Merupakan salah satu model seni bina Islam yang paling agung dan indah pada era awal pemerintahan Islam di dunia. Kubah ini telah dibina semasa kerajaan Umaiyah oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan pada tahun 65-86 H bersamaan dengan tahun 685-705 M di kawasan batu yang dimuliakan, iaitu tempat Nabi Muhammad SAW berangkat naik ke langit yang ketujuh. Pembinaannya telah dilakukan di atas batu berbentuk segi lapan dan di atasnya terdapat sebuah kubah berbentuk sfera yang disaduri dengan plat emas. Ketinggiannya mencapai sehingga 35 m dan di atasnya lagi terdapat bulan sabit dengan ketinggian ukuran 4 m. Manakala di bahagian dalam kubah ini telah dihiasi dengan dekorasi, mozek dan kaligrafi yang cantik.
Selain itu, ia merupakan salah satu mercu tanda seni bina Islam tertua yang terletak di kawasan tempat tumpuan Masjid al-Aqsa. Pembinaannya telah dilakukan di tengah-tengah kawasan terbuka dengan jarak empat meter dari kedudukan Masjid al-Qibli serta memiliki empat buah pintu. Di sekeliling dinding kubah ini dihiasi dengan porselin yang terdapat ukiran tulisan ayat-ayat al-Quran daripada surah al-Isra’. Untuk pergi ke kubah ini, terdapat lapan buah baikah yang boleh dilalui dengan menaiki anak-anak tangga yang berada di sekitarnya.
Kubah dan segala seni binanya masih kekal seperti sama dengan keadaan pertama kali dibina semasa zaman kerajaan Umaiyah. Hanya ada beberapa perubahan kecil sahaja yang dilakukan pada zaman kerajaan-kerajaan kemudiannya seperti:
- Zaman Kerajaan Abbasiyah
Kerajaan Abbasiyah sangat mengambil perhatian terhadap bangunan Kubah as-Sakhrah dengan melakukan beberapa kali kerja-kerja pembaikpulihan. Usaha yang paling ketara adalah yang dilakukan oleh Khalifah al-Ma’mun pada tahun 216 H bersamaan tahun 831 M serta ibu kepada al-Muqtadir Billah iaitu khalifah kerajaan Abbasiyah dengan menambah pintu-pintu kayu besar pada tahun 301 H bersamaan tahun 913 M.
Kerajaan Fatimiyah telah membaiki Kubah as-Sakhrah ketika di bawah pemerintahan Khalifah al-Zaher atas arahan Abu Hassan bin al-Hakam pada tahun 413 H bersamaan tahun 1022 M selepas berlakunya gempa bumi di Kota al-Quds. Kemudian, diteruskan usahanya oleh Khalifah Abu Jaafar Abdullah pada tahun 467 H bersamaan tahun 1075 M.
Zaman Penjajahan Tentera Salib
Tentera Salib yang telah menjajah Kota al-Quds pada tahun 492 H bersamaan 1099 M telah mengubah fungsi Kubah as-Skahrah menjadi sebuah gereja dengan menamakannya sebagai Templum Domini (Temple of the Lord). Mereka telah melakukan pengubahsuaian terhadap binaan kubah ini dengan meletakkan hiasan beberapa buah salib dan patung-patung. Mereka juga telah memagari sekelilingnya dengan pagar besi bagi menghalang orang luar dari mengambil kepingan batu. Selain berfungsi sebagai gereja, mereka juga menjadikannya sebagai markas bagi pasukan “Kesatria Templar” dan pusat berkumpul sepanjang tempoh peperangan Salib. Walau bagaimanapun, Salahuddin al-Ayyubi telah berjaya mengembalikan kemegahan Islam ke atas Kubah as-Sakhrah selepas membebaskan Kota al-Quds pada tahun 583 H bersamaan tahun 1187 M.
Zaman Kerajaan Salahuddin al-Ayyubi
Salahuddin al-Ayyubi telah menjalankan projek membaik pulih Kubah as-Sakhrah selepas berjaya membebaskannya daripada tentera Salib. Beliau telah memusnahkan monumen-monumen yang telah ditambah ke atas bangunan ini dan memperbaharui dinding di bahagian dalamnya serta menyadurnya dengan emas. Antara sumbangan yang ditinggalkan pada zaman ini adalah meletakkan kayu-kayu penghalang di sekeliling Kubah as-Sakhrah bagi menghalang orang luar daripada mengambilnya.
