Setiap sudut di Tanah Haram Baitul Maqdis atau Masjidil Aqsa ada sejarah, keistimewaan dan keutamaannya yang tersendiri. Ianya adalah bumi yang diberkahi. Baitul Maqdis adalah tempat ketiga yang mesti dikunjungi selepas Mekah dan Madinah. Sejak pembebasan Baitul Maqdis oleh Khalifah Umar Al Khatab, umat Islam berpusu-pusu datang ke sini hinggalah wilayah Palestin ini dijajah oleh Zionis Israel. Syukur dalam keterbatasan itu, Allah berikan rezeki-Nya untuk hamba menziarahi Masjidil Aqsa ini.
Tanah suci Baitul Maqdis (Masjidil Aqsa) juga sejak dahulu adalah tempat berkumpulnya ilmuan Islam di mana Hujjatul Islam Imam Ghazali sendiri pernah merantau dan menetap di sini. Masjid Al Aqsa mempunyai jaringan dan tarikan keilmuan yang kuat. Setelah Imam Ghazali memutuskan untuk keluar dari madrasah Nizamiyah dan memilih untuk mengembara dan hidup zuhud, menurut catatan Ibnu Katsir destinasi pertama beliau adalah adalah Baitul Maqdis.
![]() |
Menurut Al-Ulaimi, tempat yang dipercayai sebagai bilik Imam Ghazali itu ialah sebuah bilik kecil, tidak terlalu besar berdekatan dengan Pintu Rahmah (Bab Ar Rahmah) atau yang dulu dikenal sebagai pintu Nashiriyah. Sebelah timur Masjidil Aqsa. Imam Ghazali tinggal di bilik itu selama beberapa tahun untuk berdzikir, mujahadah, tafakur dan menulis. Ruang tempat uzlah al-Ghazali yang terletak di bahagian belakang masjid masih terpelihara baik hingga hari ini.
Imam Al Ghazali adalah tokoh ulamak sufi yang terkenal, yang telah menulis banyak kitab seperti Ihya ulumuddin, minhajul abidin, bidayah alhidayah dan lain lain lagi. Nama sebenar imam Al Ghazali ialah Muhamad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al Ghazali Altusi. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Al Ghazali iaitu nisbah kepada kampung tempat kelahirannya iaitu Ghazalah yg terletak dipinggir bandar Tusi di dalam wilayah Kharasan, Parsi.
Imam Al Ghazali tidak lama tinggal di Palestin kerana beliau terpaksa menyelamatkan diri dari keganasan tentera salib Kristian yang berjaya merampas Palestin dari kaum muslimin. Beliau menuju ke Kaherah Mesir dan kemudian ke Iskandariah.
Al Ghazali meninggal dunia di Tusi pada hari Isnin,14 Jamadil Akhir tahun 505H bersamaan 19 Disember 1111M dan disemadikan diperkuburan Tabiran.
Comments