Skip to main content

Kuziarahi makam Muaz bin Jabal dan anaknya Abdul Rahman yang ditakdirkan syahid oleh serangan Taun Amwasdi Lembah Jordan



Sungguh rasa bertuah kerana dapat menziarahi makam sahabat nabi Saidina Muaz bin Jabal.  Semasa menuju ke Amman dari bandar Irbid, kami melalui jalan Lembah Jordan yang bersempadan dengan tanah Palestin.  Dahulu sebelum wujudnya persempadanan negara wilayah Syria, Jordan, Palestin ini dikenali sebagai Syam sahaja. Di zaman moden ini bila disebut Syam orang hanya terbayang Damsyik sahaja. Seperti moto blog hamba ini, "Melihat, kemudian mengkaji dan menulis", hamba selalunya melihat dahulu tinggalan sejarah di sesuatu tempat, maklumat ketika itu terbatas dan kemudiannya hamba membaca tulisan orang lain untuk mengetahui maklumat lebih luas dan jika ada kesempatan hamba menulis kembali cerita tentang tempat bersejarah itu. Hamba tak fokus kepada informasi atau tips untuk sampai ke sesuatu tempat itu.


Nama penuh beliau adalah Muaz bin Jabal bin Amr bin Aus. Beliau ini berasal daripada keturunan kabilah Aus yang merupakan salah satu kabilah terbesar yang berada di kota Madinah. Beliau ini termasuk dalam salah satu golongan yang awal memeluk agama Islam. Ketika itu, Muaz masih lagi berumur 18 tahun. Beliau memeluk agama Islam melalui dakwah yang dibawa oleh Mus’ab bin Umair yang diutuskan oleh Rasulullah SAW untuk mendakwahi penduduk Madinah pada saat itu. Muaz bin Jabal adalah seorang tokoh dari kalangan Anshar yang ikut baiat di perjanjian Aqabah kedua.


Di samping itu, Muaz ini merupakan salah seorang dari 6 orang sahabat yang menghafal Al-Quran di zaman Rasulullah SAW dan berjaya mengumpulkan Al-Quran secara sempurna. Sewaktu zaman Rasulullah SAW masih hidup, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar mengangkat Muaz untuk menjadi guru bagi kaum muslimin disebabkan kealiman dan kewibawaan ilmu yang dimiliki olehnya.



Muaz adalah salah seorang sahabat yang banyak dipuji oleh Rasulullah SAW. Salah satu sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi berbunyi;

أعلم أمتي بالحلال والحرام معاذ بن جبل

“Umatku yang paling tahu tentang halal dan haram adalah Muadz bin Jabal.”

Selain itu, terdapat juga sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawasanya Rasulullah SAW bersabda;

اسْتَقْرِئُوا الْقُرْآنَ مِنْ أَرْبَعَةٍ: مِنِ ابْنِ مَسْعُودٍ، وَسَالِمٍ، مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ، وَأُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ، وَمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ

“Belajarlah Al-Quran dari empat orang: Ibnu Mas’ud, Salim maula Abu Hudzaifah, Ubay bin Ka’ab, dan Muadz bin Jabal.”

Telah ditakdirkan Muaz bin Jabal wafat ketika berusia 33 tahun pada tahun 18 hijrah (bersamaan 639M) akibat serangan wabak taun. Wabak taun telah tersebar dengan begitu cepat di wilayah Syam yang dikenali dengan wabak Taun Amwas. Dinamakan sedemikian kerana dinisbahkan kepada satu kampung di Palestin yang menjadi punca utama tersebarnya wabak ini, iaitu kampung Amwas. Wabak ini dikatakan telah menyebabkan kematian hampir 25,000 rakyat Syam termasuklah sebahagian Sahabat-sahabat utama Rasulullah S.A.W. Di antaranya Abu Ubaidah Amir Al-Jarrah, Mu’az bin Jabal, Syurahbil bin Hasanah, Suhail bin Amru, Yazid bin Abi Sufyan dan Amir bin Ghailan As Tsaqafi. Termasuk juga terkorban ialah anak Muaz yang bernama Abdul Rahman.

