Skip to main content

Kaherah - Kuhayati pengorbanan Imam Syafie di masjidnya.

Perkara pertama yang tergerak di hati hamba ketika merancang untuk bermusafir di bumi Mesir ialah menziarahi Masjid Imam Syafie.  Masjid Imam Syafie ini terletak di Jabal Muqattam. Sebelum tiba di hadapan masjid Imam Syafie,kita akan melalui "suq syafie",iaitu pasar syafie yang sibuk dan sesak.  Keadaannya serupa dengan pasar lambak di Malaysia.
Ketika cuba mengelak kesesakan ini, hamba ternampak kawasan perumahan di komplek perkuburan.  Kawasan ini dikenali sebagai “Living Dead City”. Mungkin kemiskinan menyebabkan mereka membina penempatan tersebut atau mungkin mereka adalah penjaga kuburan famili mereka.
Bila nak masuk masjid, hamba mendongak melihat kubah masjid yang ada simbol bahtera.  Kalau masjid di Malaysia setiap kubah ada bulan sabit. Dikatakan ini adalah kerana Imam Syafie digelar 'bahtera penyelamat umat' atas jasa-jasa beliau dalam menyusun atur usul fiqh. Masjid ini dikunjungi oleh pelbagai manusia.

Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Syafie Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf. Imam Syafie adalah berasal dari keturunan Arab Quraisy. Nasabnya berkait dengan Nabi Muhammad saw. Beliau dilahirkan di Kota Gaza Palestin pada bulan Rejab 150 Hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan itu Imam Abu Hanifah meninggal dunia. 
Imam Syafie menghafal Al-Quran sewaktu berumur 9 tahun. Beliau menghafal Kitab al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik selama 10 tahun. Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar biasa.Dibenarkan memberikan fatwa sendiri oleh gurunya sewaktu berusia 15 tahun sewaktu mengajar di Masjidil Haram. Sebelum melahirkan beliau, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit. Lalu bintang itu pecah lalu jatuh bertaburan jatuh ke bumi.Cahaya dari bintang pecah yang jatuh itu menerangi seluruh muka bumi.Ibunya terkejut bila mengetahui suaminya juga mengalami mimpi yang sama iaitu dia melihat ada sebutir bintang yang keluar dari perut isterinya.

