Semasa ternampak Masjid Nabi Danial di Iskandariah tidak pula menyangka akan bertemu dengan Makam Lukman Al Hakim yang berada sebelah Makam Nabi Daniel.
Diriwayatkan bahwa Luqman berasal dari Sudan/Mesir, berkulit hitam, bibirnya tebal dan kulit kakinya pula retak-retak. Juga dikatakan bahawa sebaik-baik orang dari benua Afrika itu adalah 3 orang, iaitu: Bilal bin Robah, Mahja’ (yakni hamba sahaya Sayidina Umar ibn Khattab) dan Luqman al-Hakim. Orang yang ke tiga pula ialah an-Najasyi (Raja Habsyah yang beriman di zaman Nabi
Muhammad saw).
Luqman merupakan seorang lelaki yang dikurniakan oleh Allah swt ilmu agama dan kebaikan di dalam segala tindakan dan ucapan beliau, sehingga ia termasuk seseorang yang mendapat keutamaan di dalam Al Quran. Bahkan namanya di abadikan sebagai nama salah satu surah di dalam Al-Quran.
Menurut pendapat majoriti ulama, Luqman ialah seorang ahli hikmah dan bukan seorang nabi kerana di dalam Al Quran disebutkan bahawa Allah swt memberikan hikmah kepadanya.
Dari Surah Luqman, Ayat 12:
"Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji".
Hanya ada dua orang sahaja manusia yang bukan dari golongan Rasul yang nama mereka diabadikan sebagai nama surah di dalam Al Quran. Mereka adalah Maryam (ibu Nabi Isa as) dan Luqman Al Hakim. Begitu tinggi ketakwaan mereka sehingga penghargaan sebegitu diberi oleh Allah swt kepada keduanya.
Pada suatu hari ketika beliau sedang duduk di sebuah majlis ilmu dan memberikan ceramah kepada orang ramai, datanglah seorang lelaki menemuinya dan bertanya “Bukankah engkau yang tadi menggembala kambing di tempat ini?”
Luqman menjawab, “Benar”. Lalu lelaki itu bertanya, “Lalu apa yang menghantarkanmu sampai pada kedudukan terhormat seperti saat ini?” Luqman menjawab, “Benar dalam berbicara dan diam terhadap hal-hal yang bukan menjadi urusanku”
Comments