 


Tersebarnya wabak taun atau wabak-wabak lain pernah disebutkan oleh Baginda S.A.W sebagai satu petanda akhir zaman. Daripada Auf bin Malik R.A, dia berkata, aku mengadap Rasulullah S.A.W pada saat beliau berada di sebuah khemah yang terbuat dari kulit ketika perang Tabuk. Baginda S.A.W bersabda:

“Ingatlah olehmu bahawa akan terjadi enam petanda sebelum datangnya kiamat nanti. (1) Kematianku. (2) Pembukaan Baitul Maqdis. (3) Kematian besar-besaran yang menimpa kalian bagaikan kambing yang mati secara tiba-tiba. (4) Melimpahnya harta benda hingga seseorang yang diberi seratus dinar pun tetap marah. (5) Fitnah yang menimpa setiap rumah orang Arab. (6) Perdamaian yang terjadi di antara kalian dengan ‘Bani Asfar’, lalu mereka mengkhianati kalian dan mereka akan mendatangi kalian dengan lapan puluh panji yang setiap panjinya terdiri daripada 12 ribu pasukan.”
(Hadith Riwayat Bukhari (400 Hadis Akhir Zaman))

Selepas kewafatan Baginda S.A.W, Allah mentakdirkan peristiwa kedua dan ketiga berlaku di zaman Umar Al Khattab R.A. Pembukaan Baitul Maqdis berlaku pada bulan Rabi’ul Akhir tahun 16H/637H, selepas pembukaan Syam, kemudian disusuli pula dengan tersebarnya wabak tha’un pada tahun 18H. 

Selama berbulan-bulan arahan dan nasihat ketua-ketua seperti Abu Ubaidah dan Muaz bin Jabal ialah supaya semua orang bersabar di tempat masing-masing dan menunggu sehingga ujian ini selesai. Mereka juga memberi semangat bahawa kematian dalam wabak ialah satu jenis mati syahid. Tetapi, apabila ketua-ketua tersebut terkorban, muncul Amru ibn Al-‘Aas sebagai pemangku. Terkenal sebagai Sahabat yang genius dalam hal politik dan berani melakukan ijtihad, beliau mengarahkan kesemuanya untuk berpindah ke satu puncak bukit. Pandangan ini ditentang keras oleh sebahagian rakan, tetapi tetap diteruskan. Akhirnya wabak ini beransur reda dan lenyap sama sekali. 

Ketika Umar al-Khattab mendapat khabar semakin merebaknya wabak ini, lantas beliau menulis surat kepada Abu Ubaidah dan menyuruhnya bersegera datang ke Madinah atas kerisauannya untuk kehilangan permata berharga (Aminul Ummah) Islam tersebut. Akan tetapi ditolak permintaan tersebut dengan baik atas faktor tanggungjawab yang digalasnya untuk membantu penduduk Syam menghadapi wabak. Lalu menangislah Umar kesedihan. Apabila ditanya kepada Umar, apakah Abu Ubaidah telah mati? Jawab Umar, tidak, tetapi aku merasai kematian itu menghampirinya. Dan ternyata firasat Umar tepat, Abu Ubaidah syahid dalam perjuangannya mencegah wabak. 

Riwayat Imam Bukhari Nabi S.A.W bersabda:

“Tidaklah seorang hamba yang terkena wabak taun, lalu dia diam (kuarantin) di dalam negerinya (tempat tinggalnya yang terkena wabak) dengan sabar, sesungguhnya tidak akan terjadi sedemikian kecuali ketentuan Allah baginya, baginya ganjaran seumpama mati syahid.”

Kini kawasan makam Muaz Bin Jabal ini telah dijadikan kompleks yang cantik dan dengan adanya sebuah masjid dan taman yang dijaga rapi.


Kompleks ini menerima ramai pengunjungnya terutama bagi yang ingin menziarahi sahabat besar ini, Muaz bin Jabal.


Dengan melihat kesan sejarah ini diharapkan semakin kuat iman kita.  Bagusnya di negara Arab ini, tidak ada amalan khurafat di kawasan perkuburan.  Tentulah darjat Sahabat itu lebih tinggi dari golongan salaf atau khalaf.  Malah lebih tinggi dari orang alim di zaman selepasnya, yang kadang-kadang kuburnya dikunjungi untuk ritual atau memohon sesuatu. Di makam Muaz bin Jabal tidak ada amalan yang sedemikian.


