Alhamdulillah kutemui juga makam Amir Ibn Abi Waqqas di Lembah Jordan. Nama sebenar beliau ialah Amir bin Malik bin Uhayb bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah al-Qurasy. Adik beradik beliau yang paling terkenal ialah Saad Abi Waqqas.
Kompleks bangunan yang cantik dan bersih ini terdiri dari makam saidina Amir dan didirikan juga masjid yang sederhana besarnya. Semasa kunjungan hamba ini kebetulan ada imam dan petugas yang melayan pertanyaan dan menceritakan sesuatu.
Salasilah keturunan Amir Abi Waqqas adalah seperti berikut Amir bin Malik bin Uhayb bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah al-Qurasy. Sementara sebelah ibunya ialah Hamnah binti Abu Sufyan bin Umayyah bin Abdu Syams. Adik beradiknya ialah Sa’ad, Umair, dan Utbah. Sa’ad dan Umair antara yang awal memeluk Islam manakala ‘Utbah mati dalam keadaan kafir.
Berikut adalah riwayat hidup Amir bin Abi Waqqas berdasarkan pada maklumat yang ditulis di atas batu di luar makam Amir bin Abi Waqqas.
Amir Abi Waqqas merupakan al-Sabiqun al-Awwalun kerana beliau merupakan orang yang ke-11 memeluk Islam. Beliau adalah antara sahabat nabi s.a.w yang berhijrah ke Habsyah kerana tekanan dan penyiksaan oleh orang-orang Quraisy. Beliau terus berada di Habsyah sehingga tahun ke-7 Hijrah. Beliau bersama-sama Ja’far bin Abi Talib seramai 16 sahabat datang dari Habsyah dan menuju ke Khaibar dan menyaksikan pembukaan kota Khaibar(salah satu kubu dan penempatan Yahudi pada zaman rasul s.a.w. Baginda s.a.w sangat gembira dengan ketibaan sahabat-sahabat ini.
Sirah perjuangan dan pengorbanan Amir Abi Waqqas bermula dengan tentangan dari ibunya sendiri yang menentangnya semasa beliau mengisytiharkan keislamannya. Beliau tetap dengan pendiriannya. Beliau turut serta dalam peperangan bersama Rasul s.a.w dan menyertai siri peperangan di Syam di bawah pimpinan Amin al-Ummah saidina Abu Ubaidah bin al-Jarrah.
Beliau telah terkorban dan mati syahid dalam peperangan Yarmuk dan dikatakan peperangan Ajnadin tahun ke-15H bersamaan 636 M dan dikebumikan di Pekan Waqqas yang diberi nama sempena nama beliau.
Lembah Jordan ini sungguh tenang dan kompleks makam Amir Abi Waqqas ini agak jauh dari penempatan. Nun dari kejauhan nampak tanah Palestin yang telah ditindas dan dijajah oleh Zionis Israel. Waaduh ....! terasa sangat kerdilnya diri ini bila mengenangkan perjuangan para Sahabat dalam mengembangkan Islam di peringkat awal. Nyawa dalah taruhan mereka.
Tujuan hamba menziarahi makam seperti ini untuk menyedarkan diri, menghisab diri, merenung diri dan memikirkan tentang persediaan apabila jasad dimamah tanah nanti. Ya Allah kurniakanlah sifat berani, tabah,sabar, taat, syukur dan takwa seperti yang dimilikki oleh Saidina Amir Abi Waqqas.
Comments