Engku Puteri Raja Hamidah, Penjaga Alat Kebesaran Kerajaan
Melayu Johor Riau.
 |
Masjid Sultan tampak jelas kekuningannya |
Semasa meronda-ronda mengelilingi Pulau Penyengat, saya
mendapati makam Engku Puteri yang kelihatan lebih dimuliakan berbanding dengan
makam Yamtuan Muda yang lain, hatta makam ayahanda Engku Puteri sendiri iaitu
Raja Haji dan makam anak saudaranya Raja Ali Haji. Untuk mendapat gambaran yang
mendalam saya telah membaca beberapa artikel dan mendapati artikel yang ditulis
dalam https://www.thepatriots.asia/engku-puteri-raja-hamidah-permaisuhri-melayu-berjiwa-srikandi
ini sangat menarik. Oleh itu saya
menyalin kembali tulisan tersebut dengan sedikit tokoh tambah sahaja.
 |
Ini komplek makam Engku Puteri, dan juga makam Raja Ali Haji. |
Raja Hamidah atau Engku Puteri lahir sekitar tahun 1774.
Beliau merupakan anak perempuan pertama Raja Haji, Yang Dipertuan Muda Riau
Lingga IV (1778-1874). Ibunya adalah dari Perak, puteri kepada Daeng Kamboja.
Ketika dilahirkan, ayahnya, Raja Haji masih bestatus Kelana Putera Jaya, iaitu
jawatan bakal Yang Dipertuan Muda. Tugasnya menjaga ceruk rantau, dan memerangi
musuh. Sebagai puteri seorang Panglima, maka Raja Hamidah telah dibesarkan
dalam tradisi istana, kebangsawanan dan tradisi perang. Tetapi, Raja Haji juga
sangat taat beragama, menghargai ulama. Beliau telah membawa banyak ulama,
untuk mengajar ilmu agama mahupun ilmu lain di istana dan kepada para pembesar.
 |
Makam Raja Haji Fisabilillah, ayahanda Engku Puteri |
Oleh itu, Engku Puteri Raja Hamidah dibesarkan dalam tradisi adat yang kuat,
baik tradisi adat Melayu melalui Ibunya, mahupun adat Bugis dari pembesar
keturunan Bugis. Beberapa sumber menyebutkan Raja Hamidah sebagai seorang
perempuan yang elegan, anggun, berwibawa, cerdas dan bijaksana.
 |
Nama sebenar Engku Puteri ialah Raja Hamidah |
Peranan
Engku Puteri dalam sejarah Empayar Johor dapat dilihat setelah beliau berkahwin
dengan Sultan Mahmud III. Perkawinannya dengan Sultan Mahmud, adalah sebuah
perkawinan politik. Ketika perkawinan itu terjadi, Sultan Mahmud sudah berumur
50 tahun, dan mempunyai tiga isteri. Yang pertama, Engku Puan, puteri Bendahara
Pahang, seorang permaisuri gahara. Yang kedua, Encik Makoh, keturunan Bugis,
dan yang ketiga Encik Manam, keturunan Melayu. Raja Hamidah sedar bahawa dengan
perkawinan itu, dia mempunyai tiga tugas berat:
 |
Makam Engku Puteri |
Peranan Pertama: Perkahwinan itu adalah NIKAHUL SIASAH atau perkahwinan
politik untuk meredakan konflik politik antara suku Melayu dan suku Bugis,
akibat perebutan kuasa Yang Diprertuan Muda Riau Lingga antara Tengku Muda
Muhammad (Putera Temenggung Abdul Jamal) dengan Raja Ali (putera Daeng
Kamboja). Konflik ini, berlangsung lebih dari 8 tahun (1795 -1803). Tengku Muda
Muhammad berasa berhak sebagai Yang Dipertuan Muda, karena dialah yang
ditugaskan dan diangkat oleh Sultan Mahmud sebagai Raja Muda. Setelah Belanda
menang melawan Riau (1784), satu perjanjian di atas kapal perang Utrecht telah
mensyaratkan bahwa jawatan Yang Dipertuan Muda tidak boleh diberikan kepada
keturunan Bugis. Raja Ali, berasa marah kerana jawatan itu hak keturunan Bugis
dan sudah diikrar dalam Sumpah Setia Melayu-Bugis.
Persengketaan
politik ini agak unik dan jika ditelusuri sebenarnya bukan sengketa antara suku
etnik Melayu dan Bugis tetapi adalah diantara kaum kerabat sendiri juga. Raja
Ali adalah anak Daeng Kamboja, cucu Daeng Perani. Sementara Tengku Muda
Muhamamad anak Raja Maimunah dan Raja Maimunah ini, adalah anak Daeng Perani.
Jadi yang berkelahi dan berebut kuasa itu, adalah cucu-cucu Upu Daeng Perani.