Hamba memang mengesyorkan sesiapa yang travel ke Jordan, jangan lupa untuk menziarahi Makam Muaz bin Jabal dan anaknya di Lembah Jordan.

Comments

Popular posts from this blog

Coretan Kembara - Habib Ali Batu Pahat yang kutemui

Pak Habib dengan senang hati menyambut semua tetamunya tanpa melebihkan antara satu dengan lainnya. Seperti biasa bila memandang Pak Habib ni, timbul rasa tenang dalam diri               Ketika melayari internet untuk mencari informasi tempat-tempat yang menarik untuk dilawati di Surabaya, ada beberapa pelan perjalanan yang menjurus kepada lawatan tempat lahirnya Wali Songo. Banyak juga tokoh-tokoh agama yang hebat yang dicadangkan untuk diziarahi. Dalam banyak-banyak itu hamba ternampak satu nama dan gambar yang hamba pernah temui di rumahnya di Kampung Solok Wan Mor, Batu Pahat. Dia dikenali sebagai Habib Ali Batu Pahat atau nama sebenarnya al-Habib Syed Ali bin Syed Ja'far al-Idrus.            Pada kali pertama hamba menziarahinya kerana termakan pujuk seorang rakan yang mengajak hamba ke Batu Pahat untuk menziarahi Habib Ali kerana katanya amalan yang digalakkan pada 10 Muharam ialah menziarahi alim. Ke...

Masjid Telok Manok: Kutemui masjid tertua di Thailand.

Masjid tua yang tidak mempunyai kubah. Kubah adalah pengaruh Turki. Semasa berjalan di Narathiiwat, hamba berpeluang menziarahi sebuah masjid kayu yang sudah berumur sekitar 300 tahun bernama Masjid Telok Manok atau dikenal juga dengan nama Masjid Wadi Al-Hussein.  Rajah asal Masjid Telok Manok Masjid ini masih terus digunakan untuk solat fardu dan solat Jumaat Masjid ini dibina pada tahun 1768, menjadikannya sebagai masjid tertua yang masih berdiri di Thailand. Seni bina Melayu, Cina, Kemboja dan Jawa bergabung  Masjid ini dibina mengikut senibina Melayu, Cina, Jawa dan Kemboja.  Dibuat menggunakan kayu sepenuhnya dan tanpa menggunakan paku. Masjid ini mempunyai tiang dan ada menara azan yang juga dibuat dari kayu.   Semuanya disusun cantik namun terus kukuh selama 300 tahun Telok Manok merupakan nama desa tempat masjid ini berdiri, sebuah desa kecil berjarak sekitar 25 kilo meter dari kota Narathiwat. Sedangkan A...

Damsyik - Kutemui Masjid Umawi yang tua usianya.

Tempat pertama hamba ziarahi ketika sampai  di Damsyik ialah Masjid Umawi.   Masjid ini telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Umawi al-Walid bin Abdul Malik, Khalifah Kerajaan Umawi pada tahun (86 – 96 Hijrah) (705 – 714 Masehi) .  Damsyik adalah Ibu Kota pemerintahan kerajaan Umayyah pada waktu tersebut. I a didirikan di atas tanah yang sudah beribu-ribu tahun menjadi pusat peribadatan dan awalnya merupakan tempat ibadah bangsa Aram yang menyembah Dewa Hadad, iaitu bangsa Arab Suryani kuno sejak 3000 tahun sebelum Masihi. Di awal abad Masihi tempat ini telah berubah menjadi tempat ibadah penyembah Dewa Jupiter ad-Dimasqi (zaman Romawi) dan ketika agama Kristian berkembang di Damsyik  pada abad ke-4 Masihi tempat ini berubah menjadi gereja yang bernama “St. John the Baptist Basilica”.   Pada zaman kekuasaan Romawi, penduduk asing tidak mudah memasuki kota Damsyik, karena kota itu dikelilingi tembok yang tinggi. Mereka yang ingin memasuki k...