Skip to main content

Sikandar - Kutemui makam Akbar Agung yang di pinggirkan

            Perancangan untuk berjalan di New Delhi tidak hamba atur dengan baik.  Tidak ada contact person yang dapat membantu.  Cuma sebelum pergi seorang rakan beritahu, pergi kat Markaz Nizamuddin, nanti akan jumpa orang Melayu. Kat airport, hamba terus cari teksi dan secara tegas meminta hantar ke Markaz Nizamuddin. Pengalaman hamba banyak kali diperkena “tambang teksi” mengingatkan hamba supaya kurang bercakap dan berbual. Ini untuk mengelakkan si pemandu dari mengetahui bahawa kita pelancung.
            Markaz Nizamuddin adalah pusat gerakan Tabligh sedunia.  Sudah tentu sesampai di sana, hamba terjumpa sekumpulan jemaah dari Malaysia yang keluar 40 hari. Mereka membantu mencari kereta sewa. Hamba sampai di Sikandar setelah 4 jam perjalanan, suasana agak sepi walaupun bangunan berwarna kemerahan itu terdapat kubur manusia yang bernama Akbar Khan.
 
Cantik tapi suram dan sepi kubur Akbar di Sikandar
             Akbar Agung  atau nama sebenarnya Jalaluddin Muhammad adalah anak kepada Humayun yang telah menjadi pemerintah Kerajaan Mughal  daripada 1556 hingga 1605. Baginda lahir pada 15 Oktober 1542 dan meninggal dunia pada 15 Oktober 1605. Walaupun hanya berumur 13 tahun ketika menaiki takhta, namun beliau dianggap sebagai pemerintah yang teragung dan terhebat bagi Empayar Mughal. Dalam tempoh pemerintahannya, beliau telah berjaya menghapuskan ancaman daripda Sher Shah (seorang Afghan yang pada satu ketika berjaya merampas kuasa daripada ayah beliau, Humayun daipada 1540-1555), di samping mengalahkan Hemu, seorang pemerintah Hindu dalam Pertempuran Panipat yang Pertama. Selain daripada itu, beliau juga dapat mengukuhkan kedudukan beliau dengan memansuhkan pembayaran cukai jizyah kepada orang bukan Muslim dan berjaya mendapatkan perhatian pemerintah kasta Rajput yang amat berkuasa, dengan mengahwini seorang puteri Rajput.
            Bagaimanapun, sumbangan Akbar yang paling diingati adalah terhadap kesenian dan agama di India. Beliau memulakan sejumlah besar penulisan sastera, termasuklah Akbar-nama dan Ain-i-Akbari, dan mengumpulkan pelbagai karya seni dari seluruh pelusuk dunia untuk disimpan didalam koleksi Empayar Mughal. Tidak ketinggalan, Akbar telah memerintahkan pembinaan bangunan-bangunan yang mengkagumkan, termasuklah Panj Mahal. Dikenali dengan ketoleransian terhadap agama-agama yang lain, Akbar telah memelihara kuil-kuil hindu. Beliau juga telah mengadakan debat agama di mana para ulama' memperdebatkan masalah keagamaan dengan mubaligh agama-agama yang lain. Di samping itu, Akbar telah memperkenalkan agamanya sendiri iaitu Din-i-Ilahi "Agama Tuhan". Oleh sebab agama itu dilihat hanya untuk memuja dan mengagungkan dirinya sendiri, agama itu tidak mendapat sambutan dan lenyap dengan singkat selepas kematiannya.
Seni bina yang halus di kubur Akbar
            Akbar dilahirkan di Umarkot, Sind, hasil perkahwinan antara Maharaja Mughal Humayun dan isteri pertamannya, iaitu Hamida Banu Begum pada 15 Oktober, 1542. Pada 1540, Humayun tinggal dalam buangan setelah mengalami kekalahan dalam beberapa pertempuran dengan pemimping Afghan Sher Shah. Akbar tidak pergi ke Parsi bersama dengan orang tuanya, tetapi sebaliknya dibesarkan seketika oleh bapa saudaranya Askari dan isterinya di kawasan yang susah, Afghanistan, tidak pula di Parsi yang penuh dengan kemewahan dan kesenangan. Beliau menghabiskan masa remajanya dengan mempelajari cara untuk berburu, bertempur, tetapi tidak pernah belajar untuk membaca dan menulis. Bagaimanapun, Akbar membesar dan menjadi matang sebagai seorang pemimpin yang berfikiran luas, mempunyai minat yang mendalam terhadap kesenian, seni bina dan muzik, dan mempunyai visi yang luas yang sanggup bertoleransi dengan pelbagai pandangan.
