Hamba menziarahi makam Sheikh Burhanuddin ini secara tidak sengaja. Ketika dalam pejalanan dari Bukit Tinggi ke Kota Padang, hamba berhenti di pantai Priaman. Hamba berhenti sebentar untuk membeli makanan ringan di tepi jalan, lalu diberitahu di pintu gerbang itu teletak makam Sheikh Burhanuddin.
Setelah puas menikmati pemandangan Desa Maninjou yang cantik, tenang dan klasik sambil menuruni Kelok 44 yang mendebarkan hamba menikmati makan tengahari berlaukkan dendeng dan ikan emas bakar (talapia merah) di tepi tasik yang kebiruan berdekatan Tasik Maninjou. . Hamba teringat di sini tanah kelahiran tokoh agama nusantara yang terkenal, Buya Hamka. Bersama bapanya, Buya Hamka telah membawa masyarakat kepada lahirnya fahaman Kaum Muda. Agak menarik kerana sebelum ini telah lahir tokoh yang berjasa menyebarkan Islam di daerah ini iaitu Syeikh Burhanuddin Ulakan.
![]() |
| Beginilah pintu gerbang Sheikh Burhanuddin di Ulakan Priaman. Kawasan ini dipenuhi gerai-gerai kecil yang menjual makanan dan juga kitab dan buku tentang Sheikh Burhanuddin. |
Hamba meneruskan perjalanan ke Ulakan yang terletak di daerah Priaman. Pariaman adalah kawasan jajaran pantai yang mengadap laut yang teruk di landa gempa bumi yang kuat pada satu ketika dahulu. Di katakan pesta Mandi Safar yang popular di Melaka suatu masa dahulu berasal dari daerah Pariaman. Khususnya tempat bernama Ulakan yang terkenal kerana adanya pusara Sheikh Burhanuddin. Tempat ini dulu-dulunya terkenal dengan majlis BASAPA (mandi Safar). Menurut Buya Hamka Sheikh Burhanuddin menyampaikan ajaran yang benar, cuma setelah kematiannya berlaku tokok tambah dalam amalan masyarakat.
Syeikh Burhanuddin Ulakan adalah murid Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri atau di kenali sebagai Syiah di Kuala. Sheikh Burhanuddin adalah orang pertama menyebarkan Thariqat Syatariyah di Minangkabau. Namanya ketika masih kecil ialah Si Pono, ayahnya bernama Pampak. Ayahnya masih beragama Buddha, namun Si Pono dari Sintuk pergi ke Ulakan, pergi belajar kepada Angku Madinah yang berasal dari Aceh. Pada tahun 1622 atas anjuran gurunya, dia melanjutkan pelajaran agama Islam kepada Syeikh Abdur Rauf Al Singkel di Aceh. Lalu Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri menukar namanya daripada Si Pono menjadi Burhanuddin. Tiga belas tahun lamanya dia belajar kepada ulama yang dikenali sebagai wali Allah itu.
Beliau adalah seorang murid yang sangat patuh kepada gurunya, dari sehari ke sehari tumbuhlah kasih sayang, takut dan malu kepada Syeikh Abdul Rauf Al Singkel tersebut. Pada suatu hari Syeikh itu mengunyah sirih. Tiba-tiba tempat kapur sirihnya terlepas dari tangannya jatuh ke dalam tandas yang sangat dalam. Tuan Syeikh berkata: "Siapa yang sudi membersihkan tandas itu sebersih-bersihnya? Dan mengambil tempat sirih saya yang jatuh ke dalamnya?" Tiada murid yang sanggup mengerjakan apa yang diperintah oleh Syeikh itu. Akhirnya Burhanuddin yang sanggup dan bekerja berjam-jam membersihkan tandas itu sehingga bersih dan tempat kapur sirih pun dijumpai, lalu dibersihkannya dan dipersembahkannya kepada Syeikh tersebut. Lantas Syeikh Abdul Rauf Singkel berdoa dengan sepanjang-panjang doa. Selanjutnya Syeikh itu berkata: "Tanganmu ini akan dicium oleh raja-raja, penghulu-penghulu, orang besar di Sumatera Barat dan muridmu tidak akan putus-putusnya sampai akhir zaman, dan ilmu kamu akan memberkati dunia ini. Aku namai kamu Saidi Syeikh Burhanuddin".

Comments