Imam Syafie penentang amalan bidaah. Kata beliau, semua perkara yang diadakan menyalahi Quran dan sunnah atau ijmak ulama adalah bidaah yang keji dan sesat! Manakala mana-mana perkara atau kebaikan yang tidak menyalahi sedikit pun dari kesemua itu adalah bidaah yang terpuji. Imam Syafie berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti juga 3 orang Imam Mazhab lain yang terkenal seperti Imam Hanafi,Imam Maliki dan Iman Ahmad Bin Hanbal. Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini dicetuskan oleh ulamak sebelum mereka iaitu Syeikh Abu Hasan Asyaari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi. Imam Syafie juga melarang Taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri ataupun kepada sesiapa saja. Beliau selalu berpesan: “Janganlah mereka-reka dalam perkara agama mengguna-pakai taklid sahaja kepada perkataan ataupun tindakan yang tidak disertai dengan keterangan ataupun alasan dari Quran dan hadis”. Beliau juga berpesan : “Tiap-tiap perkara yang saya katakan padahal kata Rasulullah bertentangan dengan perkataan saya, Rasulullah itulah lebih utama perlu dituruti”
Menyelusuri perjalanan hidup dan proses pembelajaran Imam Syafie amat menarik sekali.Ayah beliau meninggal sewaktu Imam Syafie masih kecil, ada riwayat yang mengatakan sewaktu beliau masih dalam kandungan ibunya lagi. Gurunya yang pertama secara tidak formal ialah ibunya sendiri. Ibunya mengajar beliau mengenal huruf dan mengaji al-Quran. Setelah berumur 9 tahun beliau sudah dapat menghafal Al-Quran. Bila ibunya membawa Imam Syafie untuk berguru dengan Imam Ismail Kustantani, seorang guru ilmu Al-Quran yang terkenal waktu itu, Imam Ismail pada mulanya menolak kerana Imam Syafie baru berusia 9 tahun sedangkan dia hanya menerima orang menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun.Namun setelah dia menguji hafalan dan ingatan Imam Syafie tentang Al-Quraan, beliau amat tertarik dengan daya ingatan dan suara Imam Syafie yang merdu lalu terus mengambil Imam Syafie menjadi muridnya.Apabila Imam Ismail ada urusan lain, Imam Syafie pula disuruh menggantikan tempatnya mengajar disitu! Imam Syafie juga amat meminati syair dan puisi, beliau pernah berguru dengan Mas’ab bin Zubair seorang penyair terkenal.Dalam masa 3 bulan saja, Imam Syafie mampu menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail. Pernah suatu kali Imam Syafie memasuki pertandingan syair atas desakan kawan-kawannya, lalu mengalahkan gurunya Mas'ab pula. Imam Syafie berguru pula dengan Imam Sufian Ainiah dalam ilmu hadis sehingga menjadi pakar dalam bidang hadis dan diberi kepercayaan oleh gurunya untuk mengajar menggantikannya sewaktu ketiadaannya. 
Selepas itu Imam Syafie berguru pula dengan Imam Muslim al-Zanji dalam bidang Feqah pula.Akhirnya dia diakui oleh gurunya dan dibenarkan mengajar serta memberikan fatwa pula.Namun Imam Syafie masih merasakan kurang ilmunya lalu dalam diam beliau mula membaca dan menghafal Kitab Muwatta’ yang dikarang oleh Imam Malik bin Anas pula. Imam Syafie juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain senjata dengan gurunya iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera.Selepas itu Imam Syafie terkenal sebagai seorang pemanah yang handal.
Imam Syafie pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama 8 hari dengan menaiki unta sambil sempat mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16 kali untuk menemui dan berguru dengan Imam Malik yang ketika itu menjawat jawatan Mufti Kota Madinah.Imam Syafie belajar dari Imam Malik selama 8 bulan. Selepas itu Imam Syafie merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam Hanafi iaitu Imam Muhamad al-Hassan dan Imam Abu Yusof.Beliau telah menghafal Kitab al-Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa 3 hari saja telah mengejutkan kedua orang gurunya itu kerana biasanya murid-murid mereka yang lain mengambil masa paling kurang 1 tahun untuk menghafalnya. Imam Syafie juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman. Di Yaman beliau berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman Bin Affan. Mereka dikurniakan 3 orang anak.
Semasa di Najran, Imam Syafie difitnah oleh Gabenor as-Saud iaitu Gabenor Najran kononnya Imam Syafie sedang menghasut rakyat untuk memusuhi dan menjatuhi kerajaan Bani Abbasiyah yang diperintah oleh Khalifah Harun ar-Rashid. Akibat dari fitnah tersebut Imam Syafie dan anak muridnya telah ditangkap, tangan dan kaki mereka dirantai .Mereka juga dipaksa berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah. Walau bagaimanapun dengan izin Allah swt Imam Syafie terlepas dari hukuman oleh Khalifah dan orang yang memfitnah mendapat hukuman yang setimpal. Diantara ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Imam Syafie, yang membuatkan hati dan jiwa raga Khalifah Harun ar-Rashid terpesona ialah Firman ALLAH swt dari Surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud : 

“Hai orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita,periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”
Oleh kerana kecintaan beliau yang begitu mendalam terhadap ilmu, jadi tidak hairanlah jika Imam Syafie telah menulis 142 buah kitab semasa hayatnya. Imam Syafie meninggal dunia selepas waktu isyak, malam jumaat 28 Rejab tahun 204 Hijrah (tahun 820 M) di rumah Abdullah bin Hakam sewaktu berumur 54 tahun di bumi Mesir. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Bani Zaharah.
Semasa Abu Ali al-Hasan menjadi perdana menteri Iraq, beliau telah mengarahkan ketua tentera Mesir Badr bin Abdullah menggali dan memindahkan kubur Imam Syafie ke Baghdad. Setelah digali mereka menemui batu bata yang tersusun membentengi liang lahad Imam Syafie. Selepas mereka memecahkan batu-bata itu, mereka amat terkejut kerana tercium bau yang sangat harum dari dalam liang lahad itu malah ada beberapa orang dari mereka yang pengsan. Bila perkara ini diketahui oleh perdana menteri Iraq itu, maka beliau pun membatalkan terus usaha memindahkan kubur itu. Pada tahun 608 Hijrah, sebuah Kubah telah dibina .Tidak lama kemudian sebuah masjid di dirikan disitu dengan nama Masjid Imam Syafie. Makam Ulama hebat ini terus dikunjungi orang ramai hingga kini.

