid al-Aqsa.
Kubah al-Mizan
( Scale’s Dome)
Digelar dengan nama ini kerana ia bercantum dengan baikah Selatan yang dikenali sebagai al- Mizan. Dari segi struktur binaan, bentuknya seperti sebuah mimbar. Oleh itu, dikenali juga dengan nama, “Mimbar Burhanuddin” bersempena dengan nama seorang Ketua Hakim Negara iaitu Burhanuddin. Beliaulah yang telah membina sebuah mimbar daripada marmar di tempat mimbar kayu yang diletakkan oleh Salahuddin. Mimbar ini digunakan pada waktu solat sunat Hari Raya dan solat sunat Istisqa’ (meminta hujan) yang biasanya dilaksanakan di halaman masjid. Selain itu, ia juga dikelilingi dengan dua buah Mihrab.
Kubah Nabi
(The Prophet’s Dome and Niche)
Merupakan sebuah kubah kecil yang terletak di barat laut Kubah as-Sakhrah berhampiran dengan Kubah al-Mikraj. Tarikh asal bagi pembinaan kubah ini bermula pada zaman pemerintahan Umaiyah. Walau bagaimanapun, proses pembinaannya telah melalui dua fasa; iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman al-Qanuni dan Sultan Abdul Majid II iaitu pada tahun 945 H bersamaan tahun 1538 M dan tahun 1261 H bersamaan tahun 1845 M. Ia dipercayai dibina di tempat Nabi Muhammad SAW mengimamkan solat bersama para nabi dan malaikat dalam peristiwa Isra’.
(The Spirits Dome)
Pada kurun ke-10 H bersamaan dengan 16 M, kubah ini telah dibina di sebuah tempat yang dikenali sebagai tempat persemadian roh-roh (The Grotto of Spirits) sepertimana yang termaktub dalam manuskrip di atas lantai kubah ini. Ia adalah sebuah kubah kecil berbentuk segi lapan dan terdapat lapan buah tiang marmar halus. Nama kubah Arwah ini diambil berdasarkan kedudukannya yang berhampiran dengan kawasan gua atau dikenali sebagai gua roh.
Kubah al-Khidr
( Al-Khadr’s Dome)
Merupakan sebuah kubah kecil yang terletak di barat laut Kubah as-Sakhrah. Pembinaannya telah dijalankan pada kurun ke-10 H bersamaan dengan 16 M. Terdapat enam buah tiang marmar yang di bahagian atasnya terdapat enam buah blok batu yang menjadi asas pembentukan bulatan di bahagian dalam dan berbentuk enam segi di bahagian luar. Di dalamnya juga terdapat jubin merah yang berbentuk mihrab menghala ke arah kiblat. Kubah ini dikatakan tempat Nabi Khidir A.S pernah menjadi imam dan solat di dalamnya. Di bawahnya pula, terdapat sebuah perkuburan yang dikenali sebagai “Makam Khidir” di mana digunakan sebagai tempat berzikir, berdoa, menuntut ilmu dan iktikaf (kesufian). Walaupun begitu, kedua-dua perkara ini tidak mempunyai bukti yang kukuh.
*Catatan: Kubah ini juga dijadikan sebagai tempat bagi orang mubaligh (orang yg menjadi penghubung antara imam dengan makmum ketika sembahyang berjemaah)
Kubah Yusuf Agha
( Dome of Yusuf Agha)
Sebuah ruang berbentuk segi empat dan di atasnya terdapat sebuah kubah kecil yang dibina dengan sentuhan seni bina Uthmaniyyah. Terletak di sebelah barat Masjid al-Qibli dan berhampiran dengan Muzium Islam. Gabenor Uthmaniyyah iaitu Yusuf Agha telah membina kubah ini pada tahun 1092 H bersamaan 1681 M dan disebabkan itu dinamakan sebagai Kubah Yusuf Agha bersempena dengan nama pembinanya. Kini, digunakan sebagai kaunter pertanyaan dan dijadikan tempat jualan tiket untuk masuk ke Muzium Islam.
