Dalam satu tugasan memberi ceramah bagi pelajar ipt di Kelantan, waktu selang santainya kawan-kawan mengajak berjalan dan membeli belah di pekan Rantau Panjang. Kebetulan memang lama tak ke sana.
Bila sampai ke pekan tu aku tak minat beli apa-apa kerana memang perangai aku tak suka beli cenderahati bila berjalan. Selalunya untuk kenangan aku akan beli buku. Lalu akupun pergilah tepi sungai Golok tu. Nampak banyak orang “sempadan” ni berulang-alik.
Akupun mula mengimbas memori ketika beusia 19 tahun semasa aku studi matrikulasi UKM di Sek. Men. Sains Terengganu Gong Badak dahulu. Ramai best student dari Kelantan, Terengganu dan Pahang yang belajar sama batch dengan aku. Hanya aku dan Adnan dari Johor yang tercampak di situ.
Salah satu rakan sedorm yang rapat dengan aku bernama Roslan Othman. Dia ni budak baik dan best student masa SPM dari Kelantan. Bila habis final exam, Roslan ajak aku jalan-jalan ke rumahnya di Pasir Mas. Itulah pertama kali aku jejak kelantan. Bapa Roslan seorang guru, dan keluarga ini melayan aku dengan baik. Dari sinilah baru aku tahu dan faham akan budaya dan cara fikir orang Kelantan. Bayangkan masa itu akhir tahun 1970an. Beberapa hari kemudian dia ajak aku menziarahi neneknya di Narathiwat, tapi aku dah lupa apa nama kampungnya maklumlah ini cerita empat puluh tahun yang lalu.
Bayangkanlah kita ni tak tahu apa, main ikut sahaja. Dengan tak ada passport dan duit sekedarnya, aku pun naik sampan menyeberangi Sungai Golok.
Hampir seminggu juga aku meronda di pekan Golok dan sekitarnya kebetulan tu bulan April ada Pesta Songkran. Tengok wayang cerita koboi tapi cakap bahasa Thai.
Kita remaja yang baru nak hidup, kemana jalan dibawa oleh pak cik kepada Roslan. Dia seorang seldadu, jadi tak ada orang kacau. Pesanan yang aku ingat, bila berjalan tempat orang jangan pergi ke tempat maksiat. Di situ punca semua perkara tak baik.
Terima kasih Pak Cik seldadu tu, bila aku mengembara di serata tempat, aku memang tak minat untuk pergi ketempat night life atau red light seperti itu.
Kerana memori itu aku buat kerja merbahaya menyeberangi Sungai Golok, menjejak tanah daratannya dan pulang kembali ke Rantau Panjang.
Alhamdulillah selamat sampai tanpa ada masalah. Selamat tinggal Golok. Jumpa lagi tetapi secara legal.
Comments