Comments

Popular posts from this blog

Coretan Kembara - Habib Ali Batu Pahat yang kutemui

Pak Habib dengan senang hati menyambut semua tetamunya tanpa melebihkan antara satu dengan lainnya. Seperti biasa bila memandang Pak Habib ni, timbul rasa tenang dalam diri               Ketika melayari internet untuk mencari informasi tempat-tempat yang menarik untuk dilawati di Surabaya, ada beberapa pelan perjalanan yang menjurus kepada lawatan tempat lahirnya Wali Songo. Banyak juga tokoh-tokoh agama yang hebat yang dicadangkan untuk diziarahi. Dalam banyak-banyak itu hamba ternampak satu nama dan gambar yang hamba pernah temui di rumahnya di Kampung Solok Wan Mor, Batu Pahat. Dia dikenali sebagai Habib Ali Batu Pahat atau nama sebenarnya al-Habib Syed Ali bin Syed Ja'far al-Idrus.            Pada kali pertama hamba menziarahinya kerana termakan pujuk seorang rakan yang mengajak hamba ke Batu Pahat untuk menziarahi Habib Ali kerana katanya amalan yang digalakkan pada 10 Muharam ialah menziarahi alim. Ke...

Masjid Telok Manok: Kutemui masjid tertua di Thailand.

Masjid tua yang tidak mempunyai kubah. Kubah adalah pengaruh Turki. Semasa berjalan di Narathiiwat, hamba berpeluang menziarahi sebuah masjid kayu yang sudah berumur sekitar 300 tahun bernama Masjid Telok Manok atau dikenal juga dengan nama Masjid Wadi Al-Hussein.  Rajah asal Masjid Telok Manok Masjid ini masih terus digunakan untuk solat fardu dan solat Jumaat Masjid ini dibina pada tahun 1768, menjadikannya sebagai masjid tertua yang masih berdiri di Thailand. Seni bina Melayu, Cina, Kemboja dan Jawa bergabung  Masjid ini dibina mengikut senibina Melayu, Cina, Jawa dan Kemboja.  Dibuat menggunakan kayu sepenuhnya dan tanpa menggunakan paku. Masjid ini mempunyai tiang dan ada menara azan yang juga dibuat dari kayu.   Semuanya disusun cantik namun terus kukuh selama 300 tahun Telok Manok merupakan nama desa tempat masjid ini berdiri, sebuah desa kecil berjarak sekitar 25 kilo meter dari kota Narathiwat. Sedangkan A...

Damsyik - Kutemui Masjid Umawi yang tua usianya.

Tempat pertama hamba ziarahi ketika sampai  di Damsyik ialah Masjid Umawi.   Masjid ini telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Umawi al-Walid bin Abdul Malik, Khalifah Kerajaan Umawi pada tahun (86 – 96 Hijrah) (705 – 714 Masehi) .  Damsyik adalah Ibu Kota pemerintahan kerajaan Umayyah pada waktu tersebut. I a didirikan di atas tanah yang sudah beribu-ribu tahun menjadi pusat peribadatan dan awalnya merupakan tempat ibadah bangsa Aram yang menyembah Dewa Hadad, iaitu bangsa Arab Suryani kuno sejak 3000 tahun sebelum Masihi. Di awal abad Masihi tempat ini telah berubah menjadi tempat ibadah penyembah Dewa Jupiter ad-Dimasqi (zaman Romawi) dan ketika agama Kristian berkembang di Damsyik  pada abad ke-4 Masihi tempat ini berubah menjadi gereja yang bernama “St. John the Baptist Basilica”.   Pada zaman kekuasaan Romawi, penduduk asing tidak mudah memasuki kota Damsyik, karena kota itu dikelilingi tembok yang tinggi. Mereka yang ingin memasuki k...