Kubah Yusuf
(Yusuf’s Dome)
Dibina pada zaman Uthmaniyyah pada tahun 1092 H bersamaan 1681 M. Tujuan pembinaannya adalah untuk memelihara semua inskripsi (tulisan berbentuk ukiran) yang telah diukir oleh al-Ayyubi pada tembok Kota Baitul Maqdis selepas berlakunya proses pembinaannya semula. Adapun kerajaan Uthmaniyyah pada ketika itu telah melakukan proses pembaikpulihan pada tembok-tembok dan memindahkan semua inskripsi itu ke kubah ini. Maksud Yusuf di sini adalah nama asal Sultan Salahuddin (Yūsuf ibn Ayyūb). Kubah ini berbentuk segi empat tanpa dinding kecuali ditutup pada bahagian selatan dari Kubah as-Sakhrah. Terdapat dua buah tiang di bahagian hadapan serta mengandungi dua buah ukiran tulisan. Pertama, di dalam bahasa Arab yang mana menceritakan tentang apa yang telah dilakukan oleh Salahuddin al-Ayyubi. Manakala, ukiran kedua pula di dalam bahasa Turki yang disebutkan nama orang yang telah melakukan pembaharuan pada kubah ini, iaitu Ali bin Yusuf Agha.
(Kubah Pencinta Nabi / The Lovers of the Prophet (PBUH) Dome)
Dibina pada tahun 1233 H bersamaan dengan tahun 1817 M iaitu pada zaman pemerintahan Uthmaniyyah, Sultan Mahmud II. Selain itu, dikenali juga sebagai Dewan Sultan Mahmud II. Kini, nama kubah ini merujuk kepada aktiviti yang dilakukan oleh beberapa orang sheikh Sufi yang berkumpul dan berzikir di dalamnya. Kawasannya terletak di sebelah utara Masjid al-Aqsa berhampiran dengan Pintu Gerbang al-‘Atam. Orang yang membina kubah ini adalah Sultan Uthmaniyyah, iaitu Sultan Mahmud II bin Abdul Hamid I. Kubah ini merupakan binaan berbentuk segi empat tanpa dinding serta mempunyai empat buah batang tiang batu yang berdiri teguh di atas masthabah segi empat yang ketinggiannya kira-kira setengah meter dari paras dataran Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Jadi, untuk memasuki ke kubah ini, perlulah menaiki beberapa buah anak tangga. Selain itu, di atas tiang-tiang ini juga terdapat sebuah kubah dan di tengah-tengah bahagian selatannya pula terdapat sebuah mihrab yang cantik.
Kubah Mahed Isa
(Kubah Buaian Isa / Cradle of Issa Mosque)
Kubah ini merupakan bangunan bersejarah yang dibina oleh umat Islam pada zaman pemerintahan Umaiyyah. Ia terletak di sudut ruang solat al-Marwani dan telah dibina pada zaman Uthmaniyyah pada tahun 1315 H bersamaan dengan tahun 1898 M. Beberapa orang menyatakan bahawa al-Masih (Nabi Isa A.S) pernah tidur di tempat ini semasa waktu kecilnya. Akan tetapi, fakta ini tiada sebarang bukti yang kukuh. Orang Kristian juga tidak mempercayai cerita tersebut kerana mereka langsung tidak tahu dan tidak ambil peduli tentang tempat ini sebelum pembukaan Islam.
Kubah as-Sheikh al-Khalili
(Mohammadiyah Lodge Dome al-Khalili)
Dibina pada zaman pemerintahan Uthmaniyyah pada tahun 1112 H bersamaan dengan tahun 1700 M. Nama kubah ini diambil bersempena dengan nama seorang Sheikh Sufi (ahli sufi) yang pernah menjadi imam dan melakukan ibadah di sini. Kini, tempat ini digunakan sebagai sebuah pejabat Urusan Pembangunan Masjid al-Aqsa al-Mubarak.
Kubah Rantai (Assilsilah)
Kubah rantai atau Assilsilah terletak di sebelah timur Masjid Kubah Emas atau Dome of Rock. Nama ini ada kaitan dengan rantai besar yang digantungkan di tengah dan mencuri tumpuan orang ramai.





Comments