            Berikutan dengan kekacauan akibat dari perwarisan takhta Islam Shah daripada ayahnya, Sher Shah, Humayun menguasai semula Delhi pada 1555, dengan mengetuai pasukan tentera yang sebahagiannya disediakan oleh sekutu Parsinya, Shah Tahmasb. Hanya beberapa bulan selepas itu, Humayun meninggal dunia dalam satu insiden. Akbar menggantikan ayahnya pada 14 Februari, 1556, di tengah-tengah situasi dalam peperangan menentang Sikandar Shah untuk menebus hak sebagai pewaris takhta Mughal. Akhirnya, Akbar yang ketika itu berusia 13 tahun berjaya dan diistiharkan sebagai "Shahanshah" ("Raja Bagi Segala Raja" di dalam bahasa Parsi). Pada 5 November 1556, 80km ke utara Delhi, seangkatan Tentera Mughal menewaskan sebuah tentera Hindu yang dipimpin Jeneral Hemu demi menyerahkan Akbar takhta India di Pertempuran Panipat Kedua.
            Ketika Akbar menaiki takhta, hanya sebahagian kecil bekas jajahan Kerajaan Mughal masih dibawah takluknya, lalu baginda bertekad untuk mengembalikan kawasan-kawasan lama itu ke dalam kuasa Mughal. Baginda meluaskan Kerajaan Mughal dengan penaklukan Malwa (1562), Gujarat (1572), Benggala (1574), Kabul (1581), Kashmir (1586), dan Kandesh (1601), dan beberapa negeri yang lain. Untuk setiap negeri itu, baginda meletakkan seorang wizurai baru, yang mana baginda mengawal pentadbiran mereka. Akbar tidak berhajat untuk membiarkan para menterinya terlalu berpusat di Delhi, lalu baginda memindahkan kementeriannya ke Fatehpur Sikri, berdekatan Agra, namun apabila langkah ini terbukti tidak mencapai matlamat, baginda menubuhkan "kerajaan bergerak" supaya dapat memerhatikan perkembangan di dalam negaranya. Baginda menggalakkan perdagangan dan telah membahagikan tanah-tanah untuk memudahkan urusan percukaian. Baginda turut menitahkan agar para pengutip cukai tidak mengambil cukai lebih daripada yang sepatutnya.
            Pada awal pemerintahan Akbar, beliau mengambil keputusan untuk menghapuskan ancaman daripada dinasti Sher Shah dan juga mengepalai askar untuk menentang yang terkuat di antara tiga musuhnya, iaitu Sikandar Shah Suri, di Punjab. Beliau meninggalkan kota Delhi di bawah pemerintahan pemangkunya Tardi Beg Khan. Sikandar Shah Suri tidak berapa mengambil perhatian terhadap Akbar, seringkali dia berundur apabila dihampiri oleh Akbar. Bagaimanapun, Hemu, seorang pahlawan Hindu yang berkasta rendah, telah melancarkan serangan mengejut ke atas Tardi Beg Khan yang tidak bersedia dan menyebabkan Tardi terpaksa berundur dari Delhi. Hemu, yang melancarkan serangan bagi pihak Adil Shah Suri, salah seorang daripada saudara Sikandar, di samping telah berjaya memenangi 22 pertempuran secara berturut-turut, melantik dirinya sendiri sebagai raja, iaitu Raja Vikramaditya.
