Skip to main content

Singapura - Kuziarah pusara habib Nuh di Palmer Road

Sejak kecil emak selalu bercerita tentang pengalaman beliau pergi menziarahi makam Habib Nuh di Singapura. Emak bercerita pada tahun 1950an memang tempat itu popular untuk orang bernazar atau menunaikan nazar seperti jika sembuh anak aku, aku akan menziarahi makam Habib Nuh. Amalan seperti ini telah semakin pupus di Nusantara.  Namun hamba memang sejak dulu berazam untuk menjejakkan kaki ke pusara Habib Nuh ini.  Cantik tempat ini bersih dan terurus dengan baik dan telah tak nampak aktiviti khurafat di sini.  Hamba memang biasa ke Singapura, malah pada awal 1980an hamba pernah kerja buruh binaan selama 3 bulan di Cecil Street.  Namun rezeki untuk menziarahi makam Habib Nuh ini hanya pada tahun 2014.


Habib Nuh bin Muhammad Al-Habshi adalah dari salasilah Rasulullah s.a.w. menerusi nasab Zainal Abidin bin Sayidina Hussein r.a. Beliau dianggap sebagai Wali Allah dan mempunyai banyak karamah. Beliau berhijrah dari Kedah ke Singapura tidak lama setelah Stamford Raffles mendarat di pulau itu. Usia beliau ketika lebih kurang tiga puluh tahun. Habib Nuh adalah seorang yang sangat warak. Waktu malamnya digunakan untuk solat hingga terbit fajar. Habib Nuh sangat menyayangi kanak-kanak dan selalu membelikan gula-gula dan memberi wang kepada mereka. Sering orang bertemu Habib Nuh dikelilingi kanak-kanak. Beliau singgah di kedai-kedai bersama kumpulan kanak-kanak dan kanak-kanak itu mengambil seberapa banyak makanan yang ada tanpa membayar apa-apa. Anehnya, tuan kedai tidak melarang perbuatan itu, kerana mereka yakin kedai mereka akan beroleh berkat jika dikunjungi Habib Nuh bersama kumpulan kanak-kanak itu. Ini terbukti, mana-mana kedai orang Islam yang didatangi oleh Habib Nuh bersama kanak-kanak itu, kemudiannya menjadi maju dan sangat laris. Habib Nuh sayang kepada kanak-kanak kerana mereka adalah ahlul Jannah (ahli Syurga) 

 Habib Nuh juga mempunyai keistimewaan yang terlindung. Menurut cerita orang beliau dikurniakan oleh Allah kebolehan untuk ghaib, dan dilihat kembali di tempat-tempat yang jauh. Ada yang memberitakan bahawa beliau telah dilihat sedang solat di Masjidil Haram Mekah tanpa secara fizikalnya pergi ke sana. Pada satu masa, beliau pernah berkata kepada bakal haji bahawa mereka akan berjumpa di Mekah. Bila jemaah itu sampai di sana, dia telah disambut oleh Habib Nuh sendiri. Habib Nuh juga terkenal sebagai tabib yang hebat, terutamanya ke atas kanak-kanak yang memang disukainya. Pernah beliau menyembuhkan seorang kanak-kanak yang cedera di kakinya dengan hanya meletakkan tangan-tangan beliau di atas luka itu dan membaca doa. Dalam masa yang singkat, kanak-kanak itu sudah boleh berlari semula seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku ke atasnya. Bapa kepada kanak-kanak itu amat gembira, dia telah memberikan wang kepada Habib Nuh, tapi Habib Nuh memberikan wang itu kepada yang memerlukan.

Habib Nuh sanggup mengharungi ribut untuk pergi mengubati kanak-kanak yang sakit. Beliau pernah berjalan ke Paya Lebar dari rumah beliau di Telok Blangah ketika hujan lebat untuk mengubati seorang kanak-kanak. Bila beliau sampai di rumah kanak-kanak itu, ibubapa kanak-kanak itu terkejut melihat pakaian Habib Nuh langsung tidak basah. Dalam satu insiden lain, Habib Noh telah dikejutkan oleh tangisan berterusan anak jirannya. Bila beliau pergi ke sana, beliau dapati bahawa keluarga itu amat miskin dan tidak mampu membeli makanan untuk anak yang kelaparan itu. Beliau mengalirkan airmata bila mendengar cerita itu, lantas mengambil satu tempurung kelapa, menuangkan air ke dalamnya dan membaca doa. Dengan kehendak Allah, air itu bertukar menjadi susu untuk diminum oleh kanak-kanak tersebut.


