Hamba lahir hampir 54 tahun dahulu di kampong ini. Hamba membesar di sini sebelum berhijrah ke beberapa tempat lain. Pernah hamba duduk bersama nenek hamba yang keseorangan di sini. Beliau selalu bercerita tentang "akar" hamba sebagai orang Melayu Jambi. Kampung bersejarah ini hampir tenggelam dek arus kemodenan. Dulu ketika sungai menjadi laluan utama ke Bandar Batu Pahat, Kg. Tanjong Semberong ini memang meriah dan happening. Yang tinggal kini cuma sejarah lama yang jika tidak dikaji juga akan hilang begitu sahaja.
SEJARAH AWAL PENUBUHAN KAMPUNGKU
Pada abad ke 17, hubungan Kerajaan Jambi dengan Kerajaan Johor penuh dengan perselisihan, pergolakan dan peperangan. Perang Jambi Johor berlangsung selama hampir 14 tahun ternyata telah membawa kepada kehancuran, kemunduran, dan penderitaan rakyat. Yang untung dalam perang Jambi-Johor adalah kaum penjajah iaitu Belanda, Inggeris, dan Portugis. Namun pada abad 19 hubungan Jambi-Johor dikatakan berjalan dengan baik dan harmoni karena adanya saling faham memahami. Keadaan ini berlaku sejak negeri Jambi diperintah oleh Sultan Thaha Syaifuddin (1855 – 1904). Hubungan baik antara Jambi-Johor masih terlihat semasa Indonesia/Jambi menghadapi peperangan dengan Belanda pada tahun 1949.
Sejak sultan Thaha Syaifuddin naik takhta kesultanan Jambi tahun 1855-1904, penjajah Belanda tidak pernah tenang hatinya, karena sultan Jambi dengan istiqamah telah mengambil tindakan tegas menentang segala bentuk kehadiran Belanda di negeri Jambi. Tentangan keras ini menyebabkan Belanda menyerang istana Jambi tahun 1858 dan berjaya menawannya.
Sejak itu sultan Taha dan pengikutnya telah berundur ke Muara Tembesi dan berperang di sana. Pada tahun 1901 Muara Tembesi ditawan oleh Belanda. Maka sultan Taha terpaksa berundur ke pedalaman hutan Jambi, lalu berperang secara gerila. Sebelum perang di Muara Tembesi terjadi, keluarga sultan Taha dan keluarga pengikutnya telah sempat dipindahkan terlebih dahulu menuju tempat yang selamat. Salah satu tujuan pengunduran bagi keluarga sultan dan pengikutnya adalah di daerah Batu Pahat, Johor. Perpindahan ke Batu Pahat ini berlaku dalam dua peringkat.
Peringkat pertama, iaitu semasa pengunduran sebelum pecah perang Muara Tembesi tahun 1901. Pengunduran ini dimulai dari Sungai Alai, meredah hutan belantara menuju Muara Tebo, dan terus ke Merlung. Dari Merlung perjalanan meredah hutan diteruskan menuju Siak Indragiri. Dari Siak Indragiri, mereka meredah hutan juga menuju Kuala Kampar, Riau. Dari Kuala Kampar perjalanan diteruskan dengan menyewa sebuah tongkang dan belayar Batu Pahat. Perjalanan dari negeri Jambi menuju negeri Johor ini mengambil masa selama 6 tahun. Di setengah tempat mereka sempat bersawah padi. Tentera Belanda terus mengejar kumpulan ini dan sawah padi yang diusahakan ini terpaksa ditinggalkan. Dalam perjalanan ini ramai juga jatuh sakit dan meninggal dunia. Setelah sampai ke Batu Pahat, kumpulan pertama pelarian ini, dikurniakan oleh sultan Johor sebuah kawasan hutan di sekitar Batu Pahat dan dinamakan Kampung Tanjung Semberong.
Senarai pelarian yang selamat sampai dan membuka Kampung Tanjung Semberung ini ialah:.
1) Raden Muhammad Yasin, sebagai ketua. Beliau adalah anak Raden Hamzah.
2) Penghulu Haji Ali, dari dusun Teluk, termasuk dalam senarai orang yang mesti ditangkap samada hidup atau mati oleh Belanda.
3) Syarifah Dempak.
4) Ratumas Badaniah Binti Sultan Thaha Syaifuddin, ia adalah seorang janda membawa 2 orang putra, satu di antaranya bernama Raden Haji Bagong (Raden Haji Abdul Rahman).
5) Dan berbelas orang pelarian lainnya serta anak-anak mereka yang belum dewasa.
Fasa kedua, setelah Muara Tembesi jatuh ke tangan Belanda, sultan Thaha Syaifuddin mengarahkan beberapa keluarga istana Kerajaan Jambi menuju Johor. Mereka terdiri daipada
- Raden Hanafiah, Bin Raden Abdul Rahman, sebagai ketua rombongan.
- Beberapa keluarga.
- Dan beberapa orang anak belum dewasa.
Kumpulan ini bergerak menggunakan laluan yang sama dengan kumpulan fasa pertama dahulu. Di Kuala Kampar karena terpaksa, mereka telah merampas empat buah kapal tongkang untuk menuju ke Batu Pahat. Di Batu Pahat, sebuah tongkang yang mereka tumpangi telah terkandas, pecah dan karam di tengah sungai Batu Pahat. Tempat di mana peristiwa tongkang ini karam telah dinamakan Tongkang Pecah. Kumpulan kedua ini akhirnya bersatu dengan kumpulan pelarian pertama di Kampung Tanjung Semberong. Dari Tanjung Semberong, orang-orang Jambi ini mula berkembang hingga ke Sungai Biuh, Segamat, dan sekitarnya.
Bersambung kemudian…
Comments