            Khabar tentang penyerahan Delhi tersebar dengan cepat sekali ke pemerintah Mughal itu. Beliau telah dinasihatkan supaya berundur dahulu ke Kabul, yang secara umumnya agak selamat. Bagaimanapun, Bairam Khan mempunyai pandangan yang berbeza dan mendesak Akbar supaya menentang penceroboh dan mendapatkan kembali pusat pentadbiran mereka itu. Akbar bersetuju dengan Bairam, dan meneruskan kemaraan ke Delhi. Untuk menaikkan moral askar-askarnya, Akbar mengambil langkah yang pelik dengan mengarahkan salah seorang askarnya supaya membuat/mereka imej Hemu, yang mana imej itu akan diisi dengan serbuk bedilan dan akan dibakar. Semasa perjalanannya, beliau telah disertai oleh Tardi Beg Khan dan askarnya yang ikut berundur. Tardi menasihatkan Akbar supaya berundur ke Kabul tetapi telah ditolak oleh beliau. Tardi akhirnya telah dihukum mati oleh Bairam Khan atas tuduhan pengecut, walaupun Abu Fazl dan Jahangir merekodkan bahawa mereka percaya tindakan Bairam menggunakan isu pengunduran ke Kabul adalah untuk menghapuskan pesaingnya itu.
Kubur Akbar tanpa batu nesan
Askar Akbar berjaya menewaskan Hemu yang ternyata mempunyai jumlah tentera yang lebih besar dalam Pertempuran Panipat yang Kedua, yang terletak 50 batu dari Delhi pada 5 November 1556. Satu panah telah menusuk ke mata Hemu. Dia telah dibawa kehadapan Akbar dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah dipancung. Sesetengah sumber mengatakan bahawa Bairam sebenarnya yang memancung Hemu. Kepala Hemu telah dihantar ke Kabul manakala badannya telah dipamerkan di sebuah tiang gantung yang disediakan istimewa untuk tujuan ini. Lebih ngeri lagi, Akbar telah mengikut tradisi Khanate yang terdahulu, seperti Genghis Khan, dengan membina "tiang kemenangan" yang diperbuat daripada kepala askar-askar musuhnya yang terbunuh.
            Akbar telah mendapat lebih daripada 1,500 Gajah Perang dalam kemenangan itu. Gajah-gajah perang itu kemudiannya digunakan untuk menentang Sikandar Shah pada waktu pengepungan di Mankot. Sikandar menyerah diri dan terselamat daripada dibunuh oleh beliau. Dia hidup hingga dua tahun selepas itu di sebuah kawasan yang dikurniakan oleh Akbar. Pada 1557, ancaman terakhir terhadap Akbar ialah Adil Shah, saudara kepada Sikandar. Adil Shah terbunuh dalam satu pertempuran di Bengal. Serentak dengan itu, seluruh Hindustan berada di dalam tangan Akbar walaupun ketika itu beliau baru berumur 15 tahun. Akbar hanya berumur 13 tahun ketika menjadi maharaja. Maka, general beliau telah memangku tugas memerintah sehingga beliau dewasa. Pemangku maharaja ialah Bairam Khan, seorang bangsawan Syiah Turkoman yang telah berjaya menyelesaikan masalah pertikaian tentang takhta dan meningkatkan disiplin di kalangan tentera Mughal. Beliau memastikan yang kuasa pemerintah sentiasa dipusatkan dan mampu untuk mengembangkan sempadan empayar dengan arahan dari ibu kota. Langkah ini diambil untuk memperkukuhkan Empayar Mughal yang baru sahaja pulih. Penghormatan yang diberi kepada pemangku raja itu, bukanlah secara keseluruhan. Ramai orang telah merancang plot untuk membunuhnya. Banyak penulisan telah mengkritik beliau, terutama dari segi agamanya. Kebanyakan yang tinggal di istana adalah Sunni, Bairam pula adalah seorang Syiah. Justeru itu, beliau tidak disukai oleh orang kebanyakan. Bairam maklum tentang hal ini dan melantik seorang syeikh Syiah, Gadai sebagai ketua pentadbiran, satu daripada peranan yang agak penting di dalam empayar. Malahan, Bairam kelihatan agak bermewah-mewah dan berlebih-lebihan dalam kehidupannya berbanding Akbar.