       As Sayid Habib Nuh bersikap tidak menghormati orang-orang yang sombong angkuh dengan kekayaan atau jawatan duniawi, lebih-lebih lagi kepada orang kafir penjajah. Habib Nuh tidak takut kepada Crawford, Gabenor Singapura ketika itu. Dalam satu peristiwa, Crawford marah dan menghina Habib Nuh kerana beliau tidak menghormatinya. Tiba-tiba sahaja kereta kuda yang dinaiki Gabenor itu terlekat di bumi dan tidak dapat bergerak. Gabenor naik marah an bertanyakan hal itu kepada pengiringnya. Tetapi pengiring itu bertanya kepada tuan gabenornya, “Tahukah tuan siapakah orang yang tuan marah dan hina itu?” Gabenor menjawab, “Itu orang gila.”
“Sebenarnya dia bukan gila tetapi dia orang baik dan ada karamah. Lihat, bila tuan marah kepada dia, dia sumpah dan sekarang kereta tuan tidak dapat bergerak,” jelas pengiringnya. Gabenor menjadi takut dan akhirnya meminta maaf kepada Habib Nuh. Setelah Habib Nuh menepuk-nepuk kaki kuda itu, barulah kuda itu berjalan pantas seperti biasa. Sejak itu Gabenor sedar betapa Habib Nuh mempunyai kelebihan luar biasa.  Pernah satu ketika Gabenor telah memerintahkan askarnya menangkap Habib Nuh dan mengurung di dalam penjara dengan kaki dan tangannya dirantai. Tindakan keras ini diambil kerana As Sayid Habib Nuh tetap enggan menghormati wakil penjajah yang beragama Kristian itu. Anehnya, para pengawal penjara kemudian melihat Habib Nuh berada di luar penjara. Tangan dan kakinya tidak dirantai. Walaupun ditangkap semula, dia tetap dapat keluar dan kelihatan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku padanya akhirnya beliau dibebaskan sepenuhnya.

      Diceritakan lagi bahawa pada satu ketika seorang saudagar yang sedang dalam pelayaran ke Singapura. Dalam pelayaran, kapalnya telah dipukul ribut kencang. Dalam suasana cemas tersebut, saudagar itu berdoa kepada Allah agar diselamatkan kapalnya dari ribut tersebut dan dia bernazar jika sekiranya dia selamat sampai ke Singapura dia akan menghadiahkan kain kepada Habib Nuh. Alhamdulillah, dia dan dagangannya diselamatkan Allah dari keganasan ribut tersebut. Setibanya di Singapura, dia hairan kerana Habib Nuh telah sedia menunggu kedatangannya di pelabuhan dan memintanya melaksanakan nazar yang telah dibuatnya di tengah laut itu.

      Dalam satu peristiwa lain, ketika sebuah kapal hendak berlayar, muncul Habib Nuh di pelabuhan. Habib Nuh melarang barangan berharga daripada dibawa bersama dalam kapal tersebut. Mereka yang terlibat tidak puashati dengan larangan tersebut. Habib Nuh tetap bertegas. Beberapa hari kemudian, penduduk Singapura mendapat berita bahawa kapal yang berlayar itu terbakar dan tenggelam di tengah lautan. Barulah tuan punya barangan tersebut sedar hikmah disebalik larangan Habib Nuh itu. Mereka bersyukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT.  Pada satu ketika pula seorang India Muslim balik ke India mengikut jalan laut untuk melawat keluarganya. Dia telah berniat bahawa jika dia kembali ke Singapura dengan selamat, dia akan menghadiahkan kepada Habib Nuh satu hadiah. Bila dia pulang, dia terkejut bila melihat Habib Nuh sudah sedia menunggunya di tepi laut menanyakan janji yang telah dibuatnya. 

Setelah 78 tahun mengabdikan diri beliau kepada Islam, Habib Nuh telah pulang ke rahmatullah pada hari Jumaat, 27 Julai 1866 (14 Rabiul awal 1283). Beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah memberikan banyak nasihat kepada kawan-kawan setianya. Antara mutiara kata beliau ialah “Jangan jadi tamak terhadap harta dunia dan jangan punya perasaan hasad-dengki (dan sebarang perasaan negatif) terhadap sesiapa sepanjang hidup anda.” Habib Nuh menghembuskan nafasnya yang terakhir di Telok Blangah, di kediaman Temenggong Abu Bakar, Johor. Bila berita itu tersebar, ramai orang dari berbagai peringkat, termasuk orang-orang Inggeris yang telah masuk Islam melalui Habib Nuh, dan mereka yang berada di kepulauan-kepulauan berhampiran telah datang untuk menziarahi beliau. Semua kereta kuda yang ada di Singapura memberhentikan aktiviti harian untuk membawa pengunjung-pengunjung itu dengan percuma. Tapi sejurus sebelum rombongan jenazah itu meninggalkan rumah Temenggong ke tanah perkuburan, satu peristiwa ganjil telah berlaku.
      Sebelum meninggal, Habib Nuh telah berwasiat kepada kawan-kawannya agar jenazah beliau dikebumikan di Mount Palmer, yang merupakan tanah perkuburan kecil pada masa itu. Walau bagaimana pun pada hari beliau meninggal, setiap orang telah lupa mengenai pesan itu dan mereka semua bersedia untuk menuju ke tanah perkuburan Bidadari Muslim. Bila sampai masanya untuk mengangkat keranda, ia tidak berganjak dari atas tanah. Tidak ada seorang pun terdaya mengangkatnya. Keadaan jadi panik, kelam kabut, dan hampir setiap orang menangis melihat keranda itu tidak berganjak walaupun cuba diangkat oleh lelaki-lelaki yang gagah. Nasib baik, ada seorang yang teringat dan tampil menceritakan hal yang sebenar. Lalu jenazah Habib Nuh diusung ke Mount Palmer. Dengan kehendak Allah, keranda itu boleh diangkat dengan mudah dan laungan takbir bergema dengan kuatnya. Maka selamatlah jenazah Habib Nuh dikebumikan di Mount Palmer.