Satu mewakili dinasti Bugis, yang satu mewakili dinasti Melayu Johor. Tapi
darah kedua pihak itu sudah bercampur baur.
 |
Raja Ali, Yamtuan Muda ke 7 |
Untuk meredakan konflik ini, maka
diadakan satu persetiaan. Orang penting disebalik perdamaian ini adalah Raja
Lumu, Sultan Selangor yang disebut Sultan Salahuddin, ayah saudara sepupu dua
tokoh tersebut. Raja Lumu dalam sejarah Riau Lingga memang menjadi tokoh kuat
pihak Bugis. Beliau tidak disenangi pihak pembesar Melayu, seperti Temenggung
Johor, Bendahara Pahang, dan Tun Dalam Raja Terengganu. Kemudian dimenterailah
satu perdamaian di Kuala Bulang pada September 1803.
Isi perdamaian tersebut ialah, Sultan Mahmud sebagai
keturunan Melayu yang berkuasa akan mengawini Raja Hamidah keturunan Bugis,
bagi menghapuskan perseteruan Melayu dan Bugis. Jika lahir putera dari
perkahwinan tersebut maka ditubuhnya akan mengalir darah Melayu dan Bugis dan
akan menjadi keturunan Bugis-Melayu pertama di tahkta kerajaan Johor Riau
Lingga. Sebelum ini semua Sultannya berdarah Melayu yang sangat kuat, kerana
takhta Sultan memang menjadi hak orang-orang keturunan Melayu. Itulah beban
politik yang diletakkan dibahu wanita yang berusia 29 tahun itu.
 |
Engku Puteri terus dihormati dalam sejarah ketamadunan Johor-Riau |
Peranan Kedua: Sebagai
puteri berdarah Bugis, pihak Pembesar Bugis, ingin Engku Puteri menjaga
kepentingan Bugis. Baik dalam istana, mahupun kepentingan ekonomi. Oleh sebab
perkahwinan Sultan Mahmud dan Engku Puteri kemudiannya tidak menghasilkan
waris, maka pihak pembesar Bugis mahu campur tangan Raja Hamidah dalam
menaikkan Tengku Husin anak tirinya, kerana darah bugisnya lebih besar, dia
juga putera yang sulung. Bukan Tengku Abdurrahman, yang darah Melayunya lebih
besar tetapi bukan putera dari permaisuri Melayu gahara.
Raja Hamidah mempunyai pengetahuan yang luas, kecerdasan,
keteguhan, dan pemahaman luas tentang politik serta adat istiadat negeri.
Beliau banyak belajar dari sepupunya Raja Ibrahim, Sultan Selangor, tentang
pemerintahan, dan sering berkunjung ke Selangor, Melaka, dan negeri lain di
Semenanjung. Sebenarnya menurut sejarawan beliau adalah Think Tank Sultan
Mahmud. Beliau menjadi penasihat, dan pengawal adat istidat dan budaya kerajaan
Melayu Johor Riau Lingga. Oleh sebab itulah agaknya, kemudian Sultan Mahmud,
memberinya tugas sebagai pemegang alat kebesaran atau dipanggil juga sebagai Regalia
Kerajaan.
Peranan Ketiga: Penjaga alat kebesaran atau Regalia Kerajaan. Alat
Kebesaran Kebesaran Kerajaan adalah
supremasi tertinggi bagi Raja-Raja Melayu. Sebuah negeri dan Raja tidak sah dan
berdaulat jika pelantikannya tidak menggunakan Regalia. Sebab itu pemegang
Regalia adalah penjaga adat istidat, dan tradisi Istana. Ia juga lambang maruah
dan martabat kerajaan. Jika hilang atau rosaknya maruah kerajaan, maka hancur
dan runtuhlah harga diri bangsa. Bagi kerajaan Melayu, sebuah negeri boleh
ditaklukan dan dikuasai tetapi Sultannya boleh membuka negeri baru. Selagi
Regalia Kerajaan tidak dirampas, dan masih dipegang oleh Raja, maka selagi
itulah kedaulatan negeri itu masih utuh. Sebab itulah, siapapun yang diberi
tugas menjaga Regalia adalah seorang yang tinggi martabatnya.
Selesai perkawinannya dengan Sultan Mahmud, Sultan telah
menganugerahkan beliau Pulau Penyengat sebagai maskahwin dan tapak istana.
Sultan Mahmud juga membahagikan wilayah ekonomi antara pihak Melayu dan Bugis.
Engku Puteri dan pihak Bugis akan memiliki Pulau Penyengat dan kawasan
sekitarnya, sebagai “daerah permakanan”. Maka di pulau Penyengat lah Yang Dipertuan
Muda Riau Lingga akan menjalankan pentadbiran. Manakala Lingga dan sekitarnya
menjadi kawasan “permakanan” pihak Melayu, melalui Tengku Abdurrahman, putera
Sultan Mahmud.
 |
Raja Jaafar adalah abang kepada Engku Puteri |
Engku Puteri menjadi benteng kuat yang memegang,
memelihara, dan pengawal alat kebesaran dan kedaulatan kerajaan. Sebab itu lah
beliau rela berselisih paham dengan abangnya Raja Djaafar, Yang Dipertuan Muda
Riau Lingga, ketika Raja Djaafar menetapkan Tengku Abdurrahman sebagai
pengganti Sultan Mahmud dan bukan memilih putera sulung Sultan, Tengku Husin.