            Antara yang paling kuat menentang Bairam adalah Maham Anga, ibu saudara Akbar, ketua jururawat dan juga ibu kepada saudara angkatnya, Adham Khan. Maham bijak dan berharap untuk memerintah secara proksi melalui abang Akbar, Adham Khan. Kedua-duanya telah meminta Akbar untuk datang ke Delhi untuk menziarahi mereka pada Mac 1560 dan meninggalkan Bairam di ibu kota, Agra. Di sana beliau telah didesak oleh orang ramai untuk mengambil alih kuasa memerintah empayar dan juga memecat Bairam. Beliau dipujuk untuk memberikan belanja kepada Bairam untuk menunaikan haji di Mekah, sebagai salah satu langkah pemencilan. Bairam terkejut apabila mendengar khabar itu, tetapi tetap setia kepada Akbar walaupun Akbar enggan untuk menemui beliau. Bairam juga diberi pendapat oleh komander-komandernya supaya bertolak ke Delhi untuk "menyelamatkan" Akbar. Bairam bergerak menuju ke Mekah, tetapi telah ditemui oleh pasukan askar yang dihantar oleh Adham Khan, yang telah diberi kebenaran oleh Akbar; bertujuan untuk mengiringinya keluar daripada wilayah Mughal. Bairam bagaimanapun melihat ini sebagai satu ancaman, lalu menyerang mereka. Namun begitu, Beliau telah ditewaskan dan dihantar sebagai seorang pemberontak ke Akbar untuk dijatuhkan hukuman. Bairam, seorang genius yang telah membantu Mughal mendapatkan semula wilayah-wilayah mereka, juga telah berkhidmat kepada Humayun dan Akbar, telah dihadapkan kehadapan Akbar sebagai seorang banduan. Maham Anga mendesak Akbar supaya menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Bairam, namun perkara yang sebaliknya telah berlaku. Bairam telah diberikan penghormatan, diberi jubah kemuliaan dan Akbar bersetuju untuk membiayai perbelanjaan haji beliau. Bagaimanapun, tidak lama selepas Bairam bertolak ke Mekah, ketika sampai di bandar pelabuhan Khambat, beliau telah menjumpai seorang Afghan yang bapanya telah terbunuh lima tahun dahulu dalam satu pertempuran yang dipimpin oleh Bairam. Melihatkan ini sebagai satu-satunya peluang untuk membalas dendam, dia dengan segera menikam Bairam, yang akhirnya meninggal dunia pada 31 Januari 1561. Dengan kematian Bairam Khan, Maham Anga melihat peluang sudah terbuka baginya untuk membolot seluruh kuasa yang dipegang oleh Bairam. Kendatipun begitu, percubaannya untuk mendapatkan kekuasaan itu tidaklah berjaya sepenuhnya.
            Pada Februari 1561, Adham telah dihantar untuk menawan Malwa, yang dikuasai oleh Baz Bahadur yang tidak mempunyai kemampuan untuk memerintah dengan berkesan. Baz Bahadur adalah seorang pemuzik yang berbakat tetapi tidak berupaya untuk mengawal wilayahnya. Banyak penduduknya telah melarikan diri ke wilayah Mughal. Baz Bahadur melarikan diri apabila angkatan tentera Adham Khan semakin mendekati. Dia meninggalkan segala harta kekayaan dan isteri-isterinya di dalam Harem dan memberi arahan supaya mereka dibunuh sekiranya bandar Sarangpur jatuh ke tangan Mughal. Di sebalik cubaan sida-sida yang bertanggungjawab terhadap Harem, ramai wanita yang terselamat, ini termasuklah Rupmati, yang terkenal kerana terdapat banyak namanya di dalam lagu-lagu Baz Bahadur kerana kecantikannya. Bagaimanapun, apabila Adham Khan tiba, Rupmati dijumpai mati setelah meminum racun kerana tidak rela dirogol oleh Adham Khan. Tetapi, Adham terlibat dalam menyalahgunakan Harem dan penduduknya yang telah ditawan. Wanita-wanita yang tidak beberapa menarik perhatian dibawa ke hadapan pegawai yang senior dan dibunuh. Mereka juga meminum arak, mengambil bebola candu, seolah-olah ia merupakan satu pesta. Badauni merekodkan sekurang kurangnya seorang daripada ahli mereka telah menegur perbuatan itu tetapi telah dirantai. Rekodnya menyatakan yang "Sayyid-sayyid dan syeikh-syeikh telah datang untuk berjumpa dengan Adham Khan dengan Al-Quran di tangan mereka, namun semua mereka telah dibunuh dan dibakar."Bukan itu sahaja, Adham telah menyimpan majoriti harta kekayaan dan tawanan-tawanan, sebagai ganti hanya tiga ekor gajah sahaja dihantar kepada maharajanya. Apabila gajah-gajah ini tiba dan Akbar mendengar berita itu, naiklah marahnya. Lalu beliau memutuskan untuk berangkat sendiri ke Malwar, bersama dengan satu pasukan kecil askarnya yang setia. Beliau juga telah memukul orang-orang istana yang dihantar oleh Maham Anga untuk menunjukkan kepada Adham yang beliau amat murka.