      Karamah beliau tidak habis di situ saja. Semasa Perang Dunia Kedua, bila Telok Blangah dibom dengan hebatnya oleh Jepun, tidak ada satu bom pun singgah di pusara Habib Noh. Dan bila kerajaan Singapura mahu membina satu "highway" di Tanjung Pagar, jembatan telah direkabentuk untuk membengkok melengkarinya, tingginya hampir sama dengan kedudukan Makam Habib Nuh. Dengan izin Allah selamatlah pusara Habib Nuh dari diratakan atau dipindah ketempat lain. 

Comments

Popular posts from this blog

Coretan Kembara - Habib Ali Batu Pahat yang kutemui

Pak Habib dengan senang hati menyambut semua tetamunya tanpa melebihkan antara satu dengan lainnya. Seperti biasa bila memandang Pak Habib ni, timbul rasa tenang dalam diri               Ketika melayari internet untuk mencari informasi tempat-tempat yang menarik untuk dilawati di Surabaya, ada beberapa pelan perjalanan yang menjurus kepada lawatan tempat lahirnya Wali Songo. Banyak juga tokoh-tokoh agama yang hebat yang dicadangkan untuk diziarahi. Dalam banyak-banyak itu hamba ternampak satu nama dan gambar yang hamba pernah temui di rumahnya di Kampung Solok Wan Mor, Batu Pahat. Dia dikenali sebagai Habib Ali Batu Pahat atau nama sebenarnya al-Habib Syed Ali bin Syed Ja'far al-Idrus.            Pada kali pertama hamba menziarahinya kerana termakan pujuk seorang rakan yang mengajak hamba ke Batu Pahat untuk menziarahi Habib Ali kerana katanya amalan yang digalakkan pada 10 Muharam ialah menziarahi alim. Ke...

Masjid Telok Manok: Kutemui masjid tertua di Thailand.

Masjid tua yang tidak mempunyai kubah. Kubah adalah pengaruh Turki. Semasa berjalan di Narathiiwat, hamba berpeluang menziarahi sebuah masjid kayu yang sudah berumur sekitar 300 tahun bernama Masjid Telok Manok atau dikenal juga dengan nama Masjid Wadi Al-Hussein.  Rajah asal Masjid Telok Manok Masjid ini masih terus digunakan untuk solat fardu dan solat Jumaat Masjid ini dibina pada tahun 1768, menjadikannya sebagai masjid tertua yang masih berdiri di Thailand. Seni bina Melayu, Cina, Kemboja dan Jawa bergabung  Masjid ini dibina mengikut senibina Melayu, Cina, Jawa dan Kemboja.  Dibuat menggunakan kayu sepenuhnya dan tanpa menggunakan paku. Masjid ini mempunyai tiang dan ada menara azan yang juga dibuat dari kayu.   Semuanya disusun cantik namun terus kukuh selama 300 tahun Telok Manok merupakan nama desa tempat masjid ini berdiri, sebuah desa kecil berjarak sekitar 25 kilo meter dari kota Narathiwat. Sedangkan A...

Damsyik - Kutemui Masjid Umawi yang tua usianya.

Tempat pertama hamba ziarahi ketika sampai  di Damsyik ialah Masjid Umawi.   Masjid ini telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Umawi al-Walid bin Abdul Malik, Khalifah Kerajaan Umawi pada tahun (86 – 96 Hijrah) (705 – 714 Masehi) .  Damsyik adalah Ibu Kota pemerintahan kerajaan Umayyah pada waktu tersebut. I a didirikan di atas tanah yang sudah beribu-ribu tahun menjadi pusat peribadatan dan awalnya merupakan tempat ibadah bangsa Aram yang menyembah Dewa Hadad, iaitu bangsa Arab Suryani kuno sejak 3000 tahun sebelum Masihi. Di awal abad Masihi tempat ini telah berubah menjadi tempat ibadah penyembah Dewa Jupiter ad-Dimasqi (zaman Romawi) dan ketika agama Kristian berkembang di Damsyik  pada abad ke-4 Masihi tempat ini berubah menjadi gereja yang bernama “St. John the Baptist Basilica”.   Pada zaman kekuasaan Romawi, penduduk asing tidak mudah memasuki kota Damsyik, karena kota itu dikelilingi tembok yang tinggi. Mereka yang ingin memasuki k...