Engku puteri menganggap Raja Djaafar melanggar adat dan tradisi kerajaan Johor
Riau Lingga. Sebab itu beliau tidak mahu menyerahkan Regalia kerajaan kepada
Tengku Abdurrahman. Beliau telah membawa pusaka tersebut ke istananya di Penyengat,
dan membiarkan Raja Djaafar melantik Sultan Abdurrahman pada tahun 1812 tanpa
Regalia.
 |
Makam Raja Jaafar, Yamtuan Muda ke 6 |
Tetapi peranan beliau yang lebih berat sebagai seorang Permaisuri
ialah ketika kuasa asing ingin merampas Regalia tersebut. Pertama ialah ketika
Inggeris menggunakan politik jahat untuk memecahkan Empayar Johor Riau. Mereka,
menggunakan Tengku Husin yang gagal menjadi Sultan serta kelompok Temenggung
Johor yang berasa disingkirkan dengan cara melantik Tengku Husin menjadi Sultan
Singapura. Untuk melantik Tengku Husin sebagai Sultan, mereka berusaha
mendapatkan Regalia Kerajan. Mereka menyuruh Tengku Husin memujuk Engku Puteri
menyerahkan Regalia kepadanya. Tetapi Engku Puteri telah menolak kerana
beranggapan tindakan anak tirinya itu melanggar adat dan akan memecah belahkan
kerajaan Riau.
Mereka cuba merasuah Engku Puteri dengan menawarkan wang
sekitar 50.000 ringgit Sepanyol. Tetapi beliau tetap menolak, dan berasa
terhina dengan tawaran itu. Beliau menganggap Inggeris biadap dan mahu merampas
kedaulatan Riau. Akhirnya sebab gagal memiliki Regalia, mereka telah mencuri
perabung Istana Engku Puteri, dan dibawa ke Singapura dan dijadikan simbol adat
pelantikan. Begitulah pentingnya Ragalia dalam kedaulatan seorang Raja Melayu.
Tengku Husin akhirnya dilantik sebagai Sultan Singapura, dan sejak itu Empayar
Johor pecah dua. Riau Lingga dibawah Sultan Abdurrahman, dan Singapura, Johor
dan Pahang dibawah Sultan Husin Syah.
Namun sejak dilantik sebagai Sultan Riau Lingga, Sultan
Abdurrahman merasakan dirinya belum berdaulat, kerana tidak mempunyai Regalia.
Pada awal tahun 1822, kerana gagal memujuk Engku Puteri untuk menyerahkan
Regalia, Baginda telah mengirim utusan kepada Gabenur Jendral Belanda di
Batavia. Gabenur Batavia, kemudian menugaskan Gabenur Melaka untuk memujuk Engku
Puteri menyerahkan Regalia. Tetapi tawaran itu ditolak mentah-mentah. Beliau
menyatakan dengan keras bahawa Regalia Kerajaan Johor Riau Lingga adalah
kedaulatan negeri, dan hanya boleh dimiliki oleh seseorang yang benar-benar
menjunjung tinggi adat dan tradisi Melayu.
Oleh sebab Belanda khuatir Inggeris akan mengambil
kesempatan menguasai Riau Lingga melalui Sultan Abdurrahman, maka Gabenur
Melaka dan Andrian Kock, bersama pasukannya telah mengepung istana Engku Puteri
Hamidah. Akibat diancam dengan senapang dan pedang, Regalia itu akhirnya
dirampas dari tangan perempuan berusia hampir setengah abad itu. Namun beliau
sempat memekik kepada Gabenur Melaka bahawa Regalia tersebut, telah hilangan
kesakralan atau wibawanya kerana diambil secara paksa.
 |
Istana yang diruntuhkan semasa Belanda menjajah Pulau Penyengat |
Sultan Abdurrahman yang mendengar berita rampasan Regalia
tersebut telah pulang semula ke Riau Lingga dari Pahang. Pada November 1822,
Baginda ditabalkan semula sebagai Sultan Riau Lingga lengkap dengan Regalia.
Sejak peristiwa rampasan tersebut bencana silih berganti menimpa kerajaan Riau
Lingga. Belanda sedikit demi sedikit telah merampas kuasa dari Sultan dan
akhirnya memecat Sultan Riau Lingga, seperti Sultan Mahmud Muzaffarsyah, 1857
dan terakhir Sultan Abdurrahman Muaazzamsyah, 1911. Maka berakhirlah Empayar
Melayu tersebut. Walaupun Regalia tersebut akhirnya terlepas dari tangan
beliau, namun pengaruh, kewibawaan dan kuasa beliau sebagai bangsawan
Melayu-Bugis Empayar Johor di Pulau Penyengat tetap terlihat dalam sejarah. Beliau
berjuang dalam politik istana untuk menghalang pihak asing yang ingin memecah
belahkan negeri Melayu. Wanita hebat ini
akhirnya meninggal dunia pada 5 Ogos 1844 di Pulau Penyengat sebagai wanita yang berprinsip serta amanah
dengan tugas yang diberikan serta berjuang untuk mempertahankan budaya dan
maruah orang Melayu terus disanjung tinggi.
Comments