            Adham merasa takut dan dengan segera memohon keampunan daripada Akbar. Akbar mengampunkannya dan harta rampasan yang disimpan oleh Adham telah dirampas. Namun, secara rahsia Adham telah menyembunyikan dua daripada wanita-wanita yang paling memikat dan menarik di kalangan gundik. Sebaik sahaja Akbar mengetahui perkara ini, Maham Anga, membunuh kedua-duanya kerana takut rahsia mengenai Adham mungkin didedahkan oleh mereka kepada Akbar. Peristiwa-peristiwa ini memyebabkan Akbar tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk mendapatkan kekuasaan yang mutlak untuk dirinya. Konflik itu memuncak apabila pada1562, Atkah Khan, seorang Afghanistan yang telah dilantik Akbar memegang jawatan yang setaraf dengan perdana menteri, telah ditikam oleh Adham ketika sedang menguruskan hal ehwal pentadbirannya. Adham juga turut menyerang gundik Akbar. Dayang yang sedang berkawal di kawasan itu masuk dan mengunci pintu dan menyebabkan ia terkunci dari dalam. Akbar yang sedar tentang gangguan itu, masuk ke dalam bilik. Adham meletakkan tangannya di atas lengan Akbar, sebagai menunjukkan tanda tidak hormat beliau. Hal ini menyebabkan Akbar menumbuknya sehingga menyebabkan kemungkinan Adham tidak sedarkan diri. Melihatkan perdana menterinya yang telah ditikam, beliau merasa cukup terhadap segala perbuatan yang telah dilakukan oleh Adham Khan selama ini. Beliau telah mengarahkan supaya saudara angkatnya itu dijatuhkan daripada tembok yang tinggi. Namun, ia tidak cukup untuk membunuhnya. Maka, Akbar mahu kali kedua hukuman itu berkesan, iaitu dengan menjatuhkan kepalanya dahulu. Akbar pergi menemui Maham Anga dan menyatakan anaknya telah meninggal dunia. Dengan itu, bulatlah kekuasaan Empayar Mughal di tangan beliau seorang iaitu pada ketika berumur 19 tahun.
            Pemerintah-pemerintah Islam terdahulu dahulu, khususnya pengasas Mughal, Babur, membenarkan kebebasan untuk beragama kepada orang Hindu dan agama-agama yang lain. Manakala Akbar pula mempunyai polisi yang menggalakkkan orang-orang daripada agama lain untuk menyertai kerajaannya. Pada satu ketika beliau telah memujuk Kacchwaha Rajput, pemerintah Ambar untuk menyertai perikatannya; dengan mengambil puteri kepada Raja Amber, Hira Kunwari, untuk dijadikan sebagai permaisurinya. Dia mengambil nama Mariam-uz-Zamani dan melahirkan Putera Salim, yang kemudiannya akan menjadi Maharaja Mughal Jahangir. Sementara pemerintah-pemerintah Islam yang lain mengambil isteri mereka daripada orang Hindu, beliaulah orang pertama yang membenarkan isterinya mengamalkan agama mereka, bukan sahaja tanpa halangan, malahan menyediakan segala keperluan yang dimahukan untuk agama mereka. Semasa pemerintahannya, lebih banyak orang Hindu telah diambil bekerja di dalam Pentadbiran Awam, berbanding maharaja Moghul ataupun pemerintah India yang terdahulu.
            Pemerintah-pemerintah Rajput yang lain turut mengahwini puteri beliau, cuma dua puak Rajput yang kekal menentang beliau, Sisodiyas di Mewar dan Hadas (Chauhans) di Ranthambore. Rajput adalah pahlawan Hindu yang terkenal, hinggakan askar lain seperti orang Afghan mengambil candu untuk menghilangkan ketakutan ketika bertempur. Kemasukan mereka dalam perikatan menmbantu Akbar mengekalkan kuasanya, kerana Askar Rajput akan berkhidmat kepada mereka hinggalah 100 tahun yang akan datang.