Zaman Kerajaan Mamluk
Kerajaan Mamluk telah melakukan beberapa kali kerja-kerja pembaikpulihan serta sentiasa memberi perhatian yang begitu tinggi terhadap kubah ini seperti yang dilakukan oleh al-Zhohir Baibars yang mana telah melakukan pengubahsuaian secara menyeluruh. Beliau juga telah memperbaharui hiasan mozek-mozek di bahagian luar kubah yang berbentuk segi lapan ini pada tahun 659 H bersamaan tahun 1260 M. Begitu juga, Raja al-Adil Zainuddin Kitbugha al-Mansuri yang telah melakukan penambahbaikan pada tahun 694 H bersamaan tahun 1294 M. Di samping itu, Sultan Muhammad bin Qalawun dan al-Amir Muhammad bin Saifuddin al-Zhohiri juga turut terlibat dalam melakukan usaha penambahbaikan.
Para pemerintah pada zaman ini sangat mengambil berat terhadap binaan Kubah as-Sakhrah dengan melakukan penambahan terhadap seni binanya. Usaha ini boleh dilihat melalui Sultan Sulaiman al-Qanuni yang telah menggantikan mozek-mozek di dinding kubah dengan kepingan porselin yang telah diimport khas dari Istanbul pada sekitar tahun 955-969 H bersamaan tahun 1548-1561 M. Mereka juga telah membaikinya dengan membuka tetingkap di dinding kubah ini dari dalam dan menggantikannya dengan pintu-pintu yang disadurkan dengan tembaga. Sultan Abdul Majid ll juga melakukan pembaikpulihan secara menyeluruh ke atas Kubah as-Sakhrah dengan membina semula sebahagian besar daripadanya pada tahun 1270 H bersamaan tahun 1853 M. Sultan Abdul Aziz bin Sultan Mahmud ll pula telah menyelaputi kubah dengan plat timah serta menggantungkan lampu yang besar di antara pintu selatan dan mimbarnya pada tahun 1291 H bersamaan tahun 1874 M. Sultan Abdul Hamid ll juga pernah mengarahkan supaya surah Yasin diukir dengan tulisan khat thuluth di bahagian luar kubah yang paling atas pada tahun 1293 H bersamaan tahun 1876 M.
Zaman Kerajaan Hasyimi (Jordan).
Sejak kerajaan Hasyimi diwasiatkan untuk menjaga Masjid al-Aqsa, mereka berusaha untuk memakmurkan lagi Kubah as-Sakhrah al-Mushrifah. Perkara ini boleh dilihat melalui usaha Raja Abdullah l iaitu pengasas kerajaan ini. Beliau telah mengeluarkan arahan agar dilakukan pembaikpulihan terhadap kubah secara menyeluruh pada tahun 1342 H bersamaan tahun 1924 M. Kemudian, diikuti dengan inisiatif di bawah pemerintahan Raja Hussein Bin Talal dengan menyadurkan kubah dengan menggunakan kepingan aluminium emas. Beliau juga telah memasang marmar di dinding-dinding bahagian dalam dan membaiki jubin seramik di bahagian luar pada tahun 1372 H bersamaan tahun 1953 M. Beliau juga telah melakukan pembinaan semula fasa ketiga dari tahun 1389 H bersamaan tahun 1969 M hingga ke tahun 1415 H bersamaan tahun 1994 M di mana bahagian luar kubah telah digantikan dengan bahan yang baru daripada tembaga yang bersalutkan zink dan emas 24 karat. Hiasan dalaman pula dikekalkan dengan kubah berasaskan kayu. Mereka juga telah memasang alat penggera kebakaran dan pemadam api di dalamnya dan masih terus menjaga Kubah as-Sakhrah sehingga ke hari ini serta melakukan penambahbaikan yang diperlukan melalui Jabatan Wakaf Islam al-Quds.
Comments