Akhirnya Raja Man Singh dari Amber bersama-sama dengan Akbar menemui pemimpin Hada, Surjan Hada, untuk membuat satu persekutuan. Surjan dengan tidak rela, terpaksa menerima persetujuan itu dengan syarat Akbar tidak berkahwin dengan mana-mana anaknya. Surjan kemudiannya memindahkan kediamannya ke Banaras.
Akbar pernah mengatakan "Seorang raja seharusnya mempunyai niat untuk membuat penaklukan, jangan sampai jiran-jirannya mengangkat senjata menentangnya." Beliau terus meluaskan wilayahnya dengan menawan Malwa (1562), Gujarat (1572), Benggala (1574), Kabul (1581), Kashmir (1586), dan Kandesh (1601) dan lain-lain. Akbar meletakkan seorang gabenor di setiap wilayah yang ditakluk, untuk memerintah di bawah kuasanya. Akbar tidak mahu istana terletak terlalu dekat dengan Bandar Delhi. Beliau mengarahkan istananya dipindahkan ke Fatehpur Sikri, berdekatan dengan Agra. Namun apabila kawasan itu dibuktikan tidak dapat dipertahankan, beliau telah membangunkan sebuah kem untuk mengawalselia terhadap apa yang berlaku di seluruh empayarnya. Beliau mencuba untuk membangun dan menggalakkan perniagaan. Beliau juga telah menilai sesuatu kawasan supaya dapat dikenakan cukai dengan tepat, di samping menegah pemerasan oleh pemungut-pemungut cukai. Akbar adalah seorang raja yang baik hati dan bijak, seorang lelaki yang sentriasa dengan idea-idea baru, dan mempunyai perwatakan sebagai seorang hakim. Sebagai seorang raja beliau berjaya memenangi perhatian dan disanjungi orang-orang di sekelilingnya. Abul Fazal, dan juga Badayuni yang sering memberi kritikan, menyifatkan Akbar mempunyai pemerintah yang mempunyai keperibadian yang tinggi. Beliau tidak takut untuk dalam mengejar dan juga di dalam medan pertempuran, dan juga "seperti Alexander dari Macedonia, yang sentiasa mengambil risiko tanpa mengira akibat-akibat politikal." Beliau sering memacu kudanya meredah sungai semasa musim-musim hujan dan selamat sampai ke seberang yang di sebelah. Walaupun seorang pemerintah yang amat berkuasa, beliau tidaklah biasa melakukan kekejaman. Beliau telah mengampunkan abangnya Hakim, seorang pemberontak yang sudah insaf. Bagaimanapun, dalam beberapa kes yang terpencil, beliau amat kejam dengan orang bersalah, seperti yang dibuatnya ke atas bapa saudaranya, Muazzam, dan abang angkatnya, Adham Khan. Beliau dikatakan seorang yang bersederhana di dalam dietnya. Sukakan buah-buahan, dan tidak berapa menyukai daging, yang dihentikan terus pengambilannya pada tahun-tahun yang seterusnya.
            Pada waktu pemerintahan Akbar, Empayar Mughal mempunyai orang Hindu dan Islam. Perbezaan yang amat mendalam memisahkan kepercayaan Islam dan Hindu. Apabila Akbar memulakan pemerintahannya, kebanyakan orang terlibat di dalam Empayar Mughal adalah orang Islam. Bagaimanapun, golongan pemerintahan secara keseluruhannya terdiri daripada orang Islam. Di dalam masyarakat yang pelbagai ini, Akbar telah menggalakkan toleransi terhadap pelbagai agama. Beliau bukan sahaja mengambil orang Hindu untuk berkhidmat, malahan turut membuang segala perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam. Beliau telah menghapuskan cukai menunaikan haji pada tahun kelapan, dan Jizyahpada tahun kesembilan pemerintahannya, sebagai menunjukkan polisi ketoleransian secara universal. Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan Gereja Katolik, yang sentiasa menghantar para paderi Jesuit untuk berdebat, dan sekurang-kurangnya tiga daripada cucunya telah dibaptis sebagai Katolik (walaupun mereka menjadi Muslim pada kehidupan mereka).
            Akbar telah membina satu bangunan yang bernama Ibadat Khana ataupun Rumah Ibadat (House of Worship), dimana beliau telah menggalakkan debat keagamaan. Asalnya, perdebatan ini hanya terbuka kepada orang Sunni, tetapi akibat beberapa pertelingkahan terjadi yang kelihatan tidak elok, Akbar telah menggalakkan orang Hindu, Katolik malahan golongan Ateis untuk turut menyertai perdebatan itu. Beliau cuba untuk mengusaikan perbezaan antara dua agama itu, dan mencipta satu agama baru yang dikenali sebagai Din-i-Ilahi (Agama Tuhan), yang menggabungkan kepercayaan Hindu dan Islam, dan sesetengah elemen daripada Jainisme dan Kristian. Kepercayaan ini, bagaimanapun, bukanlah untuk orang kebanyakan. Hal ini kerana, orang yang memeluk agama ini adalah golongan bangsawan atas di dalam istana Akbar. Setakat ini, para sejarawan hanya mengenalpasti 18 orang yang memeluk agama ini.
            Beliau juga telah mengahwini beberapa puteri Hindu, walaupun ramai berpendapat ini hanya bermotifkan politik, bukannya untuk penyatuan agama. Langkah beliau untuk menjauhi Islam, disambut baik oleh orang Hindu, tetapi tidak disukai oleh orang Muslim. Terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa terdapat masjid-masjid yang ditutup dan dimusnahkan. Disamping itu, sesiapa yang mahu memasuki Harem perlu mengatakan, "Tiada tuhan melainkan Allah, dan Akbar adalah rasulnya", satu ucapan yang direka daripada Syahadah orang Islam. Apabila Akbar membuka kedai arak, dipercayai beliau juga telah menempah darah babi untuk dicampurkan dengan arak. Banyak ulama' mula memprotes langkah-langkahnya, dan Ahmad Sarhindi(digelar sebagai 'mujaddid' atau pembaharu Islam) mengatakan Akbar syirik atas perbuatannya. Dia telah ditangkap oleh Jahangir selepas menaiki takhta. Bagaimanapun, langkah Akbar untuk menyatukan kedua-dua kepercayaan ini, hanya menyebabkan hubungan antara kedua-dua menjadi lebih teruk pada akhir abad ke-16 berbanding ketika beliau mula berkuasa.
            Walaupun Akbar seorang yang buta huruf, beliau seorang yang mempunyai minat terhadap sastera. Beliau meminati falsafah, teologi, sejarah dan politik. Beliau telah menyediakan satu perpustakaan yang penuh dengan pelbagai jenis buku dan seorang yang menyukai golongan sarjana. Hal ini menyebabkan beliau amat memahami kesusasteraan Sufi, Kristian, Zoroasrtian(Majusi), Hindu dan Jain. Dijemputnya para sarjana daripada agama-agama yang berlainan untuk berbincang dengannya. Smith menulis bahawa, "sesiapa yang mendengar beliau berhujah tentang ketajaman dan ketepatan mengenai sesuatu dalam perdebatan akan mempercayai bahawa beliau seorang yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam sastera tanpa menyedari beliau seorang yang buta huruf." Penaung kepada tokoh-tokoh sastera, termasuklah Feizi bersaudara dan Abu Fazl. Akbar pernah menugaskan supaya sebilangan kerja-kerja saintifik sanskrit diterjermahkan ke dalam Parsi, disamping menghasilkan Akbarnama, satu rekod mengenai pemerintahan beliau sendiri. Pernaah dikatakan Akbar mengarahkan Jerome Xavier (anak saudara kepada Francis Xavier, seorang mubaligh Jesuit untuk menterjemahkan empat Gospel di dalamPerjanjian Baru ke dalam Parsi. Akbar juga mempunyai citarasa yang baik terhadap kesenian, senibina dan mekanikal. Banyak kerja tangan, termasuklah Hamzanama dihasilkan semasa pemerintahannya. Beliau juga diingati dalam penghasilan dan penambahbaikan pembuatan senapang (matchlock).
Penjaga Kubur Akbar Khan
            Tahun-tahun terakhir Akbar dirundung malang akibat daripada salahlaku anak-anaknya. Dua anaknya meninggal dunia akibat ketagihan arak. Anak ketiga, Salim, yang kemudiannya dikenali sebagai Maharaja Jahangir, sering melancarkan pemberontakan terhadap ayahnya. Asirgarh, sebuah kubu di Deccan, adalah tempat terakhir yang ditakluk oleh Akbar pada 1599 akibat terpaksa menuju ke utara untuk menghadapi anaknya. Dikatakan, kesihatan Akbar merosot akibat malapetaka ini yang akhirnya membawa beliau kepada kematiannya. Beliau telah disemadikan di sebuah makan raja yang indah di Sikandra, dekat dengan Agra.

Comments

Popular posts from this blog

Coretan Kembara - Habib Ali Batu Pahat yang kutemui

Pak Habib dengan senang hati menyambut semua tetamunya tanpa melebihkan antara satu dengan lainnya. Seperti biasa bila memandang Pak Habib ni, timbul rasa tenang dalam diri               Ketika melayari internet untuk mencari informasi tempat-tempat yang menarik untuk dilawati di Surabaya, ada beberapa pelan perjalanan yang menjurus kepada lawatan tempat lahirnya Wali Songo. Banyak juga tokoh-tokoh agama yang hebat yang dicadangkan untuk diziarahi. Dalam banyak-banyak itu hamba ternampak satu nama dan gambar yang hamba pernah temui di rumahnya di Kampung Solok Wan Mor, Batu Pahat. Dia dikenali sebagai Habib Ali Batu Pahat atau nama sebenarnya al-Habib Syed Ali bin Syed Ja'far al-Idrus.            Pada kali pertama hamba menziarahinya kerana termakan pujuk seorang rakan yang mengajak hamba ke Batu Pahat untuk menziarahi Habib Ali kerana katanya amalan yang digalakkan pada 10 Muharam ialah menziarahi alim. Ke...

Masjid Telok Manok: Kutemui masjid tertua di Thailand.

Masjid tua yang tidak mempunyai kubah. Kubah adalah pengaruh Turki. Semasa berjalan di Narathiiwat, hamba berpeluang menziarahi sebuah masjid kayu yang sudah berumur sekitar 300 tahun bernama Masjid Telok Manok atau dikenal juga dengan nama Masjid Wadi Al-Hussein.  Rajah asal Masjid Telok Manok Masjid ini masih terus digunakan untuk solat fardu dan solat Jumaat Masjid ini dibina pada tahun 1768, menjadikannya sebagai masjid tertua yang masih berdiri di Thailand. Seni bina Melayu, Cina, Kemboja dan Jawa bergabung  Masjid ini dibina mengikut senibina Melayu, Cina, Jawa dan Kemboja.  Dibuat menggunakan kayu sepenuhnya dan tanpa menggunakan paku. Masjid ini mempunyai tiang dan ada menara azan yang juga dibuat dari kayu.   Semuanya disusun cantik namun terus kukuh selama 300 tahun Telok Manok merupakan nama desa tempat masjid ini berdiri, sebuah desa kecil berjarak sekitar 25 kilo meter dari kota Narathiwat. Sedangkan A...

Damsyik - Kutemui Masjid Umawi yang tua usianya.

Tempat pertama hamba ziarahi ketika sampai  di Damsyik ialah Masjid Umawi.   Masjid ini telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Umawi al-Walid bin Abdul Malik, Khalifah Kerajaan Umawi pada tahun (86 – 96 Hijrah) (705 – 714 Masehi) .  Damsyik adalah Ibu Kota pemerintahan kerajaan Umayyah pada waktu tersebut. I a didirikan di atas tanah yang sudah beribu-ribu tahun menjadi pusat peribadatan dan awalnya merupakan tempat ibadah bangsa Aram yang menyembah Dewa Hadad, iaitu bangsa Arab Suryani kuno sejak 3000 tahun sebelum Masihi. Di awal abad Masihi tempat ini telah berubah menjadi tempat ibadah penyembah Dewa Jupiter ad-Dimasqi (zaman Romawi) dan ketika agama Kristian berkembang di Damsyik  pada abad ke-4 Masihi tempat ini berubah menjadi gereja yang bernama “St. John the Baptist Basilica”.   Pada zaman kekuasaan Romawi, penduduk asing tidak mudah memasuki kota Damsyik, karena kota itu dikelilingi tembok yang tinggi. Mereka yang